Showing posts with label Koleksi Kes Undang-undang. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Kes Undang-undang. Show all posts

Tuesday, August 14, 2012

Analisis kes Kesahan Wasiat Tempoh Pembahagian Pusaka


Kes Undang-undang Wasiat


Kes : SAEDAH BINTI ABU BAKAR MALEK BIN HAJI MOHAMED YUSUF LAWAN HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI MOHAMAD YUSUF DAN USMAN BIN HAJI MOHAMED YUSUF (1981)FMSLR 352 / [1983] JURNAL HUKUM



PENDAHULUAN

Wasiat dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan ‘wassa’ yang bererti memerintahkan, menasihatkan, menjanjikan atau pemberian harta selepas mati. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafie berpendapat bahasa ia berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semas hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia. [1]

Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal  dunia sama ada perkataan wasiat itu diucapkan atau tidak. Menurut mazhab Syafie, wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut Abdul Karim Zaydan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat. Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimilik oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.[2]

Menurut Enakmen Wasiat Orang Islam  (Negeri Selangor) No: 4, 1999, wasiat ertinya iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.[3] 

Di Malaysia terdapat satu kes unik yang dicatatkan berkaitan wasiat dimana pewasiat menambah syarat pelaksanaan dalam tempoh tertentu sehingga menghalang pembahagian harta mengikut faraid terhadap ahli waris. Justeru itu, melalui kertas tugasan ini akan cuba mengupas isu-isu dan keputusan kes tersebut dengan lebih lanjut.
  
FAKTA KES

            Kes ini berkaitan taraf wasiat yang mengikat pembahagian harta pusaka si mati untuk jangka masa 10 tahun. Si mati iaitu pewasiat telah mewasiatkan supaya pembahagian pusaka akan dibahagikan kepada waris-warisnya selepas 10 tahun dari tarikh kematiaannya. Kes ini melibatkan pihak penuntut yang merupakan balu dan anak kepada pewasiat (si mati)  iaitu Puan Saedah Binti Abu Bakar dan Malek Bin Haji Mohamed Yusof yang menyatakan bahawa wasiat itu tidak sah. Pewasiat mempunyai 10 orang anak yang menjadi waris kepada si mati mengikut undang-undang Islam iaitu lapan orang daripadanya yang mendapat faedah dari wasiat kerana telah mencapai umur dewasa dan berfikiran waras, manakala dua anak lagi adalah anak perempuan yang telah berumahtangga yang berumur lebih kurang 20 tahun dan seorang lagi adalah anak yang cacat akalnya.
  
ISU BERBANGKIT

1.      Adakah amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut?

2.      Sama ada wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah sah ataupun tidak mengikut undang-undang Islam?

PENGHAKIMAN

            Hakim Innes memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun adalah tidak sah menurut Undang-undang Islam kerana seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa perpindahan harta pusaka kepada waris-waris selepas kematiannya. Hakim juga berkata sekiranya mengikut Undang-undang Inggeris terdapat langkah yang boleh diambil selepas ketidakupayaan waris itu dihindarkan atau diperuntukkan untuk menghapuskan amanah di dalam kes yang dibawa ini akan tetapi kita di sini menyelesaikan kes mengikut Undang-undang Islam.

ANALISIS

            Berdasarkan isu yang pertama, hakim telah memutuskan kes ini mengikut Undang-undang Islam kerana si mati dan warisnya adalah mereka yang beragama Islam walaupun amanah wasiat itu boleh dihapuskan mengikut Undang-undang Inggeris kerana wujud ketidakupayaan waris dalam kes tersebut.

            Hakim Innes juga telah memutuskan bahawa arahan di dalam wasiat yang mengikat hak ahli waris untuk jangka masa 10 tahun menurut Undang-undang Islam adalah tidak sah dan ahli-ahli waris itu berhak menerima pembahagian harta pusakan secara segera.

            Merujuk buku Muhammadan Law oleh Tyabji yang menyatakan bahawa tidak ada siapa (mengikut pendapat yang diterima secara am di dalam undang-undang) yang dibenarkan untuk menyekat perjalanan undang-undang dikuatkuasakan kepada mereka yang diiktiraf sebagai waris-waris.[4]

Islam mengajarkan umatnya agar bersegera dalam pembahagian harta pusaka. Hal ini telah diterangkan di dalam Surah al-Nisa’ yang bermaksud : “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar”[5]. Ayat tersebut menggambarkan bahawa Allah begitu memperhatikan orang-orang yang tidak mampu dan memerlukan. Bahkan, dalam masalah pembahagian harta pusaka jika kerabat yang miskin dan amat memerlukan kepada harta pusaka, hendaklah kita memberinya bahagian mereka dengan kadar yang segera.

Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud : “Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”[6]. Ayat ini jelas sekali menunjukkan bahawa setiap waris itu mempunyai hak dan bahagian mereka daripada harta pusaka.

Ayat al-Quran lain yang turut menjelaskan hak-hak waris dalam pusaka secara umum ialah ayat terakhir yang dipetik dari Surah al-Anfaal yang bermaksud : “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu[7].

            Manakala pihak defenden (wasi) yang diwakili peguam Mr.Wagner telah mempersoalkan tentang sahnya pandangan yang dikemukakan bahawa amanah yang dipersoalkan itu bercanggah dengan undang-undang Islam dan pihaknya juga hanya mengemukakan lima kes dari India dan tiada keterangan yang diberikan. Kes-kes yang dikemukakan itu juga tidak menyokong hujahnya antara kes yang dibawa ialah kes Banoo Begum lawan Mir Abed Ali[8] yang mana kes tersebut boleh memberi kesan sekiranya pewasiat adalah seorang yang bermazhab Syi’ah akan tetapi di dalam kes Saedah ini pewasiat dan mereka yang terlibat adalah seorang Melayu yang bermazhab Shafi’i.

        Secara keseluruhannya kes ini memberi kita keputusan bahawa segala wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah mengikut Undang-undang Islam.

KESIMPULAN

Arahan di dalam wasiat yang menyebabkan ahli waris terikat daripada menerima bahagian harta pusaka mengikut Undang-undang Islam untuk jangka masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pembuat wasiat adalah tidak sah. Hal ini demikian kerana, seorang pembuat wasiat tidak boleh menangguh atau mempercepatkan masa pengagihan harta pusaka kepada waris-waris setelah kematiannya  dan ahli-ahli waris berhak menerima harta pusaka secara segera.

Menyegerakan urusan pembahagian pusaka sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan agama yang mana kita dapat lihat wasiat orang Islam dan wasiat orang bukan Islam mempunyai perbezaan besar daripada segi hukum dan kesan menurut undang-undang. Wasiat orang bukan Islam akan mengikat ahli waris untuk membuat pembahagian harta peninggalan si mati, manakala wasiat orang Islam tidak mengikat sepenuhnya waris untuk membuat pembahagian sebagaimana di dalam wasiat itu.[9]



[1] Mohd Zamro Muda, “Instrumen Hibah Dan Wasiat : Analisis hukum Dan Aplikasi Di Malaysia”, Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008,  h.13
[2] Ibid.
[3] Bahagian Baitulmal Jabatan Agama Islam Selangor, Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, h.67.
[4] Tyabji (1940), Muhammadan Law : The Personal Law of Muslims, Bombay : N.M. Tripathi, h.530.
[5] Surah Al-Nisa’ : Ayat 9.
[6] Surah an-Nisa’ : 7
[7] Surah al-Anfaal : 75
[8] 32 Bom 192
[9] http://wasiwasiat.com/tag/segerakan-pusaka/, akses pada 25 Februari 2011.
Baca Seterusnya - Analisis kes Kesahan Wasiat Tempoh Pembahagian Pusaka

Read more...

Analisis Kes Tuntutan Nafkah Isteri - Hj Ali v Aishah


Kes Undang-undang Keluarga Islam 

KES : HAJI ALI BIN HUSSEIN lwn. AISHAH BINTE YUSOF (1981) JURNAL HUKUM 241

Lokasi  : Mahkamah Rayuan Kelantan
Hakim : Jemaah Pengadilan Kelantan (Dato’ Haji Ismail bin Haji Yusof,Timbalan Mufti, Dato’ Haji Yusof bin Hussan dan Tuan Haji Mohamed bin Haji Yusof)
Tarikh : 21 November 1981
No Kes Mal : Bil. 1 1981

PIHAK-PIHAK

Pihak-pihak di dalam kes ini terdiri daripada plaintif / yang menuntut (Aishah Binte Yusof) iaitu isteri kedua kepada defendan yang telah membuat permohonan tuntutan nafkah isteri terhadap defendan / yang kena tuntut (Haji Ali Bin Husssein) sebagai suami kepada plaintif. Di dalam kes ini, plaintif dan defendan tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

FAKTA KES
  1. Kes ini bermula apabila plaintif telah membuat tuntutan nafkah diri kepada pihak defenden di Mahkamah Kadi Besar.
  2. Plaintif dan defenden telah berkahwin pada tahun 1972 dan lebih kurang satu tahun mereka tinggal bersama.
  3. Plaintif telah berpindah ke rumah lain dan kemudian ke rumah ibunya kerana tidak tahan disebabkan selalu berselisihan faham dengan isteri tua.
  4. Plaintif juga mendakwa suaminya tidak memberi nafkah dan tidak pulang lagi bersama-sama dengannya dari 1975.
  5. Oleh itu plaintif menuntut nafkah dari pihak defenden dari tahun 1975.
  6. Pihak defenden pula berkata bahawa dia tidak memberi nafkah kepada plaintif dalam tempoh yang dituntut oleh plaintif tersebut kerana plaintif berlaku derhaka iaitu plaintif telah keluar dari rumahnya dan tidak mahu balik dengannya.
  7. Akan tetapi pihak defenden tidak dapat membuktikan bahawa pihak plaintif telah menderhaka kepadanya walaupun dia telah mengemukakan seorang saksi dan saksi tersebut tidak dapat memberi puashati kepada pihak mahkamah.
  8. Defenden juga telah mengakui bahawa dia tidak memberi nafkah kepada plaintif selama 2 tahun kecuali 5 bulan sahaja yang mana defenden mendakwa plaintif tidak serah diri kepadanya.
  9. Manakala pihak plaintif pula menyatakan bahawa dia telahpun menyerah dirinya kepada pihak defenden dan tiada saksi bagi pihak plaintif.
  10. Oleh kerana saksi-saksi plaintif dan defenden tidak memberi puashati kepada Mahkamah, maka kedua-dua pihak dikehendaki untuk bersumpah iaitu plaintif Aishah binte Yusof bersumpah menafikan derhaka kepada kepada defenden selama 2 tahun yang mana defenden telah mengaku tidak memberi nafkah selama 2 tahun kecuali 5 bulan sahaja.
  11. Manakala pihak defenden bersumpah plaintif tidak menyerahkan diri kepadanya selama 5 bulan.
  12. Kemudiannya, setelah Mahkamah Kadi Besar memutuskan kes ini, pihak suami telah membuat rayuan kepada Jemaah Pengadilan.

PENGHAKIMAN

Mahkamah Kadi Besar

 Mahkamah Kadi Besar telah membuat keputusan dengan sumpah defenden tersebut maka gugurlah tuntutan selama 5 bulan dan pihak Mahkamah telah membenarkan tuntutan isteri serta menghukum defenden membayar $1710.00 kepada pihak plaintif.

Mahkamah Rayuan

  • Pihak suami telah membuat rayuan kepada Jemaah Pengadilan kerana :

  1. Dia telah tua dan selalu uzur serta tidak mempunyai pendapatan yang secukupnya untuk menanggung nafkah anak isteri sekarang.
  2. Dia juga tidak mempunyai apa-apa harta yang boleh diberi kepada plaintif sebagai ganti wang itu.
  3. Plaintif juga selalu derhaka yang lebih dari 5 bulan sebagaimana keputusan Mahkamah.

  • Jemaah Pengadilan telah meneliti dan mendengar rayuan di hadapan kedua-dua pihak dan berpendapat bahawa dalam kes ini perkara penting yang perlu dibuat penelitian untuk mendapatkan natijah adalah :

  1. Perkara keluarnya plaintif dari rumah tempat tinggalnya adakah dengan segera nusyuz atau tidak?
  2. Perkara keupayaan yang merayu dari segi cara hidup.
  3. Penelitian tentang perkara tersebut tidak timbul dalam perbicaraan kes ini. Maka, kemungkinan besar keputusan hukum menjadi tidak tepat.

  • Oleh itu, Jemaah Pengadilan dengan sebulat suara menerima rayuan tersebut, hukuman Al-Fadhil Tuan Timbalan Kadi Besar dibatalkan dan kes ini diperintahkan dibicara semula oleh Kadi lain.


ANALISIS PENGHAKIMAN

Antara isu yang dapat dianalisi di dalam kes ini ialah berkaitan tanggungjawab terpenting suami adalah untuk menanggung dan memberi nafkah zahir ke atas isteri. Nafkah zahir adalah dalam bentuk wang ringgit secara bulanan kepada isteri bagi memastikan segala keperluan rumah tangga cukup dan selesa mengikut kemampuan.  Sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”[1]

Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978, Bahagian VI – Nafkah Tanggungan Dan Hadhanah di bawah Seksyen 133 (1) iaitu seorang isteri boleh dengan permintaanya di dalam Mahkamah mendapat satu perintah terhadap suaminya kerana bayaran dari semasa ke semasa sebanyak mana wang berkenaan dengan nafkah yang ia boleh berhak menerimanya mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah isteri itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun Masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu. [2]

            Akan tetapi terdapat dua isu yang wujud di dalam rayuan suami di dalam kes ini iaitu sama ada perkara keluarnya plaintif dari rumah tempat tinggalnya adalah secara nusyuz atau pub tidak? Dan yang kedua adalah berkenaan keupayaan suami dari segi sara hidup.  

            Bagi mengimbangi kewajipan nafkah yang terletak di atas bahu suami, dalam keadaan-keadaan tertentu isteri akan hilang haknya untuk mendapatkan nafkah daripada suaminya. Dengan perkataan lain, hukum wajib memberi nafkah akan gugur sekiranya isteri melakukan tindakan nusyuz terhadap suaminya.

Yang dimaksudkan dengan nusyuz ialah penderhakaan isteri terhadap suaminya tanpa alasan yang diharuskan syara' dengan tidak mentaati perintahnya atau keluar dari rumah suami tanpa keizinannya atau tidak membenarkan suami memasuki kerumahnya atau tidak mahu memasuki ke rumahnya atau tidak mahu memasuki ke rumah suaminya atau seumpama dengannya.[3]

Isteri yang telah disabitkan oleh Mahkamah Kadi Nusyuznya, maka menurut Ijma" Ulama" bahawa nafkah kepadanya gugur kerana nafkah diwajibkan kepada isteri disebabkan ianya terkurung dalam rumah tangga. Isteri yang nusyuz ialah isteri isteri yang membebaskan dirinya dari kurungan suami dengan tidak mentaatinya, tanpa alasan yang diharuskan syara' maka gugurlah nafkah ke atasnya. Adapun isteri yang belum disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Kadi, walaupun ada angapan nusyuz, maka nafkah ke atasnya masih wajib.[4]

Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 diperuntukkan bahawa Mahkamah berhak tertakluk kepada hukum Syarak memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, sesorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya iaitu antara lain :
a)      Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya.
b)      Apabila dia meninggalkan rumah suaminya.
c)      Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah menurut hukum Syarak.

            Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah menjadi nusyuz (s 59).[5]

Dalil al-Quran surah an-Nisa" ayat 34 turut menyatakan tentang keadaa isteri yang nusyuz :

"Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan nusyuz (derhaka) hendaklah kamu menasihati mereka, dan jika mereka berdegil, pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya) kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkna mereka. Sesungguhnya Allah maha tinggi lagi maha besar".
Manakala hadith Rasulullah S.A.W tentang isteri yang nusyuz :
"Jika seseorang perempuan engkar untuk tidur bersama suaminya maka dia dilaknat oleh malaikat sehingga waktu subuh".
            Kadar nafkah atau belanja yang diwajibkan adalah setakat keperluan dan hajat menurut keadaan dan kemampuan serta kekuasaan orang yang berkewajipan menigikut kelaziman dan adat sesuatu tempat. [6]
            Menurut ulama’ Syafi’I, kadar nafkah yang ditetapkan ialah mengikut kemampuan orang yang bertanggungan iaitu di pihak suami[7] sama ada susah atau senang (orang berada) mengikut kebiasaan atau ‘uruf setempat dan hendaklah secara berpatutan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah S.W.T  dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 233 dan juga surah at-Talaaq ayat 7 yang bermaksud :

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, Maka tidak ada dosa atas keduanya. dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, Maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. bertakwalah kamu kepada Allah dan Ketahuilah bahwa Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.”[8]

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”[9]


[1] Al-Nisa’ : 34
[4] Ibid.
[5] Ahmad Ibrahim, Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, MLJ 1999, h. 75
[6] Suwaid Tapah, “Nafkah isteri”, Manual Undang-undang Keluarga Islam, Cet I, Kuala Lumpur : IKIM,2006, h. 66.
[7] Abu Ishaq al-Syirazi, Al-Muhadhdhab, Jil 2, h.161.
[8] Al-Baqarah : 233
[9] At-Talaaq : 7
Baca Seterusnya - Analisis Kes Tuntutan Nafkah Isteri - Hj Ali v Aishah

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP