Showing posts with label Persoalan Agama. Show all posts
Showing posts with label Persoalan Agama. Show all posts

Sunday, October 14, 2012

Apa itu Manhaj?


DEFINISI MANHAJ

Manhaj (المنهج), nahaj (النهج) atau minhaaj (المنهاج) dari madah: نَهجا– يَنهج – نَهج yang semuanya mempunyai satu makna. Dari segi bahasa manhaj ialah:
[1]

اَلطَّرِيْقُ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ ، وَيُطْلَقُ عَلَى الطَّرِيْقِ الْمُسْتَقِيْمِ اَوِالسُّنَّةِ.

“Jalan yang jelas, terang dan dikatakan juga (mengikut) jalan yang lurus[2] atau mengikut sunnah”.

Kalimah manhaj/minhaj bermakna jalan yang terang atau mengikut sunnah. Ia disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

“Untuk tiap-tiap umat (antara kamu), Kami berikan aturan dan jalan yang terang (atau sunnah)”.[3]

Berkata Abu Ja’far, bahawa manhaj ialah: “Jalan yang terang atau jelas” (الوالبيان اضح).[4] Dan apabila dikatakan (طريق نَهج) bererti “Jalan Yang Terang” atau (بين) “Jelas”.

Menurut Ibn Kathir rahimahullah manhaj ialah:

فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ

“Maka manhaj ialah jalan yang terang dan mudah”.[5]

Manhaj juga dapat difahami menurut sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan dari Mujahid, Ekrimah, Hasan al-Basri dan selain mereka:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : سَبِيْلاً اَوْ سُنَّةً
“Berkata Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu bahawa manhaj ialah: Jalan atau sunnah”.[6]

سُنَّةُ النَّبِي ، اَوْ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ

“Manhaj ialah: Sunnah Nabi. Atau yang terang dan yang jelas”. [7]

Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab (aliran atau jalan). Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: “Manhaj as-Salaf as-Soleh atau Mazhab as-Salaf as-Soleh”.
-----------------------------------------------------------------------------


[1]. Lihat: Lisanul Arab 2/383. Abi Fadzil Jamaluddin Muhammad al-
Afriki al-Misri. Lihat: Kamus al-Muhit. 1/209. Fairus Abadi.
[2]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة1/19. Uthman bin Ali Hasan.[3] . Al-Maidah, 5:48.[4] . Lihat: At-Tabari, 4/609.[5]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir 2/26. Dan Fathul Qadir 2/48 As-Syaukani.[6]. Lihat: Sahih Bukhari. 1/46 Fathul Bari (Kitab al-Iman). Diriwayatkan oleh Al-Lalakaii hlm. 66. At-Tabari 6/271. Lihat Ibn Kathir. 3/120. Lihat: Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, 1/50. Khalid bin Abdullatif.[7]. Lihat: At-Tabari, 6/609.
Baca Seterusnya - Apa itu Manhaj?

Read more...

Tuesday, September 25, 2012

Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia


Air Mani

Air mani ialah cecair putih pekat yang keluar kemaluan lelaki dan perempuan apabila sampai kepada kemuncak syahwat. Ia bukan najis tetapi hendaklah mandi wajib bagi mensucikannya untuk membolehkan seseorang itu menunaikan ibadat. Firman Allah yang berbunyi :

“(Setelah mengetahui Yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) Yang memancut (ke Dalam rahim), Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan.” (At-Taariq : 5-7)

Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih likat seperti hingus, ia keluar ketika seseorang itu rasa nikmat yang tidak terhingga sehingga secara memancut. Manakala air mani perempuan pula lebih cair dari air mani lelaki dan ia berwarna putih. Cara ia keluar ketika wanita tersebut gersang dan nikmat yang tidak terhingga.

Hukum Air Mani

Menurut Mazhab Syafie air mani adalah suci dan tidak mengandungi najis. Hujah ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW mafhumnya :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.”(Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas ini, ia menunjukkan bahawa air mani itu adalah suci kerana Rasulullah SAW menggunakan pakaiannya yang terkena air mani tersebut untuk solat. Kalau ia najis maka sudah pasti Rasulullah SAW tidak menggunakan pakaian tersebut untuk solat.


Cara Mencuci Air Mani

Bagi air mani yang kering atau menempel kepada pakaian atau sebagainya, maka cara menyucikannya adalah seperti mengikis dengan kuku atau alat-alat yang lain, setelah dikikis cucikan pula dengan air sehingga bersih, maka ia sudah dianggap bersih. Dari Aisyah ra berkata :

“Aku menghilangkan mani pada baju Rasulullah dengan cara mengikisnya dengan kuku, lalu baginda solat dengan baju itu.”(Riwayat Al-Bukhari)

Cara menyucikan air mani yang masih basah atau belum kering, maka disunatkan membasuhnya dengan menggunakan air bersih.

Air Mazi

Maksud Air Mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan perempuan disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan tidak sedar. Dari Ali ra berkata :

“Aku adalah seorang lelaki yang sering mengeluarkan mazi. Kemudian aku suruh seorang kawan supaya menanyakan tentang perkara ini kepada Nabi SAW. Aku malu bertanya secara langsung memandangkan puterinya telah menjadi isteriku. Kawan itu pun akhirnya menanyakan masalah ini kepada Nabi SAW dan beliau menjawab : Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum Air Mazi

Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa air mazi ini adalah najis, ia juga boleh menyebabkan batalnya wuduk dan tidak boleh dibawa solat. Bagi orang yang mengeluarkan mazi tidak diwajibkan mandi hadas seperti keluarnya air mani.

Cara Mencuci Air Mazi

Air mazi dianggap seperti najis mutawassitah dan ia perlu dicuci dengan cara membasuh dengan menggunakan air mutlak sehingga bersih. Rasulullah SAW bersabda :

“Berwuduklah dan cucilah kemaluanmu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Air Wadi

Air wadi adalah air berwarna putih kental atau pekat yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan setelah habisnya air kencing. Dari Aisyah ra berkata :

“Wadi keluar setelah berkencing. Oleh kerananya, hendaklah seseorang itu mencuci zakar berserta kedua-dua buahnya, lalu berwuduk dan tidak perlu mandi.” (Riwayat Ibnu Munzir)

Hukum Air Wadi

Jumhur ulamak mengatakan air wadi ini adalah benda najis mutawassitah dan hukumnya sama seperti air kencing dan mazi. Ia tidak boleh dibawa solat. Begitu juga dengan Imam An-Nawawi mengatakan bahawa air wadi itu adalah najis.

Cara Mencuci Air Wadi

Cara mencuci air wadi adalah dengan mencuci kemaluan sehingga bersih dan mengambil wuduk. Orang yang mengeluarkan air wadi tidak perlu mandi hadas.

Air Kencing

Air kencing manusia adalah najis mutawassitah dan ia dapat membatalkan wuduk seseorang dan boleh menyebabkan solat itu tidak sah disebabkannya. Orang yang ingin membuang ari kencing ini perlu berhati-hati kerana takut air kencingnya terkena pakaiannya. Semasa membuang air kencing hendaklah dipastikan bahawa air kencing tersebut keluar habis dari kemaluan seseorang, air kencing yang tidak habis akan keluar secara sedar atau tidak sedar, ia boleh menyebabkan pakaian yang dipakai seperti seluar terkenanya dan seluar tersebut tidak boleh dibawa solat. Sebagai tindakan berjaga-jaga bawalah bersama kain atau seluar untuk digantikan ketika hendak melakukan solat, perbuatan ini adalah untuk memastikan supaya pakaian dan diri sentiasa didalam keadaan bersih dan suci. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mafhumnya :

“Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya siksa kubur itu kerana kencing. (iaitu hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)”

Cara untuk memastikan air kencing itu habis atau tidak habis keluarnya dari kemaluan, diantara caranya ialah seperti :
  1. Bagi wanita untuk memastikan air kencing habis atau belum, caranya mudah sahaja dengan menunggu sebentar setelah selesai kencing. Jika didapati tiada lagi air kencing, maka ia bolehlah membersihkan kemalaunnya.
  2. Bagi lelaki pula agak susah sedikit, kebiasaanya memerlukan waktu dan kesabaran. Cara untuk memastikan air kencing keluar, hendaklah diurut batang zakarnya dari pangkal hingga ke hujung kepala zakarnya. Dalam masa yang sama hendaklah berdehem-dehem untuk membantu mengeluarkan sisa-sisa air kencing di dalam zakarnya. Setalah pasti tiada lagi air kencing, maka bolehlah dibersihkan zakarnya dengan kaedah istinjak.

Hukum Kencing Sambil Berdiri

Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :

“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.

Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :

“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.
Baca Seterusnya - Hukum Air Atau Cecair Yang Keluar Dari Manusia

Read more...

Thursday, March 15, 2012

MENEGUR PEMERINTAH SECARA TERBUKA? [2]


MENEGUR PEMERINTAH SECARA TERBUKA? [2]


[1]

Sebelum mengeluarkan sesuatu hukum, jangan hanya dilihat dari sudut yang literal, tetapi hendaklah dilihat juga kehendak nas. Antara kehendak nas itu adalah, perlu dilihat dari sudut maalat al-Af’al, atau implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Jika diperhatikan kepada definisi hukum, perkara ini amat nyata. Contohnya definisi hukum dalam mazhab Hanafi. Ini kerana, definisi hukum syarak di sisi mereka adalah, tidak semata-mata bermaksud harus atau taat sahaja, tetapi ia perlu dilihat kepada kesan perbuatan syarak atau perlu dilihat kepada tujuan akhir[1]. Dengan erti kata yang lain, dalam mazhab hanafi, ia mesti wajib, sunat dan harus, tetapi perlu dilihat kepada maqasid dan maalat al-afal (implikasi).

Malahan, ada sebilangan ulama-ulama dalam mazhab selain hanafi juga memandang pentingnya implikasi dalam fiqh. Antaranya adalah al-Imam al-Mawardi yang bermazhab Syafie menyatakan;

"Setiap tindakan yang menyebabkan tidak tercapai kepada tujuan akhir, maka tindakan itu batal[2]"

Turut memandang kepentingan melihat kepada implikasi ini adalah al-Imam as-Syatibi. Ini kerana, beliau ada menyatakan;

            “Melihat kepada implikasi terhadap segala perbuatan adalah perkara yang diperakui dan merupakan tujuan secara syarak, sama ada perbuatan itu bersifat muwafaqat (melayu : selari) atau bersifat mukhalafah (melayu : menyalahi/tidak selari). Demikian itu adalah bahawa mujtahid tidak boleh berhukum terhadap sesuatu perbuatan dari perbuatan-perbuatan yang disandarkan kepada mukallaf (melayu : orang yang diberati hukum) dengan mereka melaksanakan (sesuatu tuntutan hukum) kecuali selepas melihat kepada kesan (atau : implikasi) terhadap perbuatan tersebut[3]”

[2]

Antara contoh-contoh bagi memahami perkara ini adalah seperti berikut;

Pertama;
Firman Allah;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”(Surah Al-‘An’am, ayat 108)

Menurut Dr al-Raisuni[4], dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT.

Kedua;
Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِإِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَقَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

            “Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim”. Aku (Aisyah) bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?”. Nabi Muhammad SAW menjawab, “kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan”(Sahih Al-Bukhari, Bab Kelebihan Makkah dan binaannya, hadis no : 1480)

Dari sudut hukum asal, kembalikan Kaabah pada batasan Qawaed Ibrahim itu adalah satu perkara yang wajib. Namun, dibimbangi mendatangkan implikasi yang buruk, iaitu perbalahan sesama bangsa Quraish yang baru sahaja memeluk Islam, menyebabkan ia ditangguhkan dulu oleh Rasulullah SAW.

[3]

Puak-puak literalis mengatakan tidak boleh mengugurkan pemerintah yang zalim. Ekoran itu juga, tidak boleh menegur pemerintah Negara secara terbuka. Hadis yang dibacakan mereka itu adalah seperti berikut;

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

“Barangsiapa yang mahu memberi nasihat kepada pemerintah terhadap sesuatu urusan, maka jangan lakukan dalam keadaan terbuka, tetapi peganglah tangannya dan menyendiri dengannya. Sekiranya ia menerima, itu yang sepatutnya. Sekiranya tidak menerima, sesungguhnya dia telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap pemimpin tersebut”

Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;

Ulasan Pertama;

Hadis ini adalah hadis yang lemah (doif)[5]. Alasan-alasannya adalah seperti berikut;

Satu;

Dalam hadis ini didapati Syuraih bin Ubaid al-Hadhrami mengambil hadis dari Iyadh bin Al-Ghanm. Didapati kedua-dua periwayat hadis ini tidak pernah bertemu. Ini kerana, kelahiran Syuraih bin Ubaid ketika Iyadh bin al-Ghanm telah meninggal dunia.

Dua;

Dalam kitab al-Sunnah oleh Abu Asim (1097), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail. Menurut al-Hafiz dalam kitab al-Isobah, beliau adalah seorang yang terlalu lemah.

Tiga;

Dalam al-Mustadrak (5269), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ishaq bin Ibrahim. Menurut Imam Al-Nasaie bahawa dia tidak siqah (tarikh Damsyik), dan imam Abu Daud pula menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa pun (mizan al-iktidal).

Ulasan Kedua;

Jika DIANDAIKAN saheh atau hasan sekalipun hadis ini, perlu diperhatikan bahawa hadis ini bukan bersifat mutlak, tetapi ia bersifat maalat al-Af’al atau perlu diilihat kepada implikasi hadisnya. Ini kerana, hadis ini ada sambungannya, iaitu bahawa Iyyad bin Ghanm berkata kepada Hisyam seperti berikut;

فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

“apakah kamu tidak takut bahawa sultan Allah (pemerintah) akan membunuh kamu, maka jadilah kamu orang yang dibunuh oleh Sultan Allah (pemerintah)”

[4]

Jadi, merujuk kepada hadis di atas sebagai alasan untuk mengatakan tidak boleh menegur pemerintah secara terbuka seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. kesalahan merujuk kepada hadis ini, sama ada hadis ini adalah hadis yang lemah, ataupun jika di andaikan sahih sekalipun, ia adalah bersifat Maalat al-Af’al, iaitu melibatkan kepada implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Dengan maksud, hukum asal menegur secara terbuka adalah dibenarkan, tetapi sekiranya bimbang mendatangkan mudharat yang lebih besar, maka ia dilarang. Namun begitu, dalam kerangka Negara demokrasi, menegur secara terbuka ini merupakan perkara yang dibenarkan, malahan ia boleh mendatangkan maslahah yang lebih besar. Makanya ia adalah satu tindakan yang tidak salah dari sudut Islam, tidak seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis.

Wallahu alam.



[1] Dr Abd al-Qadir bin Hirz Allah, at-ta'lil al-maqasidi : 98 - 99
[2] Al-Imam al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir : 6/282
[3] Al-Imam as-Syatibi, Al-Muwafaqat : 4/194.
[4] Al-Muhadarat fi Maqasid al-Syariah.
[5] Al-Jahr wa al-‘Ilan bi Dho’f Hadis al-Kitman fi Munasah al-Sultan.

Baca Seterusnya - MENEGUR PEMERINTAH SECARA TERBUKA? [2]

Read more...

KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]


KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]


[1]

Dalam nas (al-Quran atau Hadis), ia hendaklah diperhatikan kepada dua perkara;
1-      Wasail
2-      Maqasid.

Maksud maqasid adalah capaian bagi kemuncak bagi syariat, yang dengannya disyariatkan segala hukum.

Maqasid syarik  (melayu : tujuan pensyariatan oleh pembuat syariat) ialah memberi kemaslahatan kepada hamba pada dunia mereka dan akhirat mereka, sama ada dengan cara menarik manfaat atau dengan cara menolak mudharat[1]. Sekiranya mendatangkan kemaslahatan, maka ia adalah perkara yang perlu diperakui. Adapun mendatangkan mafsadah, maka ia hendaklah ditolak.

Adapun wasail, ia adalah penghubung kepada capaian terhadap maqasid[2]. Tanpanya, maqasid tidak akan tercapai. Dengan erti kata yang lain, wasail sebagai “orang tengah” dalam menentukan capaian terhadap keputusan akhir, apakah ia mencapai maslahah atau mafsadah. Perkara ini diakui oleh ulama-ulama maqasid sendiri. antara yang mengakui perkara ini adalah al-Izz bin Abd al-Salam[3].

[2]

Antara contoh untuk memahami tentang wasail dan maqasid ini adalah seperti berikut;

Pertama;

Hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW  ada bersabda;

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْفَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan, dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kabur, maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”( Al-Bukhari,bab perkataan Nabi SAW “apabila kamu nampak anak bulan, maka berpuasalah. Apabila kamu nampak anak bulan, berhari rayalah”, hadis no : 1776.  Muslim, bab kewajipan berpuasa dan berhari raya dengan tengok anak bulan, hadis no : 1810.)

Dalam hadis ini, dipaparkan wasail untuk mencapai maqasid(berpuasa dan berhari raya), iaitu dengan melihat anak bulan. Namun begitu, dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad SAW menyebut “sekiranya kabur (tidak nampak anak bulan), maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”.

Maka dengan itu, ada sebilangan ulama seperti al-Imam Taqi al-Din al-Subki membenarkan penggunaan Hisab Falaki atau kiraan falak sebagai wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa di bulan Ramadhan dan penentuan hari raya)[4].

Kedua;

Firman Allah SWT;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi”(Surah al-Baqarah, ayat 193)

Berperang itu merupakan wasail, sedangkan maqasid dalam ayat ini adalah mengelak dari berlaku fitnah. Dengan maksud, dalam beberapa keadaan, tempat dan masa, (seperti di Malaysia) berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah.

[3]

Mengugurkan pemerintah dari hadis-hadis yang melarang itu bersifat wasail. Jika perang bertujuan untuk mengelak fitnah, tetapi situasi di Malaysia pula berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah, maka begitujuga  hadis-hadis yang digunakan oleh pihak yang haramkan gugur pemerintah yang zalim.

Hadis-hadis itu bersifat wasail, bukan maqasid. Apabila ia bersifat wasail, bermakna ia bukan satu perkara yang haram secara mutlak, tetapi tertakluk kepada kondusif tertentu.

Dengan maksud, ia haram dalam kerangka Negara monarki, tetapi tidak haram dalam kerangka Negara demokrasi. Juga, ia haram jika mendatangkan mudharat yang lebih besar, tetapi jika mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar, maka ia adalah satu perkara yang dibenarkan.

Wallahu Alam.




[1] Dr Yusuf al-Alim, Al-maqasid al-‘ammah li-al-syariiyyah al-islamiyyah :79.
[2] Ibid.
[3] Al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam : 1/53
[4] al-Qaradhawi, Al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 123.

Baca Seterusnya - KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]

Read more...

Wednesday, February 15, 2012

HARI VALENTINE?


[1]


Majlis ulama Indonesia kata harus memberi kad ucapan pada hari Valentine. Adapun majlis fatwa kebangsaan pula kata haram. Kedua-dua badan ini adalah badan yang berkelayakkan dalam mengeluarkan fatwa.

Sifat fatwa tidak sama dengan sifat qadha. Ini kerana, sifat fatwa tidak wajib diikut, tetapi diberi pilih antara ikut atau tidak. Adapun apabila sudah menjadi qada’, maka ia wajib diikut, kerana ia dibawah tasaruuf Imam ‘Ala Raiyyah manut bi al-maslahah. Ia (qadha) seperti digezetkan dalam bentuk Negara demokrasi.

[2]

Alasan-alasan yang digunakan untuk nyatakan haram valentine adalah seperti berikut;

Satu :

Menjurus kepada maksiat, seperti mabuk, arak, zina dan sebagainya.

Dua;

Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari menginati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol. (dalam fatwa Jakim)

[3]

Komentar dari rakan-rakan facebook yang menolak dakwaan JAKIM;

‎1) Cordoba pecah kepada beberapa kerajaan Islam merdeka pada tahun 1031 akibat penentangan bangsawan + ulama, bukan sebab golongan Nasrasni. (Mengikut rekod, ulama Cordoba lawan pemerintah kerana Kalifah Hisham III membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi, walaupun cukai yang dinaikkan itu antara lain untuk membiayai operasi masjid).

2) Permaisuri Isabella tidak mengisytiharkan apa-apa pada Februari 14.

3) Hari Valentine + Cinta mula sekali ditulis oleh seorang pakcik namanya Geoffrey Chaucer melalui satu puisi meraikan perkahwinan Raja Richard II. Kaitan ini diperkuatkan lagi dengan penubuhan mahkamah-mahkamah cinta di Paris pada Hari Valentine 1400 (sebenarnya perkumpulan orang-orang seni baca sajak, bincang persoalan cinta dan saling risik-merisik).

4) Orang Rom purba kebetulan ada meraikan perayaan kesuburan Lupercalia yang dirai Februari 13-15. Kebetulan juga Ruhollah Khomeini keluar fawa bunuh Salman Rushdie pada Februari 14. Singapura jatuh ke tangan Jepun pun pada tarikh sama. (sila Klik)

[4]

Jika haramnya Velantine kerana menjurus kepada maksiat seperti zina, mabuk dan sebagainya, maka bagaimana pula jika sambutan itu tidak menjuruskan kepada maksiat tersebut?

[5]

Larangan yang membawa kepada haram dalam nas ini mempunyai dua bentuk;
Satu : Larangan secara mutlak (An-Nahyu Az-Zati),
Dua : Larangan berbentuk sifat (An-Nahyu Al-Wasfi)[1].

Pada larangan berbentuk sifat ini pula terbahagi kepada dua, iaitu;
Satu : Sifat yang lazim (Al-wasf Al-lazim lahu), dan;
Dua : Sifat yang berjiran (Al-wasf Al-Mujawir lahu)

Contoh bagi perkara ini adalah;
Satu : Larangan mutlak – haram makan babi. Ini kerana, babi itu secara zatnya bersifat haram.
Dua : larangan bersifat;
            [1] lazim lahu – seperti larangan riba. Ini kerana, asal riba adalah jual beli kerana wujud muawadhad, iaitu pertukaran. Namun, memandangkan wujud sifat-sifat penambahan yang menindas, maka ia dikira haram.
[2] al-Mujawir lahu - seperti menunaikan solat dengan pakaian yang dicuri, atau berpuasa pada satu syawal.

Dari segi hukum, larangan secara mutlaq dan bersifat lazim ini, tidak timbul perbahasan yang panjang. Tetapi perbahasan fiqh berlaku pada larangan yang bersifat berjiran. Contohnya seperti seseorang yang melakukan puasa nazarnya pada satu syawal; apakah puasanya sah atau tidak. Mengikut mazhab Hanafi, puasa nazar itu sah, tetapi perbuatannya itu haram. Ini kerana, larangan itu berlaku pada sifat (satu syawal), bukan pada zat puasa.

Secara kesimpulannya;
Puasa nazar – harus + Pada satu syawal – haram
Solat – sah + pakai baju curi – haram.

Dengan erti kata yang lain, puasa nazar itu tidak jadi haram, jika tidak dilakukan pada satu satu syawal. Juga Solat tidak jadi haram, jika tidak memakai baju curi.

Jika diperhatikan balik kupasan di atas, kita akan dapati bahawa haram valentine ini adalah merujuk kepada “al-nahy Al-wasf Al-Mujawir lahu”. Dengan maksud, apabila hilang unsur-unsur yang haram, maka hukumnya adalah harus

Baca sama;

Wallahu alam.




[1] Lihat At-Ta’lil Al-Maqasidi


Baca Seterusnya - HARI VALENTINE?

Read more...

Perempuan menyanyi,.hukumnya haram?


[1]


Dalam kitab al-Halal wa al-Haram, karangan al-Qaradhawi ada menyatakan;

أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة , ولا حرام إلا ما ورد نص صحيح صريح من الشارع بتحريمه

Maksudnya;
            “Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah SWT ciptakan dari sesuatu atau perkara yang mendatangkan manfaat adalah halal dan harus. Ia tidak haram kecuali ada nas yang saheh sareh dari syarak dengan pengharamannya[1]”

Sesuatu perkara itu tidak boleh dikatakan haram sekiranya;
Satu : ada nas tetapi doif
Dua : ada nas tetapi tidak sareh menyatakannya haram (tidak jelas menyatakan pengharamannya)

Dengan erti kata yang lain, sesuatu perkara itu boleh dikatakan haram apabila ada nas yang saheh, disamping ia sareh pula atas menyatakan perkara tersebut adalah haram.

Ada pula, beberapa nas yang saheh itu dilihat seperti sareh terhadap pengharamannya, tetapi sebenarnya tidak sareh. Antara contoh perkara ini adalah satu hadis bahawa Nabi SAW ada bersabda;

ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَنَّانُ الَّذِي لَا يُعْطِي شَيْئًا إِلَّا مَنَّهُ وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْفَاجِرِ وَالْمُسْبِلُ إِزَارَهُ

Maksudnya;
            “Tiga golongan yang Allah SWT tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat nanti; 1- dermawan yang tidak memberi sesuatu kecuali orang mahu dia berikan sahaja. 2- orang yang hendak memberikan sesuatu barangnya dengan sumpah yang buruk. 3- orang yang melabuhkan kainnya[2]”

Juga hadis;

مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

Maksudnya;
            “Pakaian yang rendah dari dua buku lali dari pakaiannya, maka ia dalam neraka[3]”

Dari zahir hadis-hadis ini, kita akan dapati bahawa Nabi SAW melarang melabuhkan pakaian sehingga menutup buku lali. Namun begitu, apabila diteliti lagi, didapati bahawa hadis ini tidak sareh, ekoran itu perlu diperhatikan sama pada hadis yang lain pula, iaitu larangan melabuhkan itu mempunyai sebab, iaitu mendatangkan sombong. Ini dilihat pada hadis yang lain, iaitu Nabi Muhammad SAW bersabda;

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
            “Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana Khuyala’ atau sombong, pasti Allah SWT tidak akan melihat (wajahnya) pada hari kiamat nanti[4]”

Khuyala’ merupakan sifat bagi pengharaman berpakaian labuh sehingga menutup buku lali. Sekiranya tidak mendatangkan khulaya’, maka ia tidak jadi haram.

Maka begitujuga kita melihat kepada nas al-Quran yang dijadikan hujjah atas pengharaman nyanyian perempuan di khalayak. Ia saheh, malahan mutawatir, namun begitu, dari segi maksudnya, ia tidak sareh.

[2]

Larangan yang membawa kepada haram dalam nas ini mempunyai dua bentuk;
Satu : Larangan secara mutlak (An-Nahyu Az-Zati),
Dua : Larangan berbentuk sifat (An-Nahyu Al-Wasfi)[5].

Pada larangan berbentuk sifat ini pula terbahagi kepada dua, iaitu;
Satu : Sifat yang lazim (Al-wasf Al-lazim lahu), dan;
Dua : Sifat yang berjiran (Al-wasf Al-Mujawir lahu)

Contoh bagi perkara ini adalah;
Satu : Larangan mutlak – haram makan babi. Ini kerana, babi itu secara zatnya bersifat haram.
Dua : larangan bersifat;
            [1] lazim lahu – seperti larangan riba. Ini kerana, asal riba adalah jual beli kerana wujud muawadhad, iaitu pertukaran. Namun, memandangkan wujud sifat-sifat penambahan yang menindas, maka ia dikira haram.
[2] al-Mujawir lahu - seperti menunaikan solat dengan pakaian yang dicuri, atau berpuasa pada satu syawal.

Dari segi hukum, larangan secara mutlaq dan bersifat lazim ini, tidak timbul perbahasan yang panjang. Tetapi perbahasan fiqh berlaku pada larangan yang bersifat berjiran. Contohnya seperti seseorang yang melakukan puasa nazarnya pada satu syawal; apakah puasanya sah atau tidak. Mengikut mazhab Hanafi, puasa nazar itu sah, tetapi perbuatannya itu haram. Ini kerana, larangan itu berlaku pada sifat (satu syawal), bukan pada zat puasa.

Secara kesimpulannya;
Puasa nazar – harus + Pada satu syawal – haram
Solat – sah + pakai baju curi – haram.

Dengan erti kata yang lain, puasa nazar itu tidak jadi haram, jika tidak dilakukan pada satu satu syawal. Juga Solat tidak jadi haram, jika tidak memakai baju curi.

Perkara yang sama bagi hukum perempuan yang menyanyi dikhalayak ramai. Hukum asalnya adalah tidak haram, kecuali jika terdapat faktor yang menyebabkannya jadi  haram (al-Mujawir lahu).

Sifat tersebut adalah merujuk kepada firman Allah SWT;

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Maksudnya;
            “Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik” (surah al-Ahzab, ayat 32)

[3]

Kupasan terhadap ayat ini adalah seperti berikut;

Satu;

Larangan dalam ayat ini tidak bersifat mutlat. Dengan erti kata yang lain, ia bukan melarang orang perempuan menundukkan bicaranya, tetapi larangan kerana bimbang melahirkan syahwat kepada pendengar-pendengarnya yang hatinya rosak. Keadaannya sama seperti larangan dalam hadis, agar tidak melabuhkan pakaian. Larangan itu, bukan pada melabuhkan pakaian, tetapi larangan itu berfaktorkan sombong.

Adapun berkenaan dengan perempuan menyanyi dikhalayak pula, ia tidak semua keadaan boleh mendatangkan syahwat. Ekoran itu, larangan perempuan menyanyi dikhalayak adalah jika boleh melahirkan syahwat pada para pendengar. Adapun tidak melahirkan syahwat kepada pendengar, maka ia tidak haram. Dengan maksud, kembali kepada hukum asal, iaitu harus perempuan menyanyi itu adalah harus.

Dua;

Dalam ayat ini, Allah SWT tidak menyebut “al-Saut” atau suara, tetapi menyebut “al-Qaul”, atau perkataan. Ekoran itu, menurut salah seorang anggota majlis Eropah bagi fatwa dan kajian, Syaikh Abdullah bin Yusuf al-Judai’ larangan dalam ayat ini bukan merujuk kepada suara, tetapi merujuk kepada perkataan yang digunakan yang mampu melahirkan syahwat. Ini kerana, pada sambungan ayat, Allah SWT menyuruh para wanita berkata dengan perkataan yang baik[6]. (وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا)

[4]

Ada pihak menyatakan pengharaman perempuan menyanyi dihadapan ajnabi dengan alasan Nabi Muhammad SAW tidak mendengarnya.

Bagi menjawab perkara ini, perlu dinyatakan bahawa sesuatu perkara yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad SAW tidak boleh terus dikatakan haram. Ini kerana, imam al-Syatibi ada menyatakan bahawa, perkara yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad SAW itu perlu dilihat kepada beberapa perkara. Iaitu;

Satu;

Nabi SAW tidak buat kerana perbuatan itu makruh, seperti nabi Muhammad SAW tidak makan Dhob.

Dua;

Nabi SAW tidak buat kerana menghormati orang lain, seperti Nabi Muhammad SAW tidak makan bawang mentah.

Tiga;

Nabi SAW mengambil jalan warak dan afdhal, seperti Nabi SAW dibenarkan dalam nas bahawa berkahwin dengan perempuan tanpa memberi mas kahwin, tetapi apabila Nabi SAW berkahwin, Nabi SAW tetap juga memberi mas kahwin.

Empat;

Nabi SAW tidak buat kerana bimbang ia diwajib, seperti Nabi SAW tidak keluar dari rumah pada hari keempat pada bulan Ramadhan untuk menunaikan solat tarawih berjemaah kerana bimbang ia diwajibkan.

Lima;

Nabi SAW tidak buat dan tidak melarang, kerana ia adalah perkara yang tidak salah, seperti Nabi SAW tidak melarang dua orang jariah menyanyi bersama Aisyah di rumah Baginda SAW.

Enam;

Nabi SAW tidak buat, kerana Nabi SAW bimbang, jika dibuat juga akan mendatangkan mudharat lebih besar, seperti Nabi SAW tidak gopoh membetulkan Kaabah pada tempatnya kerana bimbang rakyat Makkah bergaduh.

Makanya, apabila Nabi Muhammad SAW tidak mendengar perempuan menyanyi, ia tidak merujuk bahawa amalan nyanyian itu haram, tetapi ia sebagai jalan warak Nabi Muhammad SAW yang mengambil jalan yang afdhal.

 [5]

Sebagai kesimpulan, dinyatakan seperti berikut;

Satu;

Hukum asal perempuan menyanyi dikhalayak adalah harus. Tetapi, ia boleh jadi haram sekiranya boleh mendatangkan syahwat kepada pendengar.

Dua;

Larangan dalam nas, bukan merujuk kepada suara. Ini kerana, suara perempuan bukan aurat. Jika suara perempuan aurat, bagaimana keadaan isteri Nabi yang banyak meriwayatkan hadis, kemudian hadis itu didengari oleh sahabat lelaki?

Jadi, nyata disini bahawa larangan dalam al-Quran (Surah al-Ahzab, ayat 32) bukan merujuk kepada suara, tetapi merujuk ungkapan perkataan; apakah mengandungi maksud yang merosakan atau sebaliknya. Jika mengandungi maksud yang merosakan (seperti lucah), maka ia adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.

Tiga;

Penilaian terhadap mendatangkan masalah syahwat kepada pendengar, tertakluk kepada kondusif masyarakat tertentu. Di Saudi, orang perempuan dilarang memandu kerana ia boleh mendatangkan fitnah, seperti membawa kepada pelacuran dan sebagainya. Ekoran itu, tidak hairan di sana difatwakan perempuan dilarang memandu. Fatwa larangan perempuan memandu di Saudi tidak sesuai diadaptasikan di Malaysia. Ini kerana, unsur seperti yang berlaku di Saudi tidak berlaku di Malaysia.

Keadaan yang sama juga pada perbincangan perempuan nyanyi dikhalayak. Sekiranya ia mampu mendatangkan syahwat kepada majority rakyat Malaysia; atau mampu mendatangkan fitnah, maka ia adalah haram. Adapun jika sebaliknya, maka ia kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Empat;

Sekiranya dalam nyanyian perempuan itu, mengandungi unsur-unsur maksiat yang lain, seperti buka aurat dan seumpamanya, maka hukum nyanyian perempuan dikhayalak itu adalah haram. Hukumnya sama juga bagi kaum lelaki yang melakukan perkara yang sama.

Lima;

Walaubagaimana pun, tidak dinafikan bahawa perkara ini adalah perkara ijtihadiyyah yang tidak lepas dari khilaf fiqh. Maka ia perlu saling hormat menghormati dan toleransi antara satu dengan dengan yang lain.

Baca sama;
Pandangan Qaradhawi tentang perempuan menyanyi (bahasa arab) – Klik Sini

Wallahu ‘Alam







[1] Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlmn 25
[2] Muslim : hadis no, 155.
[3] Al-Bukhari : hadis no, 5341.
[4] Al-Bukhari : hadis no, 3392.
[5] Lihat At-Ta’lil Al-Maqasidi
[6] Al-Musiqi wa al-Ghina fi Mizan al-Islam, hlmn 276.

Baca Seterusnya - Perempuan menyanyi,.hukumnya haram?

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP