Showing posts with label GERAKAN HIZBUT TAHRIR. Show all posts
Showing posts with label GERAKAN HIZBUT TAHRIR. Show all posts

Tuesday, September 11, 2012

[wacana buku] Demokrasi dan Islam





Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi, oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi. Kuala Lumpur: Middle-Eastern Graduates Centre, 2006. Dengan Kerjasama Konrad Adenauer Foundation. Hh. xi + 48. RM 4.00.

Buku kecil ini cuba mengungkapkan idealisme Islam tentang demokrasi bagi menjawab dan meleraikan konflik dan pembenturan antara pemikiran politik Islamis dan sekularis. Ia merumuskan antara lain kesejajaran Islam dan demokrasi kerana nilai yang didengungkan oleh keduanya itu mendukung dan mempertahankan tatanan sosial yang adil dan terbuka.

Buku ini adalah salah satu daripada siri ‘Isu-Isu Semasa Dalam Risalah’ ditulis bagi ‘menampilkan sisi-sisi yang cerah dalam agama dan menyelak seluas mungkin dimensi kemanusiaan risalah agama’ (halaman iix). Ia merupakan olahan kepada buku Al-Quran-Hadis dan Demokrasi yang dihasilkan oleh Sukron Kamil dan diterbitkan oleh Pusat Bahasa dan Budaya UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Istilah demokrasi berakar dari bahasa Yunani purba, dari gabungan perkataan Greek demos, rakyat dan kratein, untuk memerintah, yang telah membentuk istilah demokratia yang bermaksud ‘pemerintahan rakyat’ (halaman 7). Menurut penulis, ungkapan ini diilhamkan oleh Herodotus pada kurun ke 5 (SM). Ia mengambil kerangka pemerintahan yang tercipta di Athens yang menzahirkan corak hubungan yang ideal, yang mempertahankan paksi demokratik, dan partisipasi politik.

Pemikiran John Locke (1637-1704) diketengahkan dalam bab ketiga yang membicarakan antara lain hujahnya dalam Two Treatises on Government yang cukup berkesan dalam melahirkan teori pentingnya ‘kontrak sosial’ yang memberikan hak mutlak kepada insan untuk ‘hidup secara bebas, merdeka, meraih keadilan dan pemilikan”, (halaman 16). Ini diperkukuh dengan hujah Rousseau (1712-1778) dalam The Social Contract yang menuntut legitimasi masyarakat sivil dan pembentukan pakatan sosial yang berkeupayaan mentadbir hala tuju politik yang sistematik.

Demokrasi dicapai di Amerika pada kurun ke-18 dan kemuncaknya pada kurun ke-19 dengan cetusan pemikiran yang dirumuskan oleh empat pemikir penting: Thomas Jefferson, Abraham Lincoln, John Stuart Mill dan Alexis de Tocqueville (Democracy in America). Pemikiran yang diungkapkan oleh keempat tokoh ini menegaskan dasar humanis dan personalis, dan deklarasi moral yang komprehensif.

Bab keempat membahaskan tiga aliran yang dipertahankan dalam mazhab politik Islam: menerima demokrasi secara mutlak, menolak sepenuhnya, menerima prinsipnya dan melihat terdapat perbezaannya dengan Islam. Pertimbangan pertama diwakili oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ayatollah Khomeini yang memandang kesamaan demokrasi dengan Islam dan kerana tanggungjawab semua untuk berperanan dan menentukan masa depan negara dan Islam (halaman 22).

Pandangan kedua diwakili oleh Syeikh Fadhallah Nuri, Sayyid Qutb, Ali Benhadji dan Tabatabaie yang memutuskan bahawa faham demokrasi tidak berakar dari ajaran Islam (halaman 23). Pandangan terakhir yang cuba menyeimbangkan keduanya diwakili oleh Abu’l-A‘la al-Mawdudi yang mengilhamkan teori ‘teo-demokrasi’, kerajaan demokratik berlandaskan agama, yang mengisytiharkan bahawa kedaulatan mutlak hanya tertakluk pada Tuhan, dengan penganugerahan kuasa pada rakyat sebagai khalifah. Menurutnya amalan pemerintahan Islam adalah berasaskan pada prinsip tauhid, risalah dan khalifah yang membezakannya dengan demokrasi konstitusional.

Bab kelima menyingkap hujah dan nas al-Qur’an dan al-sunnah tentang intisari dan tafsiran demokrasi. Ia mengungkapkan konsep al-Qur’an tentang prinsip syura, ijma‘, ijtihad, amanah, musawah, ‘adl dan bai‘at dan tradisi al-sunnah yang menjelaskan kepentingan amar ma‘ruf nahi munkar, proses menandatangi perjanjian Madinah, dan riwayat sejarah yang menukilkan tentang konsep participatory government yang diusahakan (halaman 34).

Topik terakhir merumuskan praktis demokrasi yang kukuh dalam tradisi Islam yang diperlihatkan dalam zaman khalifah al-Rashidun dan warisan politik Islam yang dipertahankan dalam dinasti Umayyah dan Abbasiyyah di Baghdad, Andalus dan Turki Uthmaniyyah. Sistem politik Islam ini diiktiraf oleh pengkaji oriental seperti Max I. Dimont dan Bernard Lewis. Jaringan politik Islam kontemporari turut menyaksikan transisi penting ke arah demokrasi yang ditunjangi oleh Turki, dan Indonesia, dan quasi-demokrasi yang ditegakkan di Mesir, Maghribi, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan dan Tunisia.

Ringkasnya, pencapaian buku ini yang terbaik adalah dalam menangkis hujah pemerintah Islam seperti di Saudi dan kelompok fundamentalis dan Islamis yang menolak kesejajaran Islam dengan demokrasi (compatibility of Islam and democracy), kerana ruang perbahasan dan hujah yang dikemukakan telah menzahirkan kekuatan demokrasi sebagai landasan politik Islam yang ideal.

Ia menjadi penanda aras yang penting dalam sistem pemerintahan, yang berpaut pada semangat dan manhaj Islam yang tulen, dan perlaksanaan tatakelola dan tatatadbir yang bersih. Ketika rakyat melihat kebobrokan sistem otokrat, despotik, dan kuasa feudal yang mutlak, maka peralihan dunia dan transisi massa kepada syura, menyerlahkan kekuatan dan pengaruh demokrasi yang makin berkembang dan diraikan di seluruh dunia.

***

Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir, oleh Wan Ji Wan Hussin. Sungai Buloh: Sekolah Pemikiran As-Syatibi, 2011. Hal. 73. RM 9.00.



Buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir ini dihasilkan oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin sebagai jawapannya kepada tentangan Hizbut Tahrir terhadap sistem demokrasi yang diterima pakai di Malaysia. Ia merupakan nota jawapannya kepada Ustaz Abu Hamzah, salah seorang tokoh penting gerakan Hizbut Tahrir di Malaysia ketika wacana debat yang mengemukakan tema “Absahkah Demokrasi dalam Islam” dipentaskan di Bangi (17 April 2011).

Cabarannya terhadap Abu Hamzah, adalah berdasarkan keyakinannya akan pengaruh dan kekuatan prinsip-prinsip demokratik dalam rangkaian politik semasa. Wacana yang dianjurkan ini adalah lanjutan kepada perbincangan dan pertukaran fikiran dan pendapat secara bebas antara “yang menyokong atau membangkang demokrasi” (halaman 2) yang diwacanakan di laman sosial Facebook.

Ustaz Wan Ji mencetuskan pandangan dan pemikiran haraki yang merangkul semangat Islam yang praktis dalam menjawab tentangan terhadap demokrasi. Menurutnya “demokrasi tidak boleh diharamkan secara mutlak dengan alasan Nabi SAW tidak lakukan…dalam usaha menjatuhkan regim,…menggunakannya adalah dibenarkan (halaman 73).

Demokrasi diiktiraf oleh Ikhwan al-Muslimun, Hamas, PAS dan gerakan Islam yang lain sebagai falsafah politik yang ideal yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan, menolak penindasan dan kezaliman, dan mengangkat maruah dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

Amalan demokrasi yang melantarkan asas politik yang kukuh ini didukung oleh negara-negara Islam serantau sebagai prinsip dan sistem yang terbaik setakat ini yang berjaya menumpaskan pengaruh komunisme, totalitarianisme dan membungkam faham feudalisme. Ia merupakan gagasan politik yang penting yang diperjuangkan oleh pemikir dan intelektual Muslim seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Dr Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor.

Berbeza dengan falsafah klasik, demokrasi moden menggagaskan tiga asas penting dalam rangka pemerintahan, dengan pemberian mandat kepada badan legislatif (tafwidh), ekskutif (tanfiz) dan referendum rakyat sebagai paksi yang kuat dalam pakatan demokrasi.

Perkembangan demokrasi di seluruh dunia dengan kedudukannya yang penting dan pengaruhnya yang autoritatif telah melahirkan pengiktirafan terhadap kekuatannya dari seluruh kalangan, walaupun tidak menzahirkan praktis demokrasi yang komprehensif.

Jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Ismail Yusanto dalam makalahnya yang berjudul “Ilusi negara demokrasi” menulis: “Dalam praktiknya, demokrasi tidaklah seragam di berbagai-bagai negara, termasuk di Amerika dan di Eropah… hanya dinisbatkan pada katagori-katagori demokrasi yang sangat artifisial, jauh dari subtansi demokrasi sendiri. Pemilu damai, transparansi, kebebasan, persamaan dan lain-lain hanyalah ketagori sangat teknis dan prosediral” (Demokrasi Kulit, hh. 6-7).

Pandangan ini menyerlahkan kenyataan sebenar tentang negara demokrasi, seperti perjuangan menegakkan demokrasi pancasila di Indonesia, dan demokrasi berparlimen di Malaysia, yang relatifnya tidak memperuntukkan kuasa mutlak kepada rakyat, kerana tertakluk pada pancasila dan perlembagaan.

Demokrasi dirangka dengan asas moral yang utuh dan pertimbangan akhlak yang jelas yang menggarap tuntutan kebebasan dan keadilan dan kesamaan hak dan peluang rakyat. Kesetaraannya dengan fikrah Islam ini memungkinkan tokoh-tokoh demokrat di dunia Islam seperti Muhammad Natsir, dan Rashid Ghanuochi menganjurkan ‘demokrasi Islam’, yang mempertahankan nilai demokrasi dan Hakimiyyah Allah, dan tradisi Ahl al-Hil wa al-‘Aqd yang fundamental (halaman 7).

Fatwa dan komentar Ulama tentang demokrasi, turut dimuatkan dalam bab ini dari rangkuman pandangan Syaikh Muhammad al-Ghazali (1917-96) dalam karyanya “Al-Islam wa’l-Dimuqratiyyah”, Abu’l-A‘la al-Mawdudi (1903-1979), Dr Yusuf al-Qardawi (1926-) dalam “Fi Fiqh al-Daulah”, Hasan Turabi (1932-) dalam “Al-Islam wa al-Dimuqratiyah”, dan Rashid al-Ghanoushi (1941-) dalam “Al-Hurriyyah al-‘Ammah fi al-Daulah al-Islamiyyah”. Dalam karyanya ini, Ghanoushi mengungkapkan idea dan pemikiran klasiknya tentang demokrasi: “Demokrasi bukan sekadar proses pemindahan kuasa kepada rakyat dan juga bukan satu deklarasi keluhuran perlembagaan bagi sesebuah negara.

Peri pentingnya demokrasi adalah berpaksi kepada kemuliaan insan (dignity of man). Manusia mempunyai hak-hak yang dapat mempertahan kemuliaan diri, menjamin hak untuk berpartisipasi dalam pentadbiran awam, dan dalam masa yang sama manusia dapat membuat tekanan dan mempengaruhi penguasa-penguasa, dan terjamin selamat dari sebarang tekanan dan kezaliman.”

Bab kedua melakarkan hubungan antara demokrasi dan hukum. Ia membahaskan aliran fiqh Islam yang ditunjangi oleh tiga mazhab pemikiran, al-Zahiri, Mu‘attilah (neo-mu‘tazilah) dan pertengahan (moderat) (yang dinukil dari kitab Turuq al-Kasyf ‘an Maqasid al-Syar‘i oleh Dr Nu‘man Jughaym (halaman 15). Perbincangan teks yang dikemukakan memberikan penjelasan hukum dan kaedah fiqh yang digariskan dalam mazhab dan menzahirkan hujah fuqaha Islam seperti Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim, Imam al-Mawardi dalam Al-Hawi al-Kabir dan Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa min ‘ilm al-Usul yang menghuraikan kedudukan nas dan perkaitannya dengan maqasid syarak, masalih al-‘ibad (kemaslahatan), ta‘lil, ma’alat al-af‘al (implikasi), dan ijtihad.

Perbahasan hukum dan pengelasannya kepada tasyri‘ (pensyariatan) dan tanfiz (pelaksanaan) diungkapkan dalam fasal ketiga. Penulis mengutip pendapat dan fatwa ulama muktabar seperti Imam Hanafi, Imam Malik (kitab al-Mudawwanah), Imam as-Syatibi (al-I‘tisam), Imam al-‘Izz b. Abd al-Salam (Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam), Ibn Qudamah (al-Mughni), dan Imam Hanbali (al-Qawa‘id) tentang teori tasyri‘ dan tanfiz dengan penzahiran hujah dan pengemukaan dalil yang kukuh tentang tanfiz yang ditentukan atas pertimbangan maslahah.

Demokrasi diputuskan dalam kategori tanfiz dan syura seperti dijelaskan dalam kitab al-Imamah al-‘Uzma oleh Imam ‘Abdullah b. ‘Umar al-Damiji yang meletakkan prinsip syura sebagai sandaran hukum yang penting dalam syariat berhubung dengan urusan pertahanan dan perang, perkara yang tidak diputuskan oleh nas dan yang diterangkan oleh nas tetapi berkait dengan ijtihad.

Perbincangannya diperkukuh dengan ulasan ustaz Fathi Yakan tentang keutamaan parlimen sebagai medan untuk mengkritik dan menilai pemerintah (hisbah), menyatakan sokongan kepada dasar Islam, memberikan pandangan secara terbuka, dan sebagai mimbar dakwah (halaman 28), di mana pemimpin Hizb Tahrir sendiri pernah menjadi wakil parlimen di wilayah Syria (Sayyid ‘Abd al-Rahman al-Maliki), Jordan (Ahmad al-Da’ur) Tripolis (Sayyid Osman Safi) dan Beirut (Sayyid Ali Fakhruddin).

Dalam kenyataan yang diutarakannya Ustaz Fathi menjelaskan: “Sungguh menghairankan apabila pada ketika ini sesetengah anggota Hizb Tahrir membuat kenyataan yang melarang mencalonkan seseorang menyertai dewan parlimen, walhal mereka pernah melakukan berkali-kali di beberapa negara” (halaman 28, Apabila YB bercakap dalam Parlimen, hal. 147).

Bab ketiga membicarakan kekuatan daulah Islam, dan kaedah dan perencanaannya dalam tradisi Islam. Penulis mengungkapkan faedah dan keuntungan yang diraih dari sistem demokrasi, antara lain keupayaan menyingkirkan kezaliman, membanteras kemungkaran, melaksanakan Islam menurut kemampuan, dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim (halaman 32).

Negara Islam dibina dan direalisasikan dengan tertewasnya pemerintah autokrat yang ditumpaskan dengan kekuatan jihad. Kaedah militer ini didukung oleh sebahagian pemikir mu‘tazilah dan ahl al-sunnah. Justeru, sekiranya dengan bertempur dan menumpahkan darah dianjurkan, maka memanfaatkan kaedah yang aman dan saluran demokrasi lebih layak dan rasional untuk dipakai (halaman 33). Dan untuk mencapai keadilan dan demokrasi, usaha yang sekuat mungkin untuk melaksanakan islah harus dimulakan, dengan menolak penindasan dan kezaliman dan mengiktiraf asas dan prinsip negara demokratik.

Bab kelima merupakan jawapan dan responnya kepada Hizbut Tahrir tentang persoalan yang dibangkitkan berhubung konsep dan kenyataan demokrasi di Malaysia. Keabsahan demokrasi sebagai sistem pemerintahan yang mempertahankan keadilan dan harakat dan darjat insan diperjuangkan sebagai aspek penting dalam maqasid Islam. Perbincangannya digarisbawahi dengan hujah dan kekuatan dalil dan keterangan nas yang tuntas.

Pendapat Hizbut Tahrir terhadap demokrasi antara lain: ia merupakan produk Barat, istilah demokrasi dicipta oleh karakter yang bukan Islam, demokrasi lahir dari pemikiran sekular, demokrasi adalah hadarah (tetap), bukan madaniyyah (perubahan), justeru pilihanraya (madaniyyah) diluluskan, dan demokrasi ditolak, kebenaran tidak dirujuk kepada suara majoriti, syariah dilaksanakan tanpa perlu mandat umum, berdakwah tidak semestinya perlukan saluran demokrasi, demokrasi yang diperjuangkan oleh Amerika telah dimanipulasi dan disabotaj di Afghanistan dan Iraq, kerajaan yang ditegakkan oleh Khalifah Mu‘awiyyah adalah sistem khilafah dan bukan dinasti monarki, demokrasi haram secara qat‘i (muktamad) dan bukan dalam lingkungan ijtihad, kejayaan dalam dakwah tidak perlukan demokrasi untuk mencapainya, manhaj Nubuwwah tidak mengambil demokrasi sebagai landasan politiknya, demokrasi tidak seperti politik Islam walau terdapat ciri kesamaannya, demokrasi adalah sistem yang ditunjangi oleh penipuan dan kepalsuan, matlamat tidak menghalalkan cara dan pilihanraya di Malaysia menerima wang taruhan (seakan perjudian).

Sebagai respon dan tangkisannya kepada hujah yang dikemukakan oleh Ustaz Abu Hamzah, Ustaz Wan Ji dengan keyakinan yang jitu mengenengahkan hujahnya:

Syariat umat yang datang sebelum kita dapat diangkat dan dimanfaatkan sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah dan nas syarak yang sarih.
Saydina ‘Umar pernah menukarkan nama pajak yang dikenakan kepada kaum Yahudi Bani Tughlub dari jizyah kepada zakat (halaman 38).
Demokrasi lahir di Yunani pada abad ke 5 SM. Sejarah dan faham sekular hanya dikenali di Eropah setelah demokrasi berkembang.
Madaniyyah dan Hadarah tidak mempengaruhi hukum, kerana karakter dan budaya Islam yang liberal dan universal tidak terikat pada pandangan sivil atau peradaban yang terhad.
Demokrasi yang diamalkan dalam negara Islam adalah dari sudut pelaksanaan (tanfiz), yang berpaut pada aliran dan tuntutan politik kontemporer.
Kejayaan Islam di Afghanistan di bawah pemerintah Taliban, masih perlukan kebijaksanaan Amirul Mukminin, Maula ‘Umar untuk memberi mandat dan menyusun rencana dan strategi pentadbiran. Menyerahkan urusan negara yang bersifat zanni (andaian) dan ijtihadi (dalam ruang ijtihad) kepada keputusan dan kebijaksanaan rakyat adalah langkah yang wajar dan berani.
Dakwah hendaklah disempurnakan dengan seluruh kekuatan dan keupayaan yang mungkin. Menyertai demokrasi adalah upaya untuk menerapkan undang-undang syariah dalam sistem pemerintahan.
Pertimbangan syarak menetapkan sekiranya sesuatu urusan yang nilai kebaikannya mengatasi keburukan, maka urusan itu dipandang baik dan dapat mengalahkan kejahatannya.
Khilafah Islamiyah adalah pemerintahan Islam dengan kejayaannya mentadbir kerajaan tanpa mengira ia bercorak demokrasi atau monarki.
Untuk menetapkan sesuatu sebagai haram qat‘i, harus dikemukakan dalil yang qat‘i al-dilalah (dalil yang muktamad). Dalam hal ini, demokrasi diputuskan harus oleh ijtihad Ulama.
Sekiranya ruang demokrasi itu membenarkan dan memungkinkan kerja dakwah dijalankan, maka harus terlibat untuk menyampaikan Islam.
Manhaj Nubuwwah merangkul semua aliran dan kaedah fiqh yang umum, dan politik demokrat diiktiraf “selama tidak bercanggah dengan nas yang zahir dan khafi” (halus) (halaman 52).
Demokrasi tidak bercanggah dengan prinsip dan idealisme Islam yang pluralis dan inklusif, dalam mengambil hikmah yang ditemui.
Penipuan tidak menghalang keterlibatan dan kerjasama dalam politik. Ini diperkuat dengan hadith Nabi (saw) yang bermaksud: “Perang adalah tipu daya” (al-Bukhari, 2803).
Kemusykilan tentang wang taruhan ini dalam mazhab fiqh diistilahkan sebagai ‘Urbun (deposit hangus). Prinsip ‘Urbun dibenarkan dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma‘ Sahabat dan Ulama Maliki tidak mengharuskannya. Dalil yang dikemukakan dalam bab ‘urbun yang menegah dan mengharuskannya masih dipertikaikan oleh Ulama.
Perbahasan yang ditampilkan dalam buku ini telah memperlihatkan pandangan hukum yang jelas tentang keabsahan demokrasi dan kekuatannya dalam mengangkat dan memugar kebebasan rakyat. Dengan penzahiran yang jitu dan hujah yang mengesankan, buku ini bakal meraih pengaruh yang besar sebagai teras penting dalam pemikiran dialog peradaban, dan landasan yang kukuh dalam adab al-ikhtilaf yang dipertahankan dalam warisan Islam.

Perbandingan

Kedua-dua karya ini pada asasnya mempertahankan demokrasi sebagai sistem politik yang berhasil menegakkan nilai dan prinsip politik yang adil dan demokratik.

Berbanding buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya al-Mustaqeem yang membahaskan falsafah dan sejarah demokrasi dan pembenturannya dalam tradisi pemikiran, buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir oleh Ustaz Wan Ji ini ditulis bagi mematahkan hujah yang dikemukakan oleh Hizbut Tahrir yang mengharamkan amalan demokrasi yang dipertahankan di Malaysia. Tulisannya menyerlahkan kekuatan dalam corak perbahasan yang kritis yang mengaitkan pemikiran klasik dengan kefahaman moden dan diperkukuh dengan fikrah dan hujah kontemporer.

Buku Demokrasi Haram ini juga agak klasikal dengan rujukan yang komprehensif kepada kitab-kitab klasik seperti al-Bidayah wal Nihayah, al-Isti‘ab fi Ma‘rifat al-Ashab, Hasyiah al-Sindi, al-Ta‘lil al-Maqasidi, Zad al-Ma‘ad fi Hady Khayr al-‘Ibad (saw) dan sebagainya.

Sementara buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya Al-Mustaqeem ini lebih menfokuskan kepada perbincangan hukum dan kefahaman demokrasi dalam perkembangan sejarah yang menzahirkan aliran pemikiran yang lebih ringkas dan konsisten. Ia merangkul dan merumuskan ide dan kerangka fikir filasuf dan politikus penting di Amerika seperti John Stuart Mill, John Locke, Abraham Lincoln dan hujah idealog Islam seperti Yusuf al-Qaradawi, Ruhullah Khomeini dan Abul A‘la al-Mawdudi dalam membahas dan merungkai aliran dan sejarah demokrasi yang monumental. Buku ini ditulis dalam rangka menggarap dan meluaskan ufuk pemikiran dan pandangan tentang kemampuan dan keupayaan demokrasi untuk mempertahankan referendum dan idealisme rakyat.

Pada dasarnya, kedua karya ini telah mengungkapkan hujah dan pandangan yang setara yang menyingkap dan menghuraikan tanggapan dan pemikiran Islam tentang demokrasi. Kupasan dan perbandingan yang menarik tentang kebijakan politik telah berhasil menangkis serangan yang dihadapkan dari pencabar dan penghujahnya. Peralihan kepada demokrasi ini juga tidak menafikan iltizam untuk menggerakkan idealisme khilafah, seperti dicadangkan oleh Hizbut Tahrir.

Karya Al-Mustaqeem juga adalah respon dan tangkisan kepada hujah yang diketengahkan oleh kelompok fundamentalis tentang keabsahan gerakan reformasi dan demokrasi. Kedua penulisan ini telah mengangkat dan memperlihatkan kekuatan nas dan ijma‘ dalam merungkai ikhtilaf tentang kesan dan kedudukan demokrasi dalam peradaban dan pemikiran Islam.

...

Nabil Amir, seorang penyelidik di Universiti Islam Antarabangsa

Baca Seterusnya - [wacana buku] Demokrasi dan Islam

Read more...

Thursday, February 2, 2012

Pilihanraya tidak syari'e?


WANG TARUHAN ADALAH DEPOSIT HANGUS?


Dalam satu majlis debat dengan Rakan-rakan dari Hizbu Tahrir Malaysia, mereka ada menyatakan;

kaedah menyebut, "matlamat tidak boleh menghalalkan cara". Pilihanraya di Malaysia, ada wang taruhan. Bukankah ia merupakan satu judi yang diharamkan oleh Allah. 

Jadi, tindakan PAS nak menangkan Islam di Malaysia dengan cara demokrasi pilihanraya adalah tindakan matlamat menghalalkan cara.

JAWAPAN

Dalam kaedah hukum dinyatakan bahawa;

الحكم على شيء فرع عن تصوره

Maksudnya;
"hukum terhadap sesuatu itu, sebahagiannya terletak pada memahami gambarannya"

Hakikat judi adalah pertaruhan. Iaitu dua pihak atau lebih yang bertembung menaruhkan wang masing-masing, kemudian pihak yang menang mendapat habuan dari taruhan wang tersebut.

Adapun dalam kes "wang taruhan" dalam pilihanraya di Malaysia, ia pada hakikatnya bukan taruhan. Ini kerana, bagi pihak yang menang, mereka tidak dapat habuan dari wang taruhan, sebaliknya mendapat wang mereka balik sahaja. Cuma, dari pihak yang kalah (mengikut kadar undi yang mereka dapat) pula, mereka tidak dapat wang itu.

Memandangkan kaedah menyebut;

الحكم يدور على المسمى لا على الإسم

Maksudnya;
"hukum berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama".

Dengan itu, kita akan dapati bahawa hakikat bayaran itu bukan wang taruhan, tetapi dikenali sebagai wang bayaran deposit hangus. 

Deposit hangus ini, dikenali dalam fiqh Islam sebagai 'Urboun. ‘Urboun adalah sebahagian harga yang diberikan oleh pelanggan selepas kontrak dimeterai. Ia juga adalah sebahagian daripada harga keseluruhan barang yang ingin dibeli. Cuma sekiranya pelanggan membatalkan hasrat untuk membeli dan sekaligus membatalkan kontrak. 

Para ulama menyebut bahawa SEMUA jumlah deposit yang dibayar AKAN HANGUS. Sama ada ia dari kerugian sebenar penjual atau tidak. Namun adalah digalakkan jika penjual mampu memulangkan sebahagian wang tersebut atas ihsannya.  

Dari sudut dalil, hanya terdapat dua dalil dari bab ‘Arboun, iaitu yang menolak ‘Urboun dan mengharuskannya, namun kedua-dua hadis terbabit adalah lemah. 

Konsep ‘Urboun hanya dibenarkan di dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma' para sahabat disamping tidak dinafikan bahawa Imam Malik tidak mengharuskannya[1].

Umar al-Khattab dikatakan pernah digunapakai oleh Khalifah Umar al-Khattab dan dipersetujui oleh semua sahabat Nabi yang hidup ketika itu. Gabenor Mekkah di zaman Khalifah Umar pernah membeli sebuah penjara dari Safwan Ibn Umayyah dengan harga empat ribu dirham, dan beliau memberi syarat bahawa jika Umar meluluskan pembelian itu, kontrak akan dimeterai namun jika Umar tidak bersetuju membelinya, Safwan akan diberi empat ratus dirham[2].

Jadi, tentang wang pertaruhan dalam pilihanraya, bukanlah dibawah maksud judi. Tetapi ia dalam rangka perbincangan deposit hangus yang ulama berselisih pendapat dalam menentukan status hukumnya. Perselisihan itu dibawah perkara yang boleh dihormati.

Wallahu ‘Alam



[1] at-Ta'lil al-Maqasidi: 182
[2] cerita panjang lebar sila lihat dalam kitab Zad Al-Maad
Baca Seterusnya - Pilihanraya tidak syari'e?

Read more...

Thursday, November 10, 2011

HIZBUT TAHRIR – MANHAJ ALA KHAWARIJ



[1]

Antara manhaj khawarij adalah literalis dalam merungkai hadis. Pada mereka semua hadis itu bersifat pensyariatan, walhal dalam kaedah pengistinbatan hadis, sebelum membuat keputusan hendaklah diperhatikan hadis kepada empat kerangka, iaitu;

Satu : At-Tasyrik
Dua : Al-Amr Al-Maslahi (urusan kemaslahatan, termasuk al-Imamah)
Tiga : At-Ta’dib (mendidik adab termasuk At-Targhib wa at-Tarhib)
Empat : Al-Hady wa Al-Irsyad

[2]

Antara contoh cara istinbat Khawarij adalah seperti contoh satu hadis yang berbunyi;

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia muliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia muliakan tetamunya” (lihat Al-Bukhari)

Memandangkan Khawarij literalis dalam menghurai hadis, tanpa melihat dulu klasifikasi hadis, maka tidak hairan Khawarij akan mengatakan bahawa sesiapa yang tidak memuliakan tetamu atau jirannya, maka dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat. Dengan maksud, mereka seperti terkeluar dari Islam.

Hadis ini, tidak dibawah maksud pensyariatan, tetapi ia dibawah maksud Ta’dib, iaitu mengajar adab. Dalam arti kata yang lain, ia tidak bermaksud mereka yang tidak menghormati tetamu dan jiran itu sudah terkeluar dari Islam, tetapi sengaja diungkapkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk memberi satu galakan agar menghormati jiran dan tetamu yang datang ke rumah. (lihat Turuq Al-Kasyf ‘An Maqasid As-Syarik)

[3]

Sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan dari hadis, hendaklah diperhatikan empat perkara seperti yang tersebut di atas. Perbincangan ringkasnya adalah seperti berikut;

Pertama : At-Tasyrik

Hadis yang bersifat pensyariatan ini bermaksud, ia mengandungi makna yang melahirkan hukum, sama ada bersifat suruhan (wajib atau sunat), atau bersifat larangan (haram atau makruh).

Dalam hadis, banyak yang berbentuk sebegini.

Dua : Al-Amr Al-Maslahi (urusan kemaslahatan, termasuk al-Imamah)

Ia hendaklah dilihat dari sudut kemaslahatan. Ada beberapa hadis, ia bukan merupakan satu-satunya tindakan, tetapi ia merupakan salah satu aturan Nabi Muhammad SAW yang relevan pada zaman itu. Lalu apabila dilihat pada zaman lain, maka tidak semestinya melakukan sedemikian, tetapi boleh melakukan dengan tindakan lain, iaitu sehingga mencapai maslahah yang lebih besar kepada Islam.

Ia seperti contoh hadis yang Nabi SAW ada menyatakan bahawa pemimpin itu (al-Imamah) mesti dari kalangan Quraish.  (Lihat hadis riwayat ahmad)

Hadis itu, bukan bermaksud bahawa pemimpin itu semestinya dari Quraish, tetapi ia merujuk kepada al-Amr al-Maslahi, iaitu menolak dari berlaku tanazuk, atau pertembungan pada ketika itu. Dengan maksud, di waktu lain, tidak hairan ia tidak dari kalangan Quraish. (lihat Muqaddimah Ibn Khaldun).

Mengikut istilah Dr Nu’man Jughaim dan Dr Said Ramadhan al-Buti, mereka menggunakan istilah “al-Imamah” (lihat Turuq al-Kasyf dan Dhawabit al-Maslahah).

Tetapi mengikut istilah Dr Muhammad Sulaiman Asyqar, beliau menggunakan istilah “Al-Amr al-Maslahi”.  (lihat Al-Wadih fi Usul Al-Fiqh).

Tiga : At-Ta’dib (mendidik adab termasuk At-Targhib wa at-Tarhib)

At-Ta’dib pula bermaksud mengajar adab. Ia termasuk didalamnya hadis dari sudut at-targhib dan at-Tarhib, iaitu galakan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Antara contoh dalam perkara ini adalah sepertimana hadis yang diungkap oleh puak-puak Khawarij di atas.

Empat : Al-Hady wa Al-Irsyad

Ia sekadar saranan sahaja dari Nabi SAW, yang jika tidak diikuti, maka ia tidak menjadi satu kesalahan.

Perkara ini pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW yang berjumpa dengan Mughiz yang baru bercerai dengan Barirah. Nabi SAW telah menyuruh Barirah agar kembali balik kepada Mughiz kerana melihat kesayangan Mughiz kepada Barirah. Namun, Barirah menolak suruhan Nabi SAW kerana menganggap ia sebagai saranan sahaja, bukan satu suruhan berbentuk pensyariatan. Perkara ini berlaku dihadapan nabi SAW, malahan Nabi Muhammad SAW akur dengan penolakan Barirah tersebut. (lihat dalam hadis Abu Daud yang disahihkan oleh Albani)

[4]

Hizbut Tahrir adalah antara golongan yang melihat hadis-hadis berkaitan dengan politik sebagai tasyrik, walhal ia merupakan al-Amr Al-Maslahi (al-Imamah) yang tertakluk kepada kerangka maslahah.

Perkara yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW itu, bukan satu-satunya tindakan, tetapi ia salah satu sahaja yang dilakukan oleh Nabi SAW dan amat relevan pada zaman itu, tetapi mungkin tidak relevan zaman sekarang dan seterusnya. Ini kerana, tindakan Nabi Muhammad SAW itu dibawah kerangka Wasail, bukan kerangka Maqasid.

[5]

Di samping itu lagi, Puak-puak Hizbut Tahrir ini gagal membedakan antara wasail dan maqasid dalam hadis. Walhal, jika diselidiki pada kandungan nas (al-Quran dan al-Hadis), kita akan dapati bahawa setiap kandungan syariah itu, tidak lepas mengandungi dua unsur penting, iaitu maqasid dan wasail. Kadangkala, wasail itu termaktub dalam nas, dan kadangkala ia tidak termaktub dalam nas, makanya akal digunakan dalam menentukan wasail selama tidak melanggar batasan yang ditetapkan oleh syariah secara umum.

Secara asasnya, wasail itu hendaklah diperhatikan dalam dua keadaan, sama ada mempunyai nas, ataupun tidak mempunyai nas.

Ada nas;

Wasail yang ada nas ini, tertakluk kepada semua fiqh, hatta pada fiqh ibadat sekalipun. Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi, perkara wasail ini berlaku juga dalam perkara ibadat.

Antara contoh yang beliau kemukakan adalah penerimaan sebilangan ulama besar tentang penggunaan hisab falaki (melayu : kiraan falak) dalam menentukan masuknya bulan Ramadhan dan keluarnya. Ia berasaskan kepada satu hadis Nabi SAW yang bermaksud;

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan, dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kabur, maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)” (lihat al-Bukhari)

Dalam hadis ini, dipaparkan wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa dan berhari raya), iaitu dengan melihat anak bulan. Namun begitu, dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad SAW menyebut “sekiranya kabur (tidak nampak anak bulan), maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”. Maka dengan itu, ada sebilangan ulama seperti al-Imam Taqi al-Din al-Subki membenarkan penggunaan Hisab Falaki (melayu : kiraan falak) sebagai wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa di bulan Ramadhan dan penentuan hari raya). (lihat As-Siyasah As-Syariiyyah)

Antara contoh lain dalam perkara ini juga adalah firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi” (al-Baqarah, ayat 193)

Berperang itu merupakan wasail, sedangkan maqasid dalam ayat ini adalah mengelak dari berlaku fitnah. Dengan maksud, dalam beberapa keadaan, tempat dan masa, berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah. Makanya, tidak berperang ketika itu seharusnya diambil kira.

Tiada nas;

Ada beberapa keadaan, sesuatu wasail itu tidak termaktub dalam nas, tetapi maqasidnya termaktub dalam nas. Apabila wasail itu tidak termaktub dalam nas, maka ia terserah kepada manusia itu memanfaatkan akalnya untuk berijtihad.

Antara  contoh perkara ini adalah seperti maqasid bagi fiqh jinayah adalah mendidik umat dari melakukan jenayah, menghilangkan dendam pada diri pada diri mangsa jenayah dan mencegah penjenayah dari mengulangi jenayah. (Maqasid Syariyyah Al-Islamiyyah, Ibnu Asyur)

Namun begitu, dalam beberapa kesalahan tidak termaktub dibawah hudud, makanya ia terserah kepada pemimpin Negara untuk menetapkan hukuman dibawah hukuman ta’zir, sedangkan ta’zir itu tertakluk kepada ijtihad pemerintah. (lihat al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-syariah wa maqasiduha)

[6]

Turuq istidlal puak-puak Hizbut Tahrir ini tidak jauh beda sangat dengan aliran Khawarij. Sepertimana Khawarij adalah literalis dalam menilai hadis, keadaan yang sama juga berlaku pada puak2 Hizbut Tahrir.

Aliran mereka amat bahaya, ini kerana mereka tanpa segan dan silu, tanpa mengkaji dengan disiplin fiqh yang betul menyebabkan mereka mula berani mengatakan golongan islamis lain sebagai tidak syarie.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Baca Seterusnya - HIZBUT TAHRIR – MANHAJ ALA KHAWARIJ

Read more...

Monday, November 7, 2011

BAHAYA HIZBUT TAHRIR

Oleh : Abu-syafiq


Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh.


HIZBUT TAHRIR (HT) Merupakan satu angkatan @ ajaran baru yang bertopengkan politik islam tetapi pada hakikatnya TIDAK menerima pakai hukum islam antaranya isu bersalaman, bercium laki perempuan ajnabiyah bukan muhrim dan bukan suami isteri & yang berjalan menuju zina merupakan tidak haram bahkan harus lagi HALAL bagi Hizbut Tahrir.


HT sering menyebarkan ajaran mereka kepada persatuan2 islam dimalaysia termasuk JAKIM demi merialisasikan impian mereka iaitu kesemua manusia didunia ini WAJIB ikut dan sertai HT.Dengan bertopengkan penegakan sistem Khilafah Islamiyah HT turut bertindak kurang ajar dengan menghukum seluruh umat islam yang bersemangat wataniyah sebagai KAFIR halal darahnya dan juga menghukum KUFUR terhadap semua umat islam di Malaysia dan Indonesia yang beramal dengan demokrasi.


Selainya HT tidak mengutamakan ilmu agama HT turut menerapkan nilai2 penghinaan terhadap para nabi antaranya HT menyandarkan perbuatan syirik terhadap Nabi Ibrahim serta HT turut menghukum nabi Yusuf BERKEHENDAK DAN BERNIAT MELAKUKAN ZINA dengan ZULAIKAH.Dan..dan..dan banyak lagi beribu-ribu kesongsangan ajaran baru Hizbut Tahrir yang tidak sempat diutarakan kesemuanya disini...


Umat islam tidak habis lagi dengan ajaran Mujassimah Moden( yang mengatakan Allah Duduk & Membid'ah-bid'ahkan umat islam )kini umat islam terpaksa menghadapi dengan pelbagai ajaran baru yang bertopengkan islam atau politik islam pula.


Dibawah ini saya menyatakan beberapa kesongsangan dan Hubbut Takfir ( HT ) iaitu gemar&suka menkafirkan umat islam yang wujud dalam ajaran Hizbut Tahrir ( HT ) merujuk kepada kitab asal atau risalah asal puak ajaran baru Hizbut Tahrir yang dipetik dari laman web HT sendiri dan ini bukanlah satu fitnah dan tuan2 boleh rujuk sendiri dari website HT sendiri.


( http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Hizb-ut-Tahrir.pdf )


1- HIZBUT TAHRIR MENGKAFIRKAN UMAT ISLAM.
Hizbut Tahrir Semakin Kurang Ajar Terhadap Islam dan UmatnyaHizbut Tahrir ( HT ) merupakan satu angkatan perpaduan baru yang bertopengkan dengan nama politik islam.
Umat islam memang sedari bahawa Khalifah adalah perlu dan kerja kearah mewujudkan khalifah islam sebenar sememangnya diusahakankan oleh umat islam dan ulamanya dengan cara yang cukup rapi tanpa menghukum kafir terhadap umat islam lain tanpa hak.


HT Mengharamkan Patriotisme Bahkan Mengkafirkan Sesiapa sahaja yang menubuhkannya dan menganggotainya.Dalam kitab mereka ini


http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Hizb-ut-Tahrir.pdf


Pada mukasurat 3 jelas HT mengharamkan bahkan MENGKAFIRKAN sesiapa sahaja yang menubuhkan, menganggotai dan menyokong serta bersemangat Patriotisme.
Ini bererti HT telah menghukum KUFUR terhadap semua umat islam di Malaysia dan diluar Malaysia yang mencintai negara sendiri (berbatasan syariat), maka tiada yang muslim di dunia ini bagi HT kecuali puak mereka sahaja.Hari kemerdekaan merupakan hari kekufuran bagi semua umat islam 
( inilah tanggapan HT berdasarkan dalam kitab mereka tersebut ).
Nampak gayanya berasa lega sungguh puak HT ini bila dah kafirkan umat islam.


2- HIZBUT TAHRIR MEWAJIBKAN KEATAS UMAT ISLAM MENGIKUT DAN MENGANGGOTAI MEREKA ( walaupun kekadang mereka menafikannya tetapi kitab mereka membuktikannnya).
Wahai umat islam...lihatlah cara pendekatan HT ini dan saya berharap anda jangan tertipu dengan HT yang memang kurang ajar..dahlah tidak berhukum dengan hukum islam bila HT menghalalkan ciuman diantara lelaki dan perempuan dan persalaman antara mereka dalam risalah edaran HT di Tripoly.


Lihat pada perenggan pertama pada mukasurat 6
http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Hizb-ut-Tahrir.pdf


Jelas! bahawa HT mewajibkan anda semua menganggotainya dan siapa yang tidak melakukan perkara yang wajib maka dia telah melanggar perintah 'islam' dan akan diazab dalam api neraka Allah.


3- HIZBUT TAHRIR MENGKAFIRKAN SESIAPA YANG BERAMAL,BERSETUJU DAN BERKAITAN DENGAN DEMOKRASI.
Lihathttp://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Hizb-ut-Tahrir.pdf mukasurat 17 jelas bahawa HT gemar menghukum umat islam sekarang ini adalah kafir yang islam hanya HT sebab itu HT mewajibkan ikut mereka..rujuk semula m/s 6
http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Hizb-ut-Tahrir.pdf.


4- HIZBUT TAHRIR MENGANGGAP bahawa NABI&RASUL TIDAK MAKSUM ( TIDAK TERPILIHARA DARI KEKUFURAN ).
Mungkin yang maksum disisi HT hanya Taqiyuddin Nabhani.
Ketahuilah bahawa disisi agama islam yang dipelopori oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa para Nabi dan Rasul mereka adalah maksum( terpelihari) dari kekufuran,
dosa besar & dosar kecil yang buruk pada SEBELUM kenabian dan kerasulam mereka serta SESUDAH kenabian dan kerasulan mereka. Inilah aqidah islam.


Malangnya HT beranggapan bahawa kemaksuman Nabi & Rasul dari kekufuran dan dosa besar HANYALAH SELEPAS dilantik oleh Allah sebagai nabi atau rasul.


Ini bermakna HT mengharuskan kekufuran berlaku pada Nabi dan Rasul sebelum kenabian sedangkan Allah tidak akan mengutuskan manusia sekeji itu ( iaitu yang melakukan kekufuran).
Laman Hizbut Tahrir membuktikan perkara tersebut


:http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Shakhsiyah1.pdf


Lihat pada m/s 137 diakhir perenggan jelas HT mengatakan bahawa para Nabi dan Rasul tidak maksum dan harus melakukan seperti mana manusia lain melakukan ( dari perkara kufur,dosa besar dan selainnya).nak tanya pada HT..taqiyuddin nabhani yang menentang ikhwan muslimin tu maksum ke tak?.


5- HIZBUT TAHRIR MENYANDARKAN SIKAP SYIRIK TERHADAP NABI IBRAHIM.
Saudara seislam sekalian…tidak cukup HT menafikan kemaksuman Anbya' dari kekufuran sebelum kenabian, kini HT sanggup menyandarkan sikap seakan syirik terhadap nabi Ibrahim.Ketahuilah bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah bersikap seakan bulan itu tuhan!
Dan Nabi Ibrahim tidap pernah mengadap matahari seolah-olah bersetuju dengan cara pemikiran org musyrik! Tidak dan tidak pernah!Akan tetapi HT telah menyandarkan perkara yang jelek itu terhadap Nabi Ibrahim…subhanallah..Ini juga bukan satu fitnah terhadap HT tapi anda boleh rujuk pada website HT 


(http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/pdf/sn200615_istimewa_maulidur_rasul_1427_hijrah_mengapa_kita_perlukan_rasul_allah.pdf )


Pada risalah mereka SAUTUN NAHDHAH SN652406 mukasurat 2 & 3.


Tidak pernahkan HT memahami firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 67 Allah ta'ala menafikan nabi Ibrahim dari kalangan musyrikin!.


6- DALIL GANJIL HIZBUT TAHRIR MENGHALALKAN MAKAN KHINZIR DEMI UNTUK MENGELAK KEMUDARATAN.
Saya nasihatkan kepada HT agar terus mempelajari ilmu agama dari ahli ilmu agama dan bukannya dari Taqiyuddin Nabhani! Agar anda dapat meletakkan dalil syarak ditempatnya dan bukan pakai tibai saja!Pada website


http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/pdf/sn200615_istimewa_maulidur_rasul_1427_hijrah_mengapa_kita_perlukan_rasul_allah.pdf& risalah Hizbut Tahrir SAUTUN NAHDHAH SN652406 di mukasurt 3,


Apabila HT menghalalkan makan khinzir untuk mengelak kemudaratan, HT telah mengunakan ayat yang dipesongkan terjemahannya dan tafsirannya.


Cuba lihat bahawa ayat 106 dalam surah An-Nahl cukup panjang, malangnya HT yang tiada amanah dengan ayat Alquran telah meringkaskanya mengikut hawa nafsu mereka.


Kerja meringkaskan ayat Al-quran (sehingga terkeluar dari maksudnya) tidak dilakukan melainkan hanyalah kerja org jahil!Ayat tersebut menyatakan mengenai hukum kekufuran dan org islam yang dipaksa untuk kufur tiada kaitan dengan halal makan khinzir!


Demikian terjemahan sebenar ayat tersebut :


"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan atau melafazkan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar".


Qias yang digunakan oleh HT sering menyimpang kerana kejahilan mereka!
Adakah HT mahukan sistem khilafah ala meringkaskan ayat-ayat alquran dan dipotong-potong serta memutarbelit ayat-ayat Allah?!!


7- HIZBUT TAHRIR MENYATAKAN NABI YUSUF BERMAKSUD MELAKUKAN ZINA.
Tabarakallah!...apa ini?!Subhanallah…Kejahilan mentafsir Alquran membuatkan HT menyandarkan terhadap nabi Yusuf sifat keinginan melakukan zina terhadap zulaikha.


Saya menyeru agar HT memerangi kejahilan dan pergi belajar balik cara tafsir Alquran sebenar kerana HT telah melakukan jutaan kesilapan dalam Alquran. Adakah kejahilan Alquran asas Hizbut Tahrir bagi menyokong sistem khilafah?!.


http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/pdf/sn200615_istimewa_maulidur_rasul_1427_hijrah_mengapa_kita_perlukan_rasul_allah.pdf pada risalah mereka SAUTUN NAHDHAH SN652406 di mukasurt 4, HT telah menerangkan ayat Alquran dengan salah sehingga menyebabkan HT menyandarkan terhadap nabi Yusuf sifat hendak melakukan seks dengan wanita itu.
Tabarakallah allazi 'assoma ambiyaahu.


8- HIZBUT TAHRIR MENGATAKAN BAHAWA AGAMA PARA NABI TERDAHULU BUKAN AGAMA ISLAM.
Dalam kitab HT berjudul Syakhsiyah Islamiah Juzuk Tiga Usul Fiqh di Mukasurat 406 & 407, 


http://www.hizb-ut-tahrir.org/PDF/AR/ar_books_pdf/Shakhsiyyah3.pdf


HT telah menafikan Islam sebagai agama para nabi-nabi terdahulu.Ketahuilah bahawa seluruh para Nabi beragama Islam berdalilkan banyak ayat dan bukti lain..antaranya firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 67.Firman Allah bermaksud :


"Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang MUSLIM (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik".


Cuma syariat iaitu hukum-hakam para rasul sahaja yang berbeza, manakala agama adalah sama iaitu agama Islam yang beriman dengan Allah sebagai Tuhan yang disembah.


Demikianlah beberapa cebis penerangan mengenai bahayanya ajaran Hizbut Tahrir.
Semoga Allah memelihara umat islam dari terpengaruh dengan ajaran Hizbut Tahrir. amin.




sumber
Baca Seterusnya - BAHAYA HIZBUT TAHRIR

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP