Showing posts with label ILMU FIQH. Show all posts
Showing posts with label ILMU FIQH. Show all posts

Tuesday, September 11, 2012

[wacana buku] Demokrasi dan Islam





Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi, oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi. Kuala Lumpur: Middle-Eastern Graduates Centre, 2006. Dengan Kerjasama Konrad Adenauer Foundation. Hh. xi + 48. RM 4.00.

Buku kecil ini cuba mengungkapkan idealisme Islam tentang demokrasi bagi menjawab dan meleraikan konflik dan pembenturan antara pemikiran politik Islamis dan sekularis. Ia merumuskan antara lain kesejajaran Islam dan demokrasi kerana nilai yang didengungkan oleh keduanya itu mendukung dan mempertahankan tatanan sosial yang adil dan terbuka.

Buku ini adalah salah satu daripada siri ‘Isu-Isu Semasa Dalam Risalah’ ditulis bagi ‘menampilkan sisi-sisi yang cerah dalam agama dan menyelak seluas mungkin dimensi kemanusiaan risalah agama’ (halaman iix). Ia merupakan olahan kepada buku Al-Quran-Hadis dan Demokrasi yang dihasilkan oleh Sukron Kamil dan diterbitkan oleh Pusat Bahasa dan Budaya UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Istilah demokrasi berakar dari bahasa Yunani purba, dari gabungan perkataan Greek demos, rakyat dan kratein, untuk memerintah, yang telah membentuk istilah demokratia yang bermaksud ‘pemerintahan rakyat’ (halaman 7). Menurut penulis, ungkapan ini diilhamkan oleh Herodotus pada kurun ke 5 (SM). Ia mengambil kerangka pemerintahan yang tercipta di Athens yang menzahirkan corak hubungan yang ideal, yang mempertahankan paksi demokratik, dan partisipasi politik.

Pemikiran John Locke (1637-1704) diketengahkan dalam bab ketiga yang membicarakan antara lain hujahnya dalam Two Treatises on Government yang cukup berkesan dalam melahirkan teori pentingnya ‘kontrak sosial’ yang memberikan hak mutlak kepada insan untuk ‘hidup secara bebas, merdeka, meraih keadilan dan pemilikan”, (halaman 16). Ini diperkukuh dengan hujah Rousseau (1712-1778) dalam The Social Contract yang menuntut legitimasi masyarakat sivil dan pembentukan pakatan sosial yang berkeupayaan mentadbir hala tuju politik yang sistematik.

Demokrasi dicapai di Amerika pada kurun ke-18 dan kemuncaknya pada kurun ke-19 dengan cetusan pemikiran yang dirumuskan oleh empat pemikir penting: Thomas Jefferson, Abraham Lincoln, John Stuart Mill dan Alexis de Tocqueville (Democracy in America). Pemikiran yang diungkapkan oleh keempat tokoh ini menegaskan dasar humanis dan personalis, dan deklarasi moral yang komprehensif.

Bab keempat membahaskan tiga aliran yang dipertahankan dalam mazhab politik Islam: menerima demokrasi secara mutlak, menolak sepenuhnya, menerima prinsipnya dan melihat terdapat perbezaannya dengan Islam. Pertimbangan pertama diwakili oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Ayatollah Khomeini yang memandang kesamaan demokrasi dengan Islam dan kerana tanggungjawab semua untuk berperanan dan menentukan masa depan negara dan Islam (halaman 22).

Pandangan kedua diwakili oleh Syeikh Fadhallah Nuri, Sayyid Qutb, Ali Benhadji dan Tabatabaie yang memutuskan bahawa faham demokrasi tidak berakar dari ajaran Islam (halaman 23). Pandangan terakhir yang cuba menyeimbangkan keduanya diwakili oleh Abu’l-A‘la al-Mawdudi yang mengilhamkan teori ‘teo-demokrasi’, kerajaan demokratik berlandaskan agama, yang mengisytiharkan bahawa kedaulatan mutlak hanya tertakluk pada Tuhan, dengan penganugerahan kuasa pada rakyat sebagai khalifah. Menurutnya amalan pemerintahan Islam adalah berasaskan pada prinsip tauhid, risalah dan khalifah yang membezakannya dengan demokrasi konstitusional.

Bab kelima menyingkap hujah dan nas al-Qur’an dan al-sunnah tentang intisari dan tafsiran demokrasi. Ia mengungkapkan konsep al-Qur’an tentang prinsip syura, ijma‘, ijtihad, amanah, musawah, ‘adl dan bai‘at dan tradisi al-sunnah yang menjelaskan kepentingan amar ma‘ruf nahi munkar, proses menandatangi perjanjian Madinah, dan riwayat sejarah yang menukilkan tentang konsep participatory government yang diusahakan (halaman 34).

Topik terakhir merumuskan praktis demokrasi yang kukuh dalam tradisi Islam yang diperlihatkan dalam zaman khalifah al-Rashidun dan warisan politik Islam yang dipertahankan dalam dinasti Umayyah dan Abbasiyyah di Baghdad, Andalus dan Turki Uthmaniyyah. Sistem politik Islam ini diiktiraf oleh pengkaji oriental seperti Max I. Dimont dan Bernard Lewis. Jaringan politik Islam kontemporari turut menyaksikan transisi penting ke arah demokrasi yang ditunjangi oleh Turki, dan Indonesia, dan quasi-demokrasi yang ditegakkan di Mesir, Maghribi, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan dan Tunisia.

Ringkasnya, pencapaian buku ini yang terbaik adalah dalam menangkis hujah pemerintah Islam seperti di Saudi dan kelompok fundamentalis dan Islamis yang menolak kesejajaran Islam dengan demokrasi (compatibility of Islam and democracy), kerana ruang perbahasan dan hujah yang dikemukakan telah menzahirkan kekuatan demokrasi sebagai landasan politik Islam yang ideal.

Ia menjadi penanda aras yang penting dalam sistem pemerintahan, yang berpaut pada semangat dan manhaj Islam yang tulen, dan perlaksanaan tatakelola dan tatatadbir yang bersih. Ketika rakyat melihat kebobrokan sistem otokrat, despotik, dan kuasa feudal yang mutlak, maka peralihan dunia dan transisi massa kepada syura, menyerlahkan kekuatan dan pengaruh demokrasi yang makin berkembang dan diraikan di seluruh dunia.

***

Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir, oleh Wan Ji Wan Hussin. Sungai Buloh: Sekolah Pemikiran As-Syatibi, 2011. Hal. 73. RM 9.00.



Buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir ini dihasilkan oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin sebagai jawapannya kepada tentangan Hizbut Tahrir terhadap sistem demokrasi yang diterima pakai di Malaysia. Ia merupakan nota jawapannya kepada Ustaz Abu Hamzah, salah seorang tokoh penting gerakan Hizbut Tahrir di Malaysia ketika wacana debat yang mengemukakan tema “Absahkah Demokrasi dalam Islam” dipentaskan di Bangi (17 April 2011).

Cabarannya terhadap Abu Hamzah, adalah berdasarkan keyakinannya akan pengaruh dan kekuatan prinsip-prinsip demokratik dalam rangkaian politik semasa. Wacana yang dianjurkan ini adalah lanjutan kepada perbincangan dan pertukaran fikiran dan pendapat secara bebas antara “yang menyokong atau membangkang demokrasi” (halaman 2) yang diwacanakan di laman sosial Facebook.

Ustaz Wan Ji mencetuskan pandangan dan pemikiran haraki yang merangkul semangat Islam yang praktis dalam menjawab tentangan terhadap demokrasi. Menurutnya “demokrasi tidak boleh diharamkan secara mutlak dengan alasan Nabi SAW tidak lakukan…dalam usaha menjatuhkan regim,…menggunakannya adalah dibenarkan (halaman 73).

Demokrasi diiktiraf oleh Ikhwan al-Muslimun, Hamas, PAS dan gerakan Islam yang lain sebagai falsafah politik yang ideal yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan, menolak penindasan dan kezaliman, dan mengangkat maruah dan kemuliaan insan (karamah insaniyyah).

Amalan demokrasi yang melantarkan asas politik yang kukuh ini didukung oleh negara-negara Islam serantau sebagai prinsip dan sistem yang terbaik setakat ini yang berjaya menumpaskan pengaruh komunisme, totalitarianisme dan membungkam faham feudalisme. Ia merupakan gagasan politik yang penting yang diperjuangkan oleh pemikir dan intelektual Muslim seperti Dr Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Dr Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor.

Berbeza dengan falsafah klasik, demokrasi moden menggagaskan tiga asas penting dalam rangka pemerintahan, dengan pemberian mandat kepada badan legislatif (tafwidh), ekskutif (tanfiz) dan referendum rakyat sebagai paksi yang kuat dalam pakatan demokrasi.

Perkembangan demokrasi di seluruh dunia dengan kedudukannya yang penting dan pengaruhnya yang autoritatif telah melahirkan pengiktirafan terhadap kekuatannya dari seluruh kalangan, walaupun tidak menzahirkan praktis demokrasi yang komprehensif.

Jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Ismail Yusanto dalam makalahnya yang berjudul “Ilusi negara demokrasi” menulis: “Dalam praktiknya, demokrasi tidaklah seragam di berbagai-bagai negara, termasuk di Amerika dan di Eropah… hanya dinisbatkan pada katagori-katagori demokrasi yang sangat artifisial, jauh dari subtansi demokrasi sendiri. Pemilu damai, transparansi, kebebasan, persamaan dan lain-lain hanyalah ketagori sangat teknis dan prosediral” (Demokrasi Kulit, hh. 6-7).

Pandangan ini menyerlahkan kenyataan sebenar tentang negara demokrasi, seperti perjuangan menegakkan demokrasi pancasila di Indonesia, dan demokrasi berparlimen di Malaysia, yang relatifnya tidak memperuntukkan kuasa mutlak kepada rakyat, kerana tertakluk pada pancasila dan perlembagaan.

Demokrasi dirangka dengan asas moral yang utuh dan pertimbangan akhlak yang jelas yang menggarap tuntutan kebebasan dan keadilan dan kesamaan hak dan peluang rakyat. Kesetaraannya dengan fikrah Islam ini memungkinkan tokoh-tokoh demokrat di dunia Islam seperti Muhammad Natsir, dan Rashid Ghanuochi menganjurkan ‘demokrasi Islam’, yang mempertahankan nilai demokrasi dan Hakimiyyah Allah, dan tradisi Ahl al-Hil wa al-‘Aqd yang fundamental (halaman 7).

Fatwa dan komentar Ulama tentang demokrasi, turut dimuatkan dalam bab ini dari rangkuman pandangan Syaikh Muhammad al-Ghazali (1917-96) dalam karyanya “Al-Islam wa’l-Dimuqratiyyah”, Abu’l-A‘la al-Mawdudi (1903-1979), Dr Yusuf al-Qardawi (1926-) dalam “Fi Fiqh al-Daulah”, Hasan Turabi (1932-) dalam “Al-Islam wa al-Dimuqratiyah”, dan Rashid al-Ghanoushi (1941-) dalam “Al-Hurriyyah al-‘Ammah fi al-Daulah al-Islamiyyah”. Dalam karyanya ini, Ghanoushi mengungkapkan idea dan pemikiran klasiknya tentang demokrasi: “Demokrasi bukan sekadar proses pemindahan kuasa kepada rakyat dan juga bukan satu deklarasi keluhuran perlembagaan bagi sesebuah negara.

Peri pentingnya demokrasi adalah berpaksi kepada kemuliaan insan (dignity of man). Manusia mempunyai hak-hak yang dapat mempertahan kemuliaan diri, menjamin hak untuk berpartisipasi dalam pentadbiran awam, dan dalam masa yang sama manusia dapat membuat tekanan dan mempengaruhi penguasa-penguasa, dan terjamin selamat dari sebarang tekanan dan kezaliman.”

Bab kedua melakarkan hubungan antara demokrasi dan hukum. Ia membahaskan aliran fiqh Islam yang ditunjangi oleh tiga mazhab pemikiran, al-Zahiri, Mu‘attilah (neo-mu‘tazilah) dan pertengahan (moderat) (yang dinukil dari kitab Turuq al-Kasyf ‘an Maqasid al-Syar‘i oleh Dr Nu‘man Jughaym (halaman 15). Perbincangan teks yang dikemukakan memberikan penjelasan hukum dan kaedah fiqh yang digariskan dalam mazhab dan menzahirkan hujah fuqaha Islam seperti Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim, Imam al-Mawardi dalam Al-Hawi al-Kabir dan Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa min ‘ilm al-Usul yang menghuraikan kedudukan nas dan perkaitannya dengan maqasid syarak, masalih al-‘ibad (kemaslahatan), ta‘lil, ma’alat al-af‘al (implikasi), dan ijtihad.

Perbahasan hukum dan pengelasannya kepada tasyri‘ (pensyariatan) dan tanfiz (pelaksanaan) diungkapkan dalam fasal ketiga. Penulis mengutip pendapat dan fatwa ulama muktabar seperti Imam Hanafi, Imam Malik (kitab al-Mudawwanah), Imam as-Syatibi (al-I‘tisam), Imam al-‘Izz b. Abd al-Salam (Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam), Ibn Qudamah (al-Mughni), dan Imam Hanbali (al-Qawa‘id) tentang teori tasyri‘ dan tanfiz dengan penzahiran hujah dan pengemukaan dalil yang kukuh tentang tanfiz yang ditentukan atas pertimbangan maslahah.

Demokrasi diputuskan dalam kategori tanfiz dan syura seperti dijelaskan dalam kitab al-Imamah al-‘Uzma oleh Imam ‘Abdullah b. ‘Umar al-Damiji yang meletakkan prinsip syura sebagai sandaran hukum yang penting dalam syariat berhubung dengan urusan pertahanan dan perang, perkara yang tidak diputuskan oleh nas dan yang diterangkan oleh nas tetapi berkait dengan ijtihad.

Perbincangannya diperkukuh dengan ulasan ustaz Fathi Yakan tentang keutamaan parlimen sebagai medan untuk mengkritik dan menilai pemerintah (hisbah), menyatakan sokongan kepada dasar Islam, memberikan pandangan secara terbuka, dan sebagai mimbar dakwah (halaman 28), di mana pemimpin Hizb Tahrir sendiri pernah menjadi wakil parlimen di wilayah Syria (Sayyid ‘Abd al-Rahman al-Maliki), Jordan (Ahmad al-Da’ur) Tripolis (Sayyid Osman Safi) dan Beirut (Sayyid Ali Fakhruddin).

Dalam kenyataan yang diutarakannya Ustaz Fathi menjelaskan: “Sungguh menghairankan apabila pada ketika ini sesetengah anggota Hizb Tahrir membuat kenyataan yang melarang mencalonkan seseorang menyertai dewan parlimen, walhal mereka pernah melakukan berkali-kali di beberapa negara” (halaman 28, Apabila YB bercakap dalam Parlimen, hal. 147).

Bab ketiga membicarakan kekuatan daulah Islam, dan kaedah dan perencanaannya dalam tradisi Islam. Penulis mengungkapkan faedah dan keuntungan yang diraih dari sistem demokrasi, antara lain keupayaan menyingkirkan kezaliman, membanteras kemungkaran, melaksanakan Islam menurut kemampuan, dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim (halaman 32).

Negara Islam dibina dan direalisasikan dengan tertewasnya pemerintah autokrat yang ditumpaskan dengan kekuatan jihad. Kaedah militer ini didukung oleh sebahagian pemikir mu‘tazilah dan ahl al-sunnah. Justeru, sekiranya dengan bertempur dan menumpahkan darah dianjurkan, maka memanfaatkan kaedah yang aman dan saluran demokrasi lebih layak dan rasional untuk dipakai (halaman 33). Dan untuk mencapai keadilan dan demokrasi, usaha yang sekuat mungkin untuk melaksanakan islah harus dimulakan, dengan menolak penindasan dan kezaliman dan mengiktiraf asas dan prinsip negara demokratik.

Bab kelima merupakan jawapan dan responnya kepada Hizbut Tahrir tentang persoalan yang dibangkitkan berhubung konsep dan kenyataan demokrasi di Malaysia. Keabsahan demokrasi sebagai sistem pemerintahan yang mempertahankan keadilan dan harakat dan darjat insan diperjuangkan sebagai aspek penting dalam maqasid Islam. Perbincangannya digarisbawahi dengan hujah dan kekuatan dalil dan keterangan nas yang tuntas.

Pendapat Hizbut Tahrir terhadap demokrasi antara lain: ia merupakan produk Barat, istilah demokrasi dicipta oleh karakter yang bukan Islam, demokrasi lahir dari pemikiran sekular, demokrasi adalah hadarah (tetap), bukan madaniyyah (perubahan), justeru pilihanraya (madaniyyah) diluluskan, dan demokrasi ditolak, kebenaran tidak dirujuk kepada suara majoriti, syariah dilaksanakan tanpa perlu mandat umum, berdakwah tidak semestinya perlukan saluran demokrasi, demokrasi yang diperjuangkan oleh Amerika telah dimanipulasi dan disabotaj di Afghanistan dan Iraq, kerajaan yang ditegakkan oleh Khalifah Mu‘awiyyah adalah sistem khilafah dan bukan dinasti monarki, demokrasi haram secara qat‘i (muktamad) dan bukan dalam lingkungan ijtihad, kejayaan dalam dakwah tidak perlukan demokrasi untuk mencapainya, manhaj Nubuwwah tidak mengambil demokrasi sebagai landasan politiknya, demokrasi tidak seperti politik Islam walau terdapat ciri kesamaannya, demokrasi adalah sistem yang ditunjangi oleh penipuan dan kepalsuan, matlamat tidak menghalalkan cara dan pilihanraya di Malaysia menerima wang taruhan (seakan perjudian).

Sebagai respon dan tangkisannya kepada hujah yang dikemukakan oleh Ustaz Abu Hamzah, Ustaz Wan Ji dengan keyakinan yang jitu mengenengahkan hujahnya:

Syariat umat yang datang sebelum kita dapat diangkat dan dimanfaatkan sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah dan nas syarak yang sarih.
Saydina ‘Umar pernah menukarkan nama pajak yang dikenakan kepada kaum Yahudi Bani Tughlub dari jizyah kepada zakat (halaman 38).
Demokrasi lahir di Yunani pada abad ke 5 SM. Sejarah dan faham sekular hanya dikenali di Eropah setelah demokrasi berkembang.
Madaniyyah dan Hadarah tidak mempengaruhi hukum, kerana karakter dan budaya Islam yang liberal dan universal tidak terikat pada pandangan sivil atau peradaban yang terhad.
Demokrasi yang diamalkan dalam negara Islam adalah dari sudut pelaksanaan (tanfiz), yang berpaut pada aliran dan tuntutan politik kontemporer.
Kejayaan Islam di Afghanistan di bawah pemerintah Taliban, masih perlukan kebijaksanaan Amirul Mukminin, Maula ‘Umar untuk memberi mandat dan menyusun rencana dan strategi pentadbiran. Menyerahkan urusan negara yang bersifat zanni (andaian) dan ijtihadi (dalam ruang ijtihad) kepada keputusan dan kebijaksanaan rakyat adalah langkah yang wajar dan berani.
Dakwah hendaklah disempurnakan dengan seluruh kekuatan dan keupayaan yang mungkin. Menyertai demokrasi adalah upaya untuk menerapkan undang-undang syariah dalam sistem pemerintahan.
Pertimbangan syarak menetapkan sekiranya sesuatu urusan yang nilai kebaikannya mengatasi keburukan, maka urusan itu dipandang baik dan dapat mengalahkan kejahatannya.
Khilafah Islamiyah adalah pemerintahan Islam dengan kejayaannya mentadbir kerajaan tanpa mengira ia bercorak demokrasi atau monarki.
Untuk menetapkan sesuatu sebagai haram qat‘i, harus dikemukakan dalil yang qat‘i al-dilalah (dalil yang muktamad). Dalam hal ini, demokrasi diputuskan harus oleh ijtihad Ulama.
Sekiranya ruang demokrasi itu membenarkan dan memungkinkan kerja dakwah dijalankan, maka harus terlibat untuk menyampaikan Islam.
Manhaj Nubuwwah merangkul semua aliran dan kaedah fiqh yang umum, dan politik demokrat diiktiraf “selama tidak bercanggah dengan nas yang zahir dan khafi” (halus) (halaman 52).
Demokrasi tidak bercanggah dengan prinsip dan idealisme Islam yang pluralis dan inklusif, dalam mengambil hikmah yang ditemui.
Penipuan tidak menghalang keterlibatan dan kerjasama dalam politik. Ini diperkuat dengan hadith Nabi (saw) yang bermaksud: “Perang adalah tipu daya” (al-Bukhari, 2803).
Kemusykilan tentang wang taruhan ini dalam mazhab fiqh diistilahkan sebagai ‘Urbun (deposit hangus). Prinsip ‘Urbun dibenarkan dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma‘ Sahabat dan Ulama Maliki tidak mengharuskannya. Dalil yang dikemukakan dalam bab ‘urbun yang menegah dan mengharuskannya masih dipertikaikan oleh Ulama.
Perbahasan yang ditampilkan dalam buku ini telah memperlihatkan pandangan hukum yang jelas tentang keabsahan demokrasi dan kekuatannya dalam mengangkat dan memugar kebebasan rakyat. Dengan penzahiran yang jitu dan hujah yang mengesankan, buku ini bakal meraih pengaruh yang besar sebagai teras penting dalam pemikiran dialog peradaban, dan landasan yang kukuh dalam adab al-ikhtilaf yang dipertahankan dalam warisan Islam.

Perbandingan

Kedua-dua karya ini pada asasnya mempertahankan demokrasi sebagai sistem politik yang berhasil menegakkan nilai dan prinsip politik yang adil dan demokratik.

Berbanding buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya al-Mustaqeem yang membahaskan falsafah dan sejarah demokrasi dan pembenturannya dalam tradisi pemikiran, buku Demokrasi Haram? Menjawab Hizbut Tahrir oleh Ustaz Wan Ji ini ditulis bagi mematahkan hujah yang dikemukakan oleh Hizbut Tahrir yang mengharamkan amalan demokrasi yang dipertahankan di Malaysia. Tulisannya menyerlahkan kekuatan dalam corak perbahasan yang kritis yang mengaitkan pemikiran klasik dengan kefahaman moden dan diperkukuh dengan fikrah dan hujah kontemporer.

Buku Demokrasi Haram ini juga agak klasikal dengan rujukan yang komprehensif kepada kitab-kitab klasik seperti al-Bidayah wal Nihayah, al-Isti‘ab fi Ma‘rifat al-Ashab, Hasyiah al-Sindi, al-Ta‘lil al-Maqasidi, Zad al-Ma‘ad fi Hady Khayr al-‘Ibad (saw) dan sebagainya.

Sementara buku Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis dan Tradisi karya Al-Mustaqeem ini lebih menfokuskan kepada perbincangan hukum dan kefahaman demokrasi dalam perkembangan sejarah yang menzahirkan aliran pemikiran yang lebih ringkas dan konsisten. Ia merangkul dan merumuskan ide dan kerangka fikir filasuf dan politikus penting di Amerika seperti John Stuart Mill, John Locke, Abraham Lincoln dan hujah idealog Islam seperti Yusuf al-Qaradawi, Ruhullah Khomeini dan Abul A‘la al-Mawdudi dalam membahas dan merungkai aliran dan sejarah demokrasi yang monumental. Buku ini ditulis dalam rangka menggarap dan meluaskan ufuk pemikiran dan pandangan tentang kemampuan dan keupayaan demokrasi untuk mempertahankan referendum dan idealisme rakyat.

Pada dasarnya, kedua karya ini telah mengungkapkan hujah dan pandangan yang setara yang menyingkap dan menghuraikan tanggapan dan pemikiran Islam tentang demokrasi. Kupasan dan perbandingan yang menarik tentang kebijakan politik telah berhasil menangkis serangan yang dihadapkan dari pencabar dan penghujahnya. Peralihan kepada demokrasi ini juga tidak menafikan iltizam untuk menggerakkan idealisme khilafah, seperti dicadangkan oleh Hizbut Tahrir.

Karya Al-Mustaqeem juga adalah respon dan tangkisan kepada hujah yang diketengahkan oleh kelompok fundamentalis tentang keabsahan gerakan reformasi dan demokrasi. Kedua penulisan ini telah mengangkat dan memperlihatkan kekuatan nas dan ijma‘ dalam merungkai ikhtilaf tentang kesan dan kedudukan demokrasi dalam peradaban dan pemikiran Islam.

...

Nabil Amir, seorang penyelidik di Universiti Islam Antarabangsa

Baca Seterusnya - [wacana buku] Demokrasi dan Islam

Read more...

Saturday, June 23, 2012

Merokok Itu Haram - Mufti `Ali Jum`ah


Allahu ... Allah, ada seseorang yang ingin menyanggah fatwa para ulama (baca: fatwanya para ulama dan bukannya fatwa ese) yang mengharamkan merokok. Beliau, membawakan cuplikan video youtube yang telah lama beredar, di mana Syaikh `Ali Jum`ah hafizahullahmenceritakan bahawa Musnid Dunya Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullahjuga menghisap rokok. Dipertontonkan cuplikan tersebut dengan sangkaan bahawa al-`Alim al-`Allaamah Mufti `Ali Jum`ah termasuk ulama kontemporer yang mengharuskan atau sekadar memakruhkan merokok. Namun sangkaan tersebut adalah jauh terpeleset kerana ternyata Mufti `Ali Jum`ah adalah antara ulama yang mengharamkan merokok. Sebagaimana Syaikh Nuruddin al-Banjari hafizahullah, yang juga pernah menimba ilmu dengan Syaikh Yaasin rahimahullah, Mufti Dr. `Ali Jum`ah telah memfatwakan merokok adalah haram. Fatwa beliau ini termaktub dalam himpunan fatwa beliau yang masyhur, "al-Bayaan li maa yasyghal al-adzhaan".

Silalah tuan-tuan lihat fatwa beliau sepenuhnya sebagaimana tersebut pada halaman 357 - 358, beliau, antara lain, menyatakan bahawa asalnya rokok dibawa dan disebarkan oleh penjajah Inggeris ke wilayah - wilayah Othmaniyyah, manakala di wilayah Maghrib ianya diperkenalkan oleh Yahudi. Beliau juga menyebut bahawa sebab berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama terdahulu (qadiman) mengenai hukum merokok adalah kerana mereka berselisih mengenai kemudaratannya. Namun, sesuai dengan peredaran masa, di mana hari demi hari, kajian dan penyelidikan kesihatan moden telah membuktikan bahawa merokok adalah sangat memudaratkan kesihatan manusia. Oleh itu, Mufti Dr. `Ali Jum`ah hafizahullah telah menghukumkan merokok sebagai HARAM dan di akhir fatwanya, beliau dengan tegas menyatakan:-

و لذا نرى أن التدخين عاذة سيئة محرمة شرعا، نسأل الله أن يتوب على من ابتلي بها
" Dengan itu, kami berpendapat bahawa merokok adalah kebiasaan yang buruk yang diharamkan syarak. Kami memohon kepada Allah agar memberikan kesedaran untuk bertaubat kepada sesiapa yang dibala`kan dengan perbuatan tersebut."
Janganlah mudah - mudah membawa kisah ulama terdahulu yang menghisap rokok sebagai dalil untuk menyanggah fatwa terkini mengenai merokok. Sesuatu hukum itu disandarkan kepada illahnya (sebabnya). Merokok itu haram kerana ianya memudaratkan kesihatan, mungkin ulama terdahulu mengharuskan merokok atau hanya memakruhkannya kerana menurut ilmu mereka ketika itu, merokok tidak mendatangkan mudarat. Mudarat atau tidak, itulah `illah tempat berlegarnya hukum. Tidaklah boleh dihujjahkan bahawa merokok itu halal atau harus atau makruh kerana Syaikh fulan kuat merokok. Jawab dahulu dengan jujur persoalan samada merokok itu memudaratkan atau tidak mengikut kajian pakar ? Ulama terdahulu diberi keuzuran (ma'dzur) kerana kurangnya pengetahuan dan kajian ketika itu mengenai bahaya dan mudarat merokok. Juga, kemungkinan rokok yang ada pada ketika itu berbeza kandungan bahannya dengan rokok-rokok yang beredar sekarang yang mempunyai berbagai kandungan kimia yang membahayakan. Kepada yang merokok, moga-moga Allah memberikan kekuatan kepada kalian untuk berhenti merokok dan menjadikan kalian orang yang banyak ruku' dan bukan banyak rokok.


wallahu'alam
Baca Seterusnya - Merokok Itu Haram - Mufti `Ali Jum`ah

Read more...

Tuesday, October 4, 2011

Jahil Dalam Disiplin Ilmu


Soalan yang perlu dijawab :

1. Pernahkah anda melihat ada pelajar yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadith Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadith yang berkaitan dengan hadith hasan, hadith hasan sahih, hadith dhoief - bahkan menyamakan hadith dhoief dengan hadith maudhuk)

2. Pernahkah melihat hujjah yang mengatakan ulamak pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya pun lagi banyaknya salah kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulamak yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.

3. Pernahkah melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulamak agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadith sahih (sedangkan kalam ulamak mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).

4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulamak ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?

*************************************************************************************

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas ada antara mereka adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulamak muktabar yang lain.

Saya teringat kisah imam syafi'e (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sedari kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umurnya 9 tahun. Kemudian belajar hadith dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadith, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadith, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.

Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie

'Tentang ilmu hadith, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadith kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'


Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.


Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta mengomentari pendapat gurunya (imam Maliki) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula imam Syafie mengatakan ia sebagai bid'ah sesat!. Ini kerana akhlaq yang terbina di dalam diri seorang ulamak yang benar-benar takutkan ALlah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.


Begitulah - sehingga ramai murid imam syafie yang mengikuti terdiri dari ulamak-ulamak besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadith), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin AbduLLah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.

SubhanaLLah - mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulamak yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab syafie.

Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulamak mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.

ALlah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.
Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi :
Maksudnya Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".


Daripada Abu Hurairah dia berkata:

“Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat".
(Riwayat al Bukhari)

Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kamu mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulamak dan umat Islam.

Sumber Rujukan : Dr Said Ramadhan al Buthi, Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah, K.H AbduLlah Zakiy Al-Kaaf,Bahaya Bebas Mazhab Dalam Keagungan Syariat Islam.
Baca Seterusnya - Jahil Dalam Disiplin Ilmu

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP