Showing posts with label KISAH ISLAM. Show all posts
Showing posts with label KISAH ISLAM. Show all posts

Monday, November 5, 2012

Helah Sultan Muhammad Bahagian 2



“Sekiranya begitu, lebih baik kita pergi ke Kota Constantinople meminta bantuan daripada Maharaja Constantine. Kita berundur bukan beerti kita penakut tetapi sebagai persiapan menghadapi peperangan yang lebih besar,” kata Hector.

Akhirnya mereka mencapai kata sepakat meninggalkan Orland lalu menuju ke Constantinople. Apabila Sultan Muhammad dan tenteranya sampai, mereka dapati puak pemberontak sudah meninggalkan Orland. Yang tinggal cuma kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua sahaja.

“Mereka sengaja meninggalkan kaum yang lemah kerana yakin kita tidak membunuh mereka,” kata Sultan Muhammad.

“Puak pemberontak sedang dalam perjalanan ke Constantinople. Tentera kita sudah bersiap sedia mengejar mereka. Cuma menunggu perintah daripada tuanku,” kata Panglima Tharhan.

“Biarkan mereka pergi. Tentera kita tidak perlu mengejar mereka,” jawab Sultan Muhammad.

“Bagaimana dengan isteri dan anak-anak mereka?” Tanya Khalil Pasya pula.

“Jangan diganggu kerana mereka bukan musuh kita.” Pesan Sultan Muhammad kepada tenteranya.
Tentera Turki tidak mengapa-apakan penduduk Orland malah memberikan perlindungan. Mereka yang sakit diberikan rawatan dan mereka yang lapar diberikan makanan.

Hector dan pasukan tenteranya sampai ke Constantinople, lalu menghadap Maharaja Constantine. Apabila mendapat tahu Sultan Muhammad bersama angkatan tenteranya berada di Orland, Maharaja Cosntantine memerintahkan angkatan tenteranya bersiap sedia bagi berperang. Kemudian mereka menuju ke Orland.

Selepas hampir seminggu berada di Orland, Sultan Muhammad Al-Fateh bercadang hendak pulang semula ke Turki. Dalam perjalanan pulang mereka terserempak dengan tentera Constantinople. Kedua-dua pasukan sedia berperang.

“Tentera kita sudah sedia berperang dengan musuh walaupun bilangan mereka lebih ramai daripada kita,” beritahu Panglima Tharhan dengan penuh bersemangat.

“Nampaknya kita berperang jauh dari Kota Constantinople,” kata Khalil Pasya pula.

“Sebelum berlaku peperangan, saya mahu berunding dengan Maharaja Constantine. Aturkan pertemuan saya dengan dia,” kata Sultan Muhammad Al Fateh.

Panglima Tharhan mengatur pertemuan antara Sultan Muhammad Al Fateh dengan Maharaja Constantine. Pertemuan empat mata itu berjalan dengan baik.

“Bagaimana sekiranya kita elakkan terjadinya pertempuran?” Tanya Sultan Muhammad Al Fateh kepada Maharaja Constantine.

“Aku dan tenteraku datang ke sini mahu berperang. Sekiranya engkau takut mati, lebih baik menyerah sahaja,” tempelak Maharaja Constantine.

“Aku dan tenteraku tidak mungkin menyerah kalah. Tambahan pula tentera bantuan Turki pasti tiba ke sini tidak lama lagi. Sekiranya engkau inginkan peperangan, bersedialah mati,” gertak Sultan Muhammad pula.

Maharaja Constantine mulai gusar apabila mendapat tahu tentera bantuann dari Turki bakal tiba bila-bila masa. Melihat keadaan itu, Sultan Muhammad Al Fateh terus memberi tekanan.

“Engkau dan tentera engkau berada di sini. Kini Kota Constantinople mudah kami takluki. Ketika pertempuran berlaku, aku perintahkan sebahagian daripada tentera pergi ke Constantinople. Itu adalah perancangan aku sejak dari mula,” kata Sultan Muhammad.

Semakin gentar Maharaja Constantine mendengarnya. Baginda tidak menyangka anak muda itu begitu bijak mengatur strategi peperangan. Baginya Kota Constantinople itu lebih berharga daripada segalanya.

“Baiklah, aku setuju kita berdamai tetapi dengan suatu syarat….” Kata Maharaja Constantine.
“Apa syaratnya?” Tanya Sultan Muhammad Al Fateh.

“Engkau perlu membayar wang tebusan kepada kami,” jawab Maharaja Constantine.

“Apa perlunya kami membayar wang tebusan kepada engkau?” Tanya Sultan Muhammad.

“Bagi memujuk tentera aku. Dengan adanya wang tebusan, tentera aku tidak berasa marah dan kecewa pulang ke Constantinople,” jawab Maharaja Constantine.

“Bagaimana pula dengan tentera aku? Mereka juga tidak puas hati sekiranya berundur begitu sahaja seolah-olah kami takut mati.”

“Begini sahajalah, kita sama-sama beritahu tentera kita masing-masing bahawa kita mendapat wang tebusan bagi mengelakkan terjadinya peperangan,” cadang Maharaja Constantine.

“Baiklah aku setuju,” balas Sultan Muhammad.

Akhirnya pertempuran dapat dielakkan. Kedua-dua pasukan tentera berundur dari Orland. Maharaja Constantine pulang ke Kota Constantinople manakala Sultan Muhammad pulang ke Turki.

Apakah yang menyebabkan Sultan Muhammad Al Fateh berfikiran sebegitu rupa? Bahkan tentera yang dibawa bersama baginda bukankah dilatih memiliki semangat cintakan syahid sebagaimana musuh mencintai dunia? Ikuti kisah selanjutnya bagi mendapatkan kebenaran tindakan baginda di episod baru bertajuk “Bukan Mungkir Janji Bahagian 1”

Sumber: Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al Fateh; Penakluk Constantinople oleh Abdul Latip Talib.
Baca Seterusnya - Helah Sultan Muhammad Bahagian 2

Read more...

Tuesday, May 1, 2012

Yang Zalim dan Yang Adil Bahagian Kedua



Sambungan bahagian 2.

Kisah sebelum ini mengimbau kembali hadis keramat bagi penaklukan Kota Constantinople oleh pasukan tentera Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh baginda Nabi Muhammad saw bahawa pasukan yang terbaik ini dipimpin oleh seorang ketua yang sebaik-baik ketua dizaman ini. Perancangan ke arah merealisasikan hadis ini tampaknya merumuskan strategi yang ingin dilaksanakan oleh pasukan tentera Islam ini. Marilah sama-sama kita menyelami kisah novel buku ini untuk episode berikutnya, “Yang Zalim dan Yang Adil Bahagian 2”.

“Langkah pertama perintahkan semua tentera kita meningkatkan latihan ketenteraan pada waktu siang dan memperbanyakkan amal ibadat pada waktu malam. Para peniaga dilarang menipu dalam perniagaan dan rakyat mesti mematuhi undang-undang Islam,” jawab Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Baiklah tuanku,” kata Khalil Pasya.

Kemudia perintah itu segera dijalankan. Semua tentera diwajibkan mengerjakan solat fadhu 5 waktu sehari semalam. Mereka yang sengaja meninggalkan solat dihukum. Pengambilan tentera baru pula mensyaratkan hanya mereka yang kuat beragama diambil menjadi anggota tentera. Rakyat juga dididik supaya menjadi baik. Perbuatan meminum arak, berjudi ataupun melakukan perbuatan yang dilarang agama adalah dilarang keras. Dengan ini rakyat hidup aman dan damai.

Bagi memperkuatkan angkatan tenteranya, Sultan Muhammad Al-Fateh memerintahkan pasukan tenteranya membina lebih banyak kapal perang. Tentera laut juga diperbesarkan demi menjaga perairan negara.

Sultan Muhammad Al-Fateh juga menggalakkan pasukan kapal-kapal dagang singgah di pelabuhan Turki. Mereka tidak dikenakan cukai. Tindakan itu menarik minat kapal-kapal dagang singgah. Maharaja Constantinemarah apabila mendapat tahu kapal-kapal dagang tidak lagi berlabuh di pelabuhan Constantinople. Para peniaga mula resah kerana barang-barang dagangan tidak dapat dibawa masuk. Maharaja Constantine mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyatnya. Mereka yang membantah ditangkap dan dihukum.

“Sultan Muhammad memerintah dengan adil tetapi Maharaja Constantine zalim. Lebih baik kita berada di bawah pemerintahan Islam,” kata  Zindar. Dia petani di wilayah Yarmar yang terletak bersempadan dengan Turki.

“Petani di Turki hidup senang kerana hasil tanaman mereka tidak dirampas oleh pemerintah. Tetapi petani di sini ditindas. Kita dipaksa menyerahkan hasil tanaman kepada Maharaja Constantine,” sokong Izimite, jirannya.

“Bagaimana sekiranya kita berpindah ke sana? Kita boleh memulakan hidup baru di bawah pemerintahan Kerajaan Uthamaniyyah,”.

Akhirnya Izimite bersetuju dengan cadangan itu. Mereka membawa keluarga masing-masing berpindah ke Turki. Kedatangan mereka disambut baik. Akhirnya mereka memeluk agama Islam. Kemudian diikuti oleh beberapa keluarga lagi. Malah setiap hari semakin ramai yang berpindah ke Turki kerana tidak sanggup hidup di bawah pemerintahan Maharaja Constantine.

Maharaja Constantine begitu marah apabila mendapat tahu ramai rakyatnya berpindah ke Turki. Baginda memerintahkan tenteranya menghalang perkara itu daripada berlaku lagi. Malah mereka yang cuba melarikan diri ditangkap dan dihukum. Semakin menderitalah kehidupn mereka.

Penduduk Yarmar yang bersempadan dengan Turki tidak sanggup lagi berada di bawah pemerintahan Maharaja Constantine. Mereka berbincang bagi melepaskan diri daripada kezaliman itu.

“Maharaja Constantine memerintah kita dengan zalim. Kita terus menderita selagi baginda berkuasa,” katagabenor Yarmar dalam perbincangan dengan anak-anak buahnya.

“Apa yang patut kita lakukan?” tanya Yadzir, pembantunya.

“Kita jatuhkan Maharaja Constantine,” jawab gabenor Yarmar.

“Itu sesuatu yang mustahil dapat kita lakukan kerana baginda mempunyai angkatan tentera yang kuat,” kataYadzir pula.

“Kita minta bantuan daripada Kerajaan Islam Uthmaniyyah,” kata gabenor Yarmar.

Mereka bersetuju dengan cadangan itu lalu menghantar utusan menghadap Sultan Muhammad Al-Fateh. Utusan itu bertolak pada waktu tengah malam supaya tidak dilihat oleh tentera Constantinople yang berkawal di sempadan. Esoknya utusan itu sampai di Turki lalu memohon menghadap Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Tuanku, ada utusan daripada gabenor Yarmar,” beritahu Khalil Pasya.

“Suruh mereka datang sekarang juga,” kata Sultan Muhammad.

Selepas utusan itu masuk, salah seorang daripada mereka berkata, “Kami dihantar oleh gabenor Yarmar bagi menjalinkan persahabatan dengan tuanku. Kerana itu kami datang membawa hadiah ini kepada tuanku.”

Utusan itu menyerahkan hadiah yang mereka bawa kepada Sultan Muhammad. Tetapi baginda menolaknya dengan baik. “Simpanlah hadiah itu kerana kamu lebih memerlukannya.”

“Apa maksud tuanku?” tanya utusan itu.

“Kamu petani-petani yang miskin. Tidak sepatutnya kamu bersusah payah membawakan hadiah kepada saya,” jawab Sultan Muhammad.

“Utusan itu senang hati mendengarnya lalu menyatakan maksud kedatangan mereka, “Kami sudah lama hidup menderita di bawah pemerintahan Maharaja Constantine. Kerana itu kami datang meminta bantuan daripada tuanku bagi membebaskan kami daripada kezaliman. Kami sanggup membantu tentera Islam menawan Constantinople.”

Sultan Muhammad berasa gembira mendengarnya lalu berkata, “Sebagai umat Islam, kami bertanggungjawab menyebarkan syariat Islam di muka bumi ini. Kami mahu menegakkan keadilan serta membasmi kezaliman.”

“Kami mendapat tahu tuanku memerintah dengan adil. Kerana itu kami lebih rela diperintah oleh tuanku daripada diperintah oleh Maharaja Constantine yang zalim itu.

“Kembalilah ke negara kami dahulu,kami membuat persiapan bagi menakluk Kota Constantinople. Kamu boleh membantu kami apabila tiba masanya nanti.”

“Baiklah tuanku, kami juga membuat persiapan bagi membantu tentera Islam menumbangkan maharaja yang zalim itu.”

Kemudian utusan itu segera kembali ke Yarmar.

Begitulah lakaran keadilan sifat yang ditonjolkan berkenaan keadilan pemimpin Islam yang memerintah dalam episode ini. Sifat adil beliau ini turut mencuri perhatian para bukan Islam yang tertarik dengan kemurniaan sifat pemimpin yang adil serta menolak sebarang bentuk kezaliman ke atas manusia lainnya. Saksikan apakan persiapan yang ingin dilaksanakan oleh pasukan tentera terbaik di zaman ini pada episode berikutnya yang bertajuk “Helah Sultan Muhammad Bahagian Pertama”. Selamat membaca, dan belilah buku novel ini.

Sumber: Buku novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople oleh Abdul Latip Talib.
Baca Seterusnya - Yang Zalim dan Yang Adil Bahagian Kedua

Read more...

Tuesday, April 10, 2012

Yang Zalim Dan Yang Adil Bahagian Pertama

“Dan sesungguhnya Tuhanmu (Pelindung) bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar maha pengampun lagi maha penyayang.”


-Surah An-Nahlu:110-

Sultan Muhammad merenung ke arah Laut Marmara yang terhampar luas di hadapannya. Begitu indah dan menyejukkan mata yang memandang. Kelihatan helang terbang mengintai mangsanya, apabila ikan-ikan muncul di permukaan laut yang berkilau-kilau terkena pancaran cahaya matahari petang, helang pun terbang sayup-sayup hilang daripada pandangan.

“Aku mesti mencontohi helang itu,” bisik hati Sultan Muhammad Al-Fateh.

Baginda mesti sentiasa mengintai musuhnya. Apabila mendapat kesempatan, peluang itu tidak boleh dilepaskan sehingga musuh dapat ditumpaskan. Tiba-tiba baginda teringat hadis Nabi Muhammad Saw yang bermaksud, “Kota Constantinople hanya dapat ditawan oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

Kata-kata Nabi Muhammad Saw itu amat mempengaruh dirinya. Melekat di hatinya. Siang dan malam kata-kata itu membakar semangatnya bagi menawan Kota Constantinople. Baginda berdoa dan berharap semoga hadis Nabi Muhammad Saw itu berlaku semasa pemerintahannya.

“Assalamualaikum!”

Ucapan itu mengejutkan lamunannya. Sultan Muhammad Al-Fateh menoleh ke arah suara yang mengucapkan salam. Kelihatan Khalil Pasha datang sambil tersenyum.

“Waalaikumussalam,” jawab Sultan Muhammad. Kedua-duanya bersalaman mesra.

“Puas saya mencari, rupanya tuanku berada di sini,” ujar Khalil Pasha.

“Saya senang hati melihat laut yang luas terbentang. Melihat laut juga boleh mendapat pahala dan menenangkan fikiran,” balas Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Mengapa bersendirian?” tanya Khalil Pasha lagi.

“Adakalanya kita perlu bersendirian,” jawab Sultan Muhammad.

“Adakah kedatangan saya mengganggu?”

“Oh tidak, silakan duduk.”

Khalil Pasha duduk di sebelah Sultan Muhammad lalu berkata, “Seeloknya tuanku jangan bersendirian. Saya risaukan keselamatan tuanku.”

“Jangan bimbang kerana Tuhan sentiasa melindungi kita. Tidak berlaku sesuatu melainkan dengan izin Tuhan,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh pula.

“Benar kata tuanku. Cuma saya bimban kerana musuh-musuh dari Kota Constantinople sentiasa berusaha memusnahkan kita. Terutama tuanku yang menjadi sultan. Mungkin pengintip yang dihantar oleh Maharaja Constantine sedang memerhatikan kita.”

“Terima kasih kerana mengingatkan saya,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh. Kemudian katanya lagi, “Musuh kita yang berlindung di dalam Kota Constantinople itu sememangnya memusuhi kita semenjak zaman Nami Muhammad Saw. Mereka juga membantu tentera salib menawan Jerusalem. Permusuhan mereka pada kita semakin kuat selepas Maharaja Constantine menganut agama Kristian.”

“Benar kata tuanku. Kerana Kota Constantinople mesti kita takluki kerana mereka bukan sahaja mengancam keselamtan kta bahkan berusaha menghapuskan agama Islam.”

“Nabi Muhammad Saw sudah berkata, Kota Constantinople hanya dapat ditakluki oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik. Kerana itu kita mesti menjadi pemimpin yang baik. Kita didik tentera dan rakyat menjadi baik.”

“Bagaimanakah caranya tuanku?” tanya Khalil Pasha.

Apakah strategi Sultan Muhammad Al-Fateh bagi merealisasikan ke arah penyempurnaan hadis Rasulullah berkenaan pemilikan tentera dan rakyat yang baik? Adakah sistem yang mampu merubah sikap sesuatu masyarakat? Pastinya pendekatan yang baginda ingin ketengahkan itu sesuatu yang bermula dengan usaha pemerhatian yang kolektif ke arah misi tersebut. Nantikan episode seterusnya bagi melihat disiplin apakah yang digunapakai oleh baginda ke atas para tentera dan rakyatnya di episode “Yang Zalim Dan Yang Adil Bahagian Kedua”.

Sumber: Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, oleh Abdul Latip Talib.
Baca Seterusnya - Yang Zalim Dan Yang Adil Bahagian Pertama

Read more...

Retak Menanti Belah Bahagian Kedua.



“Khabarnya kamu tidak berpuas hati berada di bawah pemerintahan Islam. Apakah kerana kamu ditindas?” tanya Panglima Ardogan kepada Hector, ketua orang-orang Yunani.

“Mereka tidak menindas kami. Malah kami diberi kebebasan mengamalkan cara hidup kami,” jawab ketua orang-orang Yunani itu.

“Sekiranya begitu, mengapa kamu masih tidak berpuas hati?” tanya Panglima Ardogan lagi.

“Kami bangsa Yunani tidak suka dijajah oleh sesiapa. Kerana itu kami tetap tidak berpuas hati selagi kami tidak memerintah sendiri,” jawab Hector.

“Kami bantu kamu membebaskan diri daripada Kerajaan Uthmaniyyah,” pujuk Panglima Ardogan.

“Kemudian kami berada di bawah Kerajaan Byzantium,” tanya ketua orang-orang Yunani itu. “”Ibarat keluar daripada mulut buaya masuk ke mulut naga.”

“Apakah kamu tidak suka dengan Maharaja Constantine?”

“Baginda seorang yang zalim. Kami lebih selamat berada di bawah pemerintahan Islam.”

Namun Panglima Ardogan tidak berputus asa. Dia terus berusaha memujuknya.

“Maharaja kami berlaku adil kepada kamu. Baginda tidak berlaku zalim,” katanya.

“Kami tidak percaya,” sanggah Hector. “Sekiranya baginda boleh berlaku zalim kepada rakyat baginda, apatah lagi kepada kami.”

“Maharaja kami mahu membantu kamu membebaskan diri daripada kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah. Kami bekalkan kamu senjata. Kemudian kami melatih kamu berperang bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah,” kata Ardogan kepada orang Yunani itu.

“Apakah semua itu diberi percuma ataupun ada balasannya?” tanya Hector pula.

“Kami hanya mahu Kerajaan Islam Uthmaniyyah ditumbangkan kerana mereka menjadi semakin kuat dan menjadi ancaman kepada kami. Selepas mereka ditumbangkan, kamu yang memerintah Turki tetapi terus bersahabat dengan Maharaja Constantine,” jawab Panglima Ardogan.

Akhirnya Hector bersetuju menerima bantuan yang ditawarkan itu.

“Kami bukan sahaja perlukan senjata dan latihan tetapi juga perlukan jumlah tentera yang ramai bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah. Sanggupkah kamu menghantar tentera berjuang bersama-sama kami?” tanya Hector lagi.

“Kami sanggup menghantar 50,000 tentera bagi membantu kamu memerangi mereka,” janji Panglima Ardogan.

“Jumlah itu tidak mencukupi. Saya perlukan 200,000 tentera,” balas Hector pula.

Panglima Ardogan termenung mendengar permintaan itu. Melihat keadaan itu, Hector pun bertanya, “Kamu masih ingatkah kisah Timurlime yang berjaya menumbangkan Kerajaan Turki semasa pemerintahan Sultan Beyazid?”

“Apa kaitannya dengan kisah itu?” Tanya Panglima Ardogan tidak tertarik dengan kisah itu.

“Tentera Timurlime berjaya mengalahkan tentera Beyazid kerana jumlah mereka 200,000 orang. Aku juga perlukan tentera sebanyak itu bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah,” kata Hector.

“Maharaja kami cuma mampu menghantar 50,000 tentera sahaja kerana tentera kami perlu mengawal Kota Constantinople dan menjaga perbatasan,” kata Panglima Ardogan.

“Jumlah itu sekadar cukup untuk huru-hara sahaja supaya kerajaan Uthmaniyyah menjadi lemah. Kemudian kami serang mereka dengan jumlah yang besar,” kata Panglima Ardogan pula.

“Selepas itu apa yang terjadi kepada kami orang-orang Yunani?” tanya Hector.

“Kami tidak lupakan pertolongan kamu melemahkan Kerajaan Uthmaniyyah. Kamu tetap dibenarkan memerintah sendiri,” jawab Panglima Ardogan.

Hector bersetuju dengan rancangan itu. Tidak lama kemudian orang-orang Yunani di Orland mendapat bekalan senjata dan latihan tentera daripada Kerajaan Constantinople.

“Selepas Kerajaan Uthmaniyyah tumbang, apakah kita diperintah pula oleh Maharaja Constantine?” tanya Aristol, pembantu Hector.

“Bangsa Yunani memerintah sendiri. Kita tidak tunduk kepada sesiapa,” jawab Hector.

“Bagaimanakah caranya?” tanya Aristol lagi.

“Kita biarkan sahaja tentera Islam berperang dengan tentera Byzantium. Mereka yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Kedua-duanya menjadi lemah. Ketika itu kita hancurkan mereka lalu memerintah sendiri,” jawab Hector sambil tersenyum. Dia yakin rancangannya berjaya.

Persepakatan antara wakil Kerajaan Constantinople dan pemimpin orang-orang Yunani dimeterai dalam keadaan Hector telah membuat perencanaan tersendiri bagi mengambil alih pemerintahan sendiri dan menjadi kuasa baru ditengah-tengah pertembungan dua kuasa dunia itu. Sikap opportunitis yang timbul dihati Hector kerana tidak mahu berharap kepada situasi yang padanya tidak menampakkan sebarang keuntungan seandainya pertaruhan yang tidak pasti dalam perjanjian tersebut. Mampukah mereka menempatkan diri di antara dua kuasa besar ini? Saksikan pertembungan ini dalam episode yang baru iaitu, “YANG ZALIM DAN YANG ADIL BAHAGIAN PERTAMA”. Teruskan setia bersama blog ini. Sekian.

Sumber: Buku Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Constantinople, Hasil Karya Abdul Latip Talib.
Baca Seterusnya - Retak Menanti Belah Bahagian Kedua.

Read more...

Monday, April 9, 2012

Retak Menanti Belah Bahagian Pertama



“Belanjakanlah (harta bendamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” –Surah Al-Baqarah:195-

“Saya mahu menyampaikan 2 berita kepada tuanku. Satu berita baik dan satu berita buruk. Berita yang mana satukah saya perlu sampaikan dahulu?” tanya Panglima Ardogan sebaik sahaja menghadap Maharaja Constantine.

“Sampaikan dahulu berita yang baik supaya aku tidak marah apabila engkau menyampaikan berita buruk,” jawab Maharaja Constantine.

“Ahli nujum kita pernah meramalkan selepas Sultan Murad mangkat, berlaku perebutan kuasa. Kerajaan Islam Uthmaniyyah menjadi huru-hara dan mereka berbunuhab sesama sendiri,” kata Panglima Ardogan.

“Adakah Sultan Murad sudah mangkat?” tanya Maharaja Constantine. Baginda seolah-olah tidak sabar menunggu jawapannya.

“Itulah berita gembira yang hendak saya sampaikan. Sesungguhnya kerajaan Uthmaniyyah baru sahaja kehilangan pemimpin yang mereka sayangi. Sultan Murad sudah mangkat,” jawab Panglima Ardogan sambil tersenyum.

Betapa gembiranya Maharaja Constantine mendengar berita gembira itu. Baginda tertawa terbahak-bahak kerana musuh ketatnya sudah tidak ada lagi. Tetapi gelak tawanya tiba-tiba terhenti apabila teringat berita buruk yang hendak disampaikan oleh ketua panglima tenteranya itu.

“Sekarang beritahu aku berita yang kedua itu,” kata Maharaja Constantine. Mukanya serius

Perebutan kuasa yang kita harapkan tidak berlaku. Sultan Muhammad yang baru berusia 19 tahun mengambil alih kuasa pemerintahan tanpa bantahan sesiapa. Kerajaan Islam Uthmaniyyah semakin kuat selepas Sultan Muhammad mengambil alih kuasa pemerintahan,” beritahu Panglima Ardogan.

“Sesungguhnya itu bukan berita buruk tetapi berita yang baik,” kata Maharaja Constantine pula. Baginda kelihatan tersenyum gembira.

“Tuanku kata itu berita baik? Apa maksudnya?” tanya Panglima Ardogan. Dia tidak dapat membaca apa yang tersirat.

“Sultan Muhammad masih muda. Dia belum ada pengalaman. Tentu dia tidak mampu memerintah sebuah negara yang luas tanah jajahannya. Dengan ini kita berpeluang menjatuhkannya. Tidakkah itu sesuatu yang menggembirakan?” tanya Maharaja Constantine pula.

“Tetapi tuanku, Sultan Muhammad pernah memangku tugas Sultan Murad semasa baginda pergi bercuti ke Pulau Magnesia. Kita tidak berjaya memperdayakan Sultan Muhammad yang ketika itu baru berusia 16 tahun. Adakah tuanku sudah lupa?” tanya Alexi pula.

“Aku tidak pernah lupa kepada orang yang menjadi musuhku. Apatah lagi Sultan Muhammad yang pernah memalukan kita. Kerana itu kita mesti berusaha menjatuhkannya,” kata Maharaja Constantine. Dendam kesumatnya semakin meluap-luap.

“Benar kata tuanku. Izinkan saya mengerah bala tentera kita pergi memerangi Kerajaan Uthmaniyyah dan jatuhkan Sultan Muhammad,” kata Panglima Ardogan pula.

“Kita tidak boleh bertindak terburu-buru. Buat perancangan yang teliti dan rapi supaya kita tidak kecewa lagi, ternyata Maharaja Constantine tidak menyetujui cadangan panglimanya.

“Baiklah tuanku,” kata Panglima Ardogan.

“Saya ada satu cadangan,” kata Alexi yang terkenal dengan kebijaksanaannya.

“Sila nyatakan,” ujar Maharaja Constantine.

“Orang-orang Yunani yang tinggal di Orland sudah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kita hasut mereka supaya memberontak. Kemudian kita bekalkan mereka dengan senjata. Apabila berlaku huru-hara, kerajaan Uthmaniyyah akan menjadi lemah. Dengan itu kita boleh menumbangkan Sultan Muhammad dengan mudah.”

Ternyata Maharaja Constantine tertarik dengan cadangan itu. Baginda mengarahkan Panglima Ardogan menjalin hubungan dengan orang-orang Yunani di Orland.

Berangkatlah ketua panglima Rom itu ke Orland menemui ketua orang-orang Yunani. Dia berusaha memujuknya.

Apakah rombongan pasukan menteri-menteri Rom ini berjaya mengumpan penduduk Yunani di Orland supaya bertindak memberontak ke atas pemerintahan Islam kerajaan Uthmaniyyah? Kebencian kuasa besar dunia ketika itu ke atas Kerajaan Islam menghalalkan apa sahaja tindakan termasuk mempergunakan rakyat yang lemah serta mengambil peluang di atas apa jua ruang yang terhidang demi memastikan kuasa pemerintahan Islam lenyap di muka bumi ini. Nantikan episod seterusnya, “Retak Menanti Belah Bahagian 2” akan datang. Setia bersama blog ini.

Sumber Petikan: Buku Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople
Baca Seterusnya - Retak Menanti Belah Bahagian Pertama

Read more...

Friday, March 23, 2012

Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 2



Seorang penyair yang bernama Abdul Aziz turut menyertai tentera Islam melagukan bait syairnya bagi menaikkan semangat rakan-rakannya,

Kehidupan ini banyak tahapnya
Telah kualami berbilang masa
Antara kelembutan dan kesesatan
Ada hala tidak mampu membuat aku lara
Ada nikmat tidak membuat aku derhaka
Apapun yang terjadi
Semuanya tidak menyesakkan dadaku
Dan apapun yang telah menimpa
Tidak akan merampas nafasku…..

Penyair yang berani itu menyerbu kea rah musuh lalu bertempur dengan hebatnya. Seorang demi seorang tentera Rom berjaya dijatuhkan dengan pedangnya. Dia bagaikan singa lapar yang berada ditengah-tengah sekumpulan lembu liar. Tanpa menghiraukan nyawanya, penyair it terus menerkam, mengelak dan melibaskan pedangnya ke kiri dan  ke kanan. Melihat keadaan itu, tentera Rom menjadi semakin berang. Mereka beramai-ramai mengepungnya bagaikan sekumpulan serigala menerkam seekor kuda. Pahlawan Islam yang gagah berani it uterus menentang tentera Rom walaupun ketika itu tubuhnya mula menjadi sasaran senjata musuh. Akhirnya dia terkulai layu bagaika kelopak bunga yang jatuh dari tangkainya.

Melihat Abdul Aziz sudah tewas, tentera Rom menunjukkan kebencian mereka dengan membelah dan merobek-robek tubuh pahlawan Islam itu sehingga tubuhnya berkecai. Kemudian mereka bersorak beramai-ramai sebagai tanda kemenangan. Melihat keadaan itu, salah seorang tentera Islam mengkritiknya dengan berkata, “Jangan kamu tiru perbuatan itu kerana ia menjatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Kemudian tentera itu membaca ayat al-Quran yang bermaksud, “Jangan kamu jatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Mendengar ucapan itu, Abu Ayub Al-Ansari menjadi marah lalu berkata, “Kami kaum Ansar lebih memahami ayat itu. Sesungguhnya ayat itu diturunkan kepada kami. Ketika itu kami sudah seronok tinggal bersenang-senang sehingga lupa meneruskan jihad. Maka ketika itu turunlah ayat, “Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Kemudian Abu Ayub Al-Ansari menyambung kata-katanya, “Kebinasaan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menetap lama-lama bersama keluarga dan anak-anak sehingga lupa pergi berjihad. Ayat itu juga ditujukan kepada mereka yang kaya tetapi kedekut.”

Selesai berkata-kata, Abu Ayub Al-Ansari mengajak tentera Islam menggempur musuh. Mereka berjuang begitu bersemangat sehingga berjaya mengkucar-kacirkan tentera Rom. Pertempuran hanya berhenti apabila hari menjelang senja. Tentera Rom masuk semula ke Kota Cosntantinople lalu mengunci pintunya. Tentera Islam mengambil kesempatan berehat bagi meneruskan pertempuran pada keesokan harinya.

Malam itu Abu Ayub Al-Ansari jatuh sakit. Dia terbaring lesu tanpa bergerak. Hanya nafasnya sahaja yang naik menandakan dia masih bernyawa. Tentera Islam datang menziarahinya. Salah seorang daripada mereka berdoa, “Ya Allah, sihatkanlah dia dan sembuhkanlah penyakitnya.”

Tiba-tiba Abu Ayub Al-Ansari membuka matanya lalu berkata, “Sebaiknya berdoa begini, Ya Allah sekiranya ajalnya sudah dekat, ampunilah dosanya dan berilah rahmatMu, sekiranya ajalnya masih belum tiba maka sihatkanlah dia dan sembuhkanlah penyakitnya dan berilah dia ganjaran pahala.”

Kemudian mereka mengucapkan kata-kata yang diajar oleh Rasulullah saw itu. Abu Ayub Al-Ansari tersenyum gembira walau dalam kepayahan kerana menanggung kesakitan. Yazid bin Muawwiyah turut datang melawatnya. Pemimpin tentera Islam itu amat menghormati Abu Ayub Al-Ansari. Lama dia duduk disisi pesakit itu sambil mendoakan kesihatannya. Namun keadaannya semakin teruk.

“Wahai tuan yang saya muliakan, sekiranya ada apa-apa hajat di hati tuan, sila tuan katakana supaya saya dapat memenuhinya,” kata Yazid bin Muawwiyah.

“Wahai Yazid, saya ada satu permintaan,” jawab Abu Ayub Al-Ansari sambil menanggung sakit sakaratul maut, “Seandainya ajal saya sampai di sini, kalian kuburkan saya di benteng Kota Constantinople.”

“Baiklah, kami lakukannya,” janji Yazid bin Muawwiyah.

Abu Ayub Al-Ansari kelihatan tersenyum lalu berkata, “Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang mati tidak mensyirikkan Allah taala dengan apapun pasti masuk syurga.”

Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas mengucap kalimah syahadah.  Suasana jadi hening seketika. Tidak lama kemudian kedengaran azan menandakan masuknya waktu subuh. Kemudian jenazah Abu Ayub Al-Ansari disembahyangkan dengan Abu Yazid sendiri menjadi imamnya.

Hari itu ketika pertempuran sedang meletus, sepasukan tentera Islam mengusung  jenazah Abu Ayub Al-Ansari bagi dikebumikan di tepi benteng Kota Constantinople. Apabila melihat keadaan itu, tentera Rom menyuruh beberapa orang penduduk kampung yang tidak terlibat dengan peperangan itu pergi menyiasat.

“Kamu pergi tengok apa yang mereka tanam di tepi benteng itu kemudian laporkan kepada aku,” kata Maharaja Constantinople.

Orang-orang kampung yang tidak bersenjata itu pergi bertanya kepada tentera Islam yang sedang mengebumikan jenazah Abu Ayub Al-Ansari.

“Apakah yang kamu tanam di tepi benteng ini? Ia sesuatu yang luar biasa kerana tidak pernah berlaku sebelum ini,” tanya salah seorang daripada mereka.

“Seorang pahlawan yang amat kami hormati sudah meninggal dunia. Dia sahabat nabi yang paling tua dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan kami. Kami kebumikan jenazahnya di sini. Tetapi ingat amaran kami, sekiranya kamu mengganggu kubur ini, loceng gereja kamu tidak berbunyi lagi di bumi ini,” jawab Yazid bin Muawwiyah.

Tentera Islam terus mengepung Kota Constantinople selama berbulan-bulan. Namun belum ada tanda-tanda kota itu dapat ditawan. Akhirnya tentera Islam kehabisan bekalan makanan dan senjata. Bekalan dari Mekah yang diharapkan tidak bekunjung tiba. Akhirnya Yazid bin Muawwiyah menulis surat kepada Maharaja Constantinople.

“Kami berundur tetapi bukan bermakna kami kalah kerana kami pasti akan datang lagi dengan pasukan tentera yang lebih kuat. Sekali lagi kami memberi amaran. Sekiranya jenazah Abu Ayub Al-Ansari diganggu, kami musnahkan kamu sehingga loceng di gereja akmu tidak berbunyi lagi.”

Pada mulanya Maharaja Constantinople tidak mengendahkan amaran itu. Baginda menyuruh kubur itu digali semula. Tetapi baginda terkejut apabila mendapati mayat Abu Ayub Al-Ansari masih elok walaupun sudah dikuburkan berbulan-bulan. Kerana kagum, jenazah itu dikebumikan semula di kawasan kota Constantinople. Di atas kubur itu dibina sebuah batu tanda yang besar. Di atas batu itu mereka sangkutkan 4 buah kandil. Orang ramai menjadikan kubur itu tempat ziarah bagi meminta keberkatan.setiap kali ditimpa bencana ataupun sakit, mereka datang ke kubur memohon doa. Anehnya setiap permintaan mereka makbul. Ini menjadikan kubur Abu Ayub Al-Ansari semakin popular.

Tetapi selepas berpuluh-puluh tahun berlalu, keadaan dan suasana berubah. Maharaja Rom mengeluarkan arahan melarang orang ramai mengungjungi kubur Abu Ayub Al-Ansari. Akhirnya kubur itu terbiar dan dilupakan orang.

“Selepas kita berjaya menawan Kota Constantinople, kubur sahabat Nabi Muhammad saw itu kita cari semula!!,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh.

Begitulah tekad yang dibulatkan dalam jiwa anak muda yang memandang kebenaran hadis nabi saw tetap akan direalisasikan oleh generasi kemudiannya. Misi-misi penawanan Kota Cosntantinople banyak menghadapi kegagalan dalam setiap operasi yang dijalankan kerana kelemahan dan takdir yang tidak mengiyakan pembukaan kota tersebut oleh generasi sebelumnya. Muhammad Al-Fateh tidak banyak berada di medan pertempuran, namun hasil pengalaman orang sekelilingnya memberikan pengalaman percuma kepada baginda bagi menilai dan merencana strategi yang lebih berkesan. Apakah selanjutnya? Nantikan episod seterusnya, Retak Menanti Belah Bahagian 1.

sumber: Buku Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al Fateh, Penakluk Constantinople, Karya Abdul Latip Talib.
Baca Seterusnya - Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 2

Read more...

Monday, March 19, 2012

Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 1









Nabi Muhammad berkata, “Kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya sifat syahid dan keimanan yang kuat dan binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan.”
-Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim-

“Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-51 H. ketika itu zaman pemerintaan Khalifah Muawwiyah bin Abu Sufian.” Syeikh Syamsuddin al-Wali memulakan ceritanya.

Muawwiyah bercita-cita hendak menakluk Constantinople. Dia mahu membuktikan hadis Nabi Muhammad Saw itu berlaku semasa pemerintahannya. Bagi menjayakan cita-citanya itu, dia melantik anaknya Yazid bagi memimpin pasukan tentera Islam seramai 150,000 orang. Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar berita itu, dia memohon menyertainya.

“Tuan sudah terlalu tua mahu pergi berperang. Lebih baik tinggal sahaja di sini.” Muawwiyah seperti memperlekehkan keinginan sahabat Nabi Muhammad saw itu.

“Saya mehu mendapatkan syahid. Sesungguhnya pintu syahid itu terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia,” tegas Abu Ayub al-Ansari.

“Tidakkah tuan nanti membebankan tentera Islam?” tanya Bashar, pembantu Muawwiyah pula.

“Saya masih kuat berjalan jauh. Pengalaman saya berperang bersama-sama Rasulullah saw tentu berguna kepada tentera Islam bagi menawan Kota Constantinople,” jawab Abu Ayub Al-Ansari.

“Dia lelaki yang dihormati orang ramai. Kehadirannya pasti dapat menaikkan semangat tentera kita yang berperang,” kata Yazid, anak Muawwiyah pula.

“Saya berperang hanya bagi mendapat keredhaan Tuhan . saya tidak menuntut apa-apa bayaran dari khalifah,” kata Abu Ayub Al-Ansari.

“Muawwiayh tidak lagi dapat menolak permintaan lelaki yang sudah berumur 81 tahun itu. Tambahan pula dia sangat dihormati oleh orang ramai kerana pernah menjadi sahabat Nabi. Sewaktu Rasulullah saw berhijrah ke Madinah dahulu, di rumah Abu Ayub Al-Ansari baginda tumpang bermalam. Sahabat Nabi Muhammad saw itu juga menyertai setiap peperangan bersama baginda.

Keinginan Abu Ayub Al-Ansari mahu bersama-sama tentera Islam menakluk Kota Constantinople menggembirakan orang ramai. Namun ada juga yang kurang senang hati kerana menganggap kehadiranyya bakal menimbulkan banyak masalah. Tambahan pula dia sudah terlalu tua bagi berperang.

“Wahai Abu Ayub, apakah tuan tidak merasa terhina apabila Muawwiyah melantik puteranya Yazid yang masih muda memimpin tentera Islam bagi menakluk Kota Constantinople?” tanya seorang tentera semasa mereka sedang dalam perjalanan ke medan perang.

“Saya tidak berkecil hati walau sesiapapun yang memimpin kerana saya keluar berjihad pada jalan Allah.Dan saya sanggup meninggalkan keluarga dan segala yang tercinta kerana mahu memburu syahid,” tegas Abu Ayub Al-Ansari.

“Ada yang berpendapat orang tua seperti tuan sepatutnya duduk di rumah beramal ibadat menunggu kedatangan malaikat maut,” kata lelaki itu lagi.

“Saya sudah melihat banyak kematian di kalangan orang muda seperti kamu. Tetapi kamu tentu jarang melihat kematian orang tua seperti saya,” balas Abu Ayub Al-Ansari. Pemuda itu terdiam dan tidak berani berkata-kata lagi.

Apabila tiba di Constantinople, tentera Islam bergabung dengan pasukan tentera dari Mesir diketuai oleh Uqbat bin Amir dan dari Syam pula diketuai oleh Fudalah bin Ubaid. Jumlah mereka bertambah ramai hamper 200,000 orang. Timbul rasa megah di kalangan tentera Islam. Mereka berkata, “Pasukan yang ramai ini pasti dapat menakluk Kota Constantinople dengan mudah.”

Mendengar kara-kata itu, Abu Ayub Al-Ansari berkata, “Dalam Perang Badar jumlah tentera Islam sedikit tetapi mereka berjaya mengalahkan tentera Islam yang ramai. Tetapi dalam Perang Hunain, jumlah tentera Islam begitu ramai tetapi mereka tidak dapat mengalahkan musuh. Kerana itu janganlah kamu berasa megah dengan jumlah yang ramai.”

Kedatangan tentera Islam sampai ke pengetahuan Maharaja Constantinople. Baginda memerintahkan tenteranya supaya bersiap-sedia dengan segala kelengkapan senjata yang ada bagi mempertahankan kota mereka. Apabila tentera Islam tiba, mereka disambut dengan anak-anak panak dan lontaran bola-bola api menyebabkan ramai yang syahid. Mereka bagaikan kelopak bunga mekar yang jatuh berguguran ditiup angina. Melihat ramai tenteranya yang gugur, Yazid terpaksa menyuruh tenteranya berundur menjaukan diri dari kota supaya tidak terkena senjata musuh itu. Apabila tentera Islam berundur, tentera Rom semakin bersemangat mengalahkan lawannya. Mereka membuka pintu kota lalu keluar beramai-ramai bagi memerangi tentera Islam. Berlaku pertempuran yang sangat sengit sehingga ramai yang terbunuh daripada kedua-dua belah pihak.

Apakah nasib peperangan umat Islam dalam misi penaklukan bersejarah ini? Mampukah mereka menumpaskan lawan dengan kekuatan besar untuk merempuh “Kota Strategik” tersebut? Bersambung bagi episod seterusnya “Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 2”.

Sumber: Buku Novel Islam:Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Constantinople, Abdul Latip Talib
Baca Seterusnya - Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 1

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP