Showing posts with label Isu Politik(NEW). Show all posts
Showing posts with label Isu Politik(NEW). Show all posts

Tuesday, April 16, 2013

Apa Hujah PAS berkawan dengan DAP?






Oleh Al-Fadhil Tuan Guru Haji Haron Din Hafizahullah

SAYA lihat PAS makin bermasalah. Dahulu banyak polisi atau dasar PAS, bagi saya mudah saya terima dan mudah dipertahankan. Tetapi sekarang dalam hal berkawan dengan DAP, yang dikatakan tahaluf, saya kurang mengerti dan saya rasa sukar untuk dipertahankan. Apakah Dato' boleh beri nasihat kepada orang seperti saya, dalam hal sebegini bagi mempertahankan PAS. Terima kasih.

SAID ADAM
Kamunting, Perak

JAWAPAN:

APABILA PAS hendak membuat sesuatu polisi, ia bukan dibuat sesuka hati atau menurut sahaja kehendak seorang dua pemimpin.

Akan tetapi ia dibuat dalam bentuk kertas cadangan yang dibawa ke beberapa tahap perbincangan daripada pandangan pemimpin peringkat negeri hingga ke PAS Pusat.
Kita mempunyai Lajnah Politik, Dewan-Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat dan dibawa ke AJK PAS Pusat.

Akhirnya selepas diperhalusi dan dibincangkan, ia dibawa ke Majlis Syura Ulamak.

Seandainya semua yang dilalui itu lulus syariah, maka dibawa pula ke Muktamar Tahunan PAS Pusat. Jika semuanya berjalan lancar dan diluluskan, maka baharulah ia menjadi polisi untuk dilaksanakan.

Ertinya, persoalan tahaluf yang anda sebut sebagai berkawan dengan DAP, memang berlaku dan pada istilah politiknya 'Tahaluf Siyasi Islami'(Pakatan politik Islam).

Ia dibuat dengan mengambil kira segala hukum, segala aspek kepentingan parti serta kesesuaian atau tidak dengan masa yang dibuat tahaluf tersebut.

'Tahaluf Siyasi Islami' adalah suatu polisi yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w., dirangka suatu pelaksanaan dasar Islam dalam masyarakat majmuk di zaman baginda.

Oleh kerana Islam lahir dan berkembang dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang bangsa dan agama, maka keperluan untuk mewujudkan kerjasama di antara kaum dan agama, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Ia pasti berlaku, jika tidak Islam akan tersisih dari arus penghidupan dan tertinggal di belakang, tanpa dipedulikan.

Masyarakat Madinah sebagai contoh, adalah masyarakat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang agama, iaitu Islam, Yahudi, Nasrani, Majusi, Dahri, Wathani dan sebagainya.

Ia juga mempunyai pelbagai bangsa Arab, Balbar, kaum Yahudi, kaum Nasrani dan sebagainya.

Jika itulah realitinya, maka bagaimana Islam boleh hidup bersefahaman, dan mereka yang tidak Islam boleh menerima Islam.

Jika tidak ada tonggak yang menyatupadukan masyarakat, dalam sebuah negara, maka di atas itu mestilah ada kerjasama yang disebutkan sebagai tahaluf siyasi.

Rasulullah s.a.w. bertahaluf siyasi dengan Yahudi Bani Auf, tercatat dalam perjanjian tahaluf, iaitu pada perkara pertama disebut:
"Kaum Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama dengan orang Mukmin. Mereka bebas mengamalkan agama mereka sendiri dan orang Islam dengan agama mereka. Begitu juga dengan orang-orang yang bersekutu dengan mereka, termasuk juga diri mereka sendiri. Perkara ini juga untuk Yahudi-Yahudi lain dan bukan untuk Bani Auf sahaja."

Cuba renungkan perjanjian atau persefahaman yang Rasulullah s.a.w. buat, bukan di antara orang Islam dengan Bani Auf sahaja, tetapi dengan kesemua kaum Yahudi.
Ertinya jika dengan Yahudi pun Nabi s.a.w bertahaluf, maka anda harus faham mengapa PAS bertahaluf dengan DAP.

Apa yang PAS lakukan adalah benar dan harus dari segi syarak, iaitu bertahaluf dengan DAP.

Di dalam al-Quranul Karim, Allah berfirman (mafhumnya): "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik (bekerjasama) dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orangorang yang zalim." (Surah alMumtahanah, ayat 8 dan 9)

Jika jelas sebegitu, apakah anda masih tidak boleh terima? Yang penting tindakan PAS tersebut adalah syarie dan boleh disokong orang-orang Islam.

Namun demikian, tahaluf siyasi dalam Islam bukannya qat'ie atau yang mesti diikut selama-lamanya. Ianya suatu keperluan di suatu masa, selagi kepentingan Islam tidak benar-benar tergugat dan tidak mendapat keuntungan daripada bertahaluf. Ertinya ia tidak selama-lamanya.

Jika keberuntungan kepada Islam terjejas, kedaulatan Islam tidak terbela, maka tahaluf ini, dari segi hukumnya boleh disemak semula. Wallahua'lam.
Baca Seterusnya - Apa Hujah PAS berkawan dengan DAP?

Read more...

Wednesday, March 6, 2013

PAS tetap istiqamah dengan Islam (Presiden PAS)





PAS tetap istiqamah dengan Islam

Ditulis oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)

Saya membaca dengan teliti tulisan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu. Isi tulisan beliau telah mendedahkan hakikat sebenar bahawa itulah kefahamannya terhadap Islam dan sekadar itulah sahaja pembacaannya daripada sejarah perjuangan kemerdekaan. Tanpa merasa bersalah kerana memutarkan fakta sejarah, Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa penubuhan PAS adalah kerana kebencian dan kedengkian golongan berpendidikan agama terhadap kumpulan berpendidikan barat dan kebangsaan, disebabkan harta dan pangkat, sehingga mencetuskan kebencian dengan isu kafir mengkafir dan lain-lain. Hujah ini bukan sahaja salah dengan fakta sejarah, bahkan menggambarkan fikiran simplistik dan kekeliruan yang amat nyata! Nampaknya beliau berdepan dengan “Denial Sydrome” yang amat parah.

Seluruh kajian sejarah secara ilmiah, oleh kalangan Islam dan Barat mendedahkan agenda penjajahan secara khusus ke atas umat Islam adalah bermatlamatkan permusuhan dan dengki terhadap Islam dan penganutnya, bukan sekadar menakluk bumi dan mengaut hasilnya untuk mereka . Kajian orientalis juga mededahkah bahawa penjajah lebih faham daripada penganut Islam seperti Tun Mahathir. Mereka memahami bahawa rahsia jati diri umat Islam adalah kerana pegangan mereka dengan ajaran Islam yang sempurna sebagaimana yang ada dalam al- Quran dan Sunnah secara menyeluruh, bukan sahaja dalam perkara ibadat, bahkan cara hidup (way of life) yang melibatkan politik, ekonomi dan lain-lain. Snouck Hurgronje (1857- 1936), seorang orentalis Belanda yang membuat kajian terhadap masyarakat Islam menegaskan, bahawa perkara yang paling merbahaya kepada Barat ialah doktrin politik dalam pengajian agama Islam oleh kalangan ulama yang membawa kepada perjuangan menentang penjajah dan menegakkan semula negaranya. Kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa penjajahan barat adalah juga kerana kedengkian dan permusuhan terhadap agama Islam, bukan semata-mata penjajahan penganutnya sahaja.

Maka agenda pertama penjajah adalah pendidikan, dilaksanakan dengan usaha menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam melalui sekolah-sekolah bahasa Barat pada masa itu (Inggeris, Belanda dll), yang menawarkan jawatan tinggi dan harta. Akan tetapi rakyat tempatan iaitu orang-orang melayu masih tetap kuat berpegang dengan agama Islam walau pun jahil dalam ilmu Islamnya. Akhirnya penjajah gagal mempengaruhi masyarakat penganut Islam dengan cara penyebaran agama Kristian dengan cara sedemikian.

Berikutan dengan kegagalan tersebut dilaksanakan pula agenda pendidikan kebangsaan, bagi menanam fahaman fanatik kebangsaan (asobiyyah) yang dijadikannya sama dengan agama Islam. Dalam keadaan jahil agama, rakyat menerima pendekatan penjajah yang membenarkan mereka beribadat dan melakukan upacara agama akan tetapi membiarkan mereka terus jahil Islam dalam hukumnya yang menyeluruh dan tidak berpolitik yang menjadi ancaman kepada mereka.

Pengajian Pondok dan sekolah agama ditubuhkan oleh kalangan ilmuan Islam berkelulusan daripada Makkah, Al-Azhar, India dan lain-lain adalah daripada gerakan tajdid dan islah menentang penjajahan pemikiran terhadap umat. Mereka bukan sahaja berjaya memelihara ajaran Islam yang murni, bahkan juga telah melahirkan ilmuan Islam yang memimpin masyarakat secara percuma, tanpa hasad dengki terhadap mereka yang digajikan oleh kerajaan penjajah, bahkan ramai yang menolak tawaran jawatan kerajaan penjajah.

Pendekatannya ialah ilmu Islam dipertahankan , dalam masa yang sama menerima semua ilmu dari Timur dan Barat yang berfaedah kepada umat dengan jati diri Islam, akidah, syariat dan akhlak, sehingga tidak terpengaruh dengan pemikiran negatif terhadap Islam.

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula adalah mata rantai perjuangan kemerdekaan yang berlandaskan Islam, sejak kejatuhan Melaka 1511 dan penubuhan parti-parti Islam selepasnya yang diharamkan oleh penjajah Inggeris dan Belanda. Para ilmuan dan ahli akademik yang mengkaji sejarah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) telah menemui catatan-catatan penubuhan parti-parti Islam ini, yang masih disimpan dalam Public Record Office di England. Di antaranya ialah penubuhan cawangan Parti Syarikat Islam di Tanah Melayu sejak awal abad dua puluh (1908 dan selepasnya), tetapi diharamkan oleh pihak penjajah British. Kalangan yang sebaya dengan Tun Mahathir tetap tidak lupakan penubuhan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah dan menyamakannya dengan Komunis dan “bahaya dari gunung”, sebaliknya pihak penjajah membenarkan Parti UMNO yang berteraskan kebangsaan melayu dengan Islam caranya, bergerak dengan bebas di seluruh negara di masa darurat.

Penubuhan PAS pada tahun 1951 pada awalnya dengan mengambil kesempatan daripada muzakarah di bawah anjuran Biro Agama UMNO, bagi membincangkan penggunaan duit loteri untuk kerja kebajikan. Keadaan ini diambil peluan oleh kalangan Islam bukan UMNO dengan menubuhkan NGO Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS). Akhirnya bertukar menjadi parti politik berdaftar, bertanding menentang UMNO, kerana fahamannya yang sesat, apabila memisahkan politik daripada agama Islam, atau politik Islamnya mengikut kehendak penjajah, iaitu Islam tanpa daulat.

Paling menarik penubuhan PAS dan perjalanannya sejak awal, bukan sahaja melibatkan kalangan ulama, bahkan PAS disertai juga oleh tokoh-tokoh berbagai lapangan. Yang Dipertua PAS yang kedua ialah Dr Haji Abbas Alias lulusan Universiti Singapura seperti Tun Mahathir juga, tetapi beliau menolak UMNO kerana ideologinya salah, walau pun ahli UMNO menganut Islam. Bersama PAS juga ialah Datuk Abu Samah (SUK Pahang), Prof Ahmad Ibrahim, Prof Ungku Umar, Aminuddin Baki , Taha Kalu (pegawai polis ), Datuk Wan Ahmad dan lain-lain.

Negara kita ini menerima kemerdekaan melalui permaidani merah yang dibentang, diterima oleh UMNO, dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh British. Tokoh-tokoh PAS juga berjuang kemerdekaan sebelum penubuhannya dengan menghadapi tekanan pihak British, ada yang masuk penjara dan sebagainya. PAS tetap menerima kemerdekaan negara walau pun dengan belenggu penjajahan yang masih ada, khususnya penjajahan pemikiran. PAS tetap menyertai pilihanraya kerana kewajipan politik daripada ajaran Islam, tidak ada kena mengena dengan ulama UMNO yang menuntut sepuluh kerusi dan habuan yang lain. PAS mengemukakan dasar, konsep dan sistem pentadbiran yang berbeza dengan UMNO, walaupun menghadapi tekanan, penipuan dan khianat menjatuhkan kerajaannya di Terengganu dan Kelantan oleh UMNO yang sebangsa dan seagama, dengan cara yang tidak beretika, tidak demokratik dan mencanggahi perlembagaan.

Isu kafir mengkafir bukan ciptaan PAS, tetapi adalah reaksi daripada gejala kelemahan akidah dan kejahilan Islam warisan penjajah yang diteruskan oleh UMNO. Sebaik sahaja ada pihak memperkenalkan syariat Islam yang dilupakan kerana belenggu penjajahan, ramai kalangan orang-orang Melayu yang masih Islam dalam UMNO menghina hukum – hukum Islam dan mengejeknya, melawan nas-nas yang nyata daripada al-Quran dan Hadis Mutawatir, kerana jahil murakkab. Kitab- kitab pengajian aqidah yang menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan Iman sudah dilupakan atau jahil. Maka berlakulah pertembungan sengit di antara mereka yang tahu serba sedikit dengan pihak yang menghina Islam secara jahil. Penyakit ini berlaku di seluruh dunia Islam yang baru mencapai kemerdekaan. Bukannya bermula tahun 1981. Beberapa orang ulama PAS menjadi mengsa tahanan ISA di awal tahun enam puluhan lagi kerana fitnah ini. Malangnya pihak UMNO yang memerintah dan yang sepertinya di negeri yang lain, menjadikannya sebagai isu politik untuk memecah dan memerintah seperti cara penjajah.

Para ulama politik Islam di seluruh dunia, termasuk PAS mengambil pendekatan ilmu, dengan menjelaskan semula batas-batas iman dan kufur. Al-Marhum Pak Hamka (1908 – 1981) menulis dalam tafsir Al-Azhar (Juzuk 8 ms 181), al marhum Hassan al-Hudaybi (1891 – 1973) menulis buku dalam bahasa arab dan banyak lagi. Di masa PAS berada dalam kerajaan campuran dan BN, diusahakan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri menerbitkan kitab Mustika Hadis Jilid Pertama. PAS juga mengajak pihak UMNO dan kerajaan bermuzakarah secara ilmu, walaupun tidak disambut dengan baik, kerana kalangan ilmuan agama dalam UMNO yang penakut (ucapan Tun Mahathir). Keadaannya sudah berubah, sehingga tidak kedengaran lagi ucapan yang menghina hukum Islam atau menafikan adanya politik, ekonomi dan lain-lain dalam ajaran Islam.

PAS menerima hakikat masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dengan petunjuk hukum Islam. Adapun UMNO bergabung dengan MCA dan MIC mengambil pendekatan hukum akal bagi mengekalkan kuasa politik UMNO sepanjang hayat , bertali arus, walaupun mengalami kelemahan yang memalukan umat Islam dan menjatuhkan maruah agama Islam. Kerjasama UMNO dengan MCA, MIC dan lain-lain adalah tanpa memelihara hukum Islam dan maruah umat. Tanpa batas halal dan haram dengan petunjuk agama, tetapi agama ditunjuk mengikut kemahuan manusia supaya diamalkan mana-mana hukum yang difikirkan mendatangkan hasil kewangan. Maka amalan yang haram mengikut tegahan Islam tidak dipedulikan, sehingga arak , judi, riba, rasuah dan lain-lain melibatkan penganut Islam dalam kerajaan dan rakyat. Kelemahan politik umat Islam di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat adalah strategi salah UMNO. Demi mempertahankan UMNO maka melayu Islam yang menyokong PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan lain-lain menjadi mangsa kezaliman UMNO, termasuk pegawai kerajaan dan kalangan ilmuan yang didapati menyokong PAS akan disekat dan disikat dengan sikat besi.

Ada pun kerjasama PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam dalam Pakatan Rakayat adalah berlandaskan Perlembagaan PAS yang meletakkan hukum tertinggi ialah al-Quran dan Sunnah, Ijma’ para Ulama dan Qiyas yang nyata. Pesanan Rasulullah S.A.W. :

والمسلِمونَ علَى شرُوطهم إَّل شَرْ طًا حرم حَلَّل أَوْ أَحل حراما

)سنن الترمذي - (ج 5 / ص 119 قَال أَبُو عيسى هَذا حديث حسن صحيح

(Dan orang Islam itu diwajibkan di atas syarat - syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram)

PAS mewujudkan Majlis Syura Ulama bagi merujukkan segala keputusannya dengan petunjuk Islam yang tetap terpelihara, bukan semata-mata berpandukan akal manusia yang sentiasa mengalami kelemahan.

Presiden PAS,
5 Mac 2013 / 22 Rabiul Akhir 1434
Baca Seterusnya - PAS tetap istiqamah dengan Islam (Presiden PAS)

Read more...

Friday, March 1, 2013

Sabah, Brunei dan Sulu | The Untold Histor






Sabah, Brunei dan Sulu | The Untold History 1. Sekitar abad ke 6


1. Sekitar abad ke 6, hampir keseluruhan kepulauan Borneo adalah di bawah jajahan takluk Kesultanan Negara Brunei. Seperti juga Sarawak yang rata-ratanya menjadi tanah kuripan kepada golongan bangsawan dan juga pembesar dari Kesultanan Brunei maka begitulah juga sebaliknya kepada Sabah.

2. Segalanya bermula apabila berlakunya perang saudara di Brunei di antara Sultan Mohammad Ali dan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin. Dikhabarkan persengketaan ini berlaku kerana anakanda Sultan Mohammad Ali telah dibunuh oleh Pengiran Muda Bongsu sewaktu menyabung ayam. Sultan Mohammad Ali telah bertindak membunuh Pengiran Muda Bongsu dan ini menyebabkan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin ingin menuntut bela dan seterusnya mengambil alih puncak pemerintahan Sultan Mohammad Ali.

3. Pembunuhan Sultan Mohammad Ali telah menyebabkan Pengiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin menaiki takhta selepas kemangkatannya. Sebagai langkah keselamatan, Sultan Abdul Hakkul Mubin telah berpindah ke Pulau Chermin, sebuah pulau di muara Sungai Brunei. Sultan Abdul Hakkul Mubin kemudian melantik anak saudara Sultan Mohammad Ali sebagai Pengiran Bendahara Brunei iaitu Pengiran Muda Muhyiddin.


Sultan Brunei sekarang
4. Pengiran Muda Muhyiddin naik takhta sebagai Sultan Negara Brunei dengan bergelar Sultan Muhyiddin selepas kemangkatan baginda. Dan sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hakkul Mubin inilah kerajaan Brunei telah menghadiahkan Kesultanan Sulu yang dahulunya Adipati Brunei tetapi telah bertindak menubuhkan kesultanan sendiri kerana kelemahan empayar kesultanan Brunei pada masa itu. Malah apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin memohon pertolongan malah kesultanan Sulu sanggup menghulurkan bantuan. Maka jadilah pantai Timur Borneo menjadi hak milik kepada Kesultanan Sulu pada tahun 1662.


5. Pada awal tahun 1760, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Alexander Dalrymple dengan Kesultanan Sulu bagi membuka pangkalan perdagangan Syarikat Hindia-Timur British di Pulau Balembangan. Pulau Balembangan terletak kira-kira 20 batu dari utara Kudat. Kemudian nama Pulau Balembangan telah ditukar kepada Felecia Island. Setelah bertapak buat seketika akhirnya Syarikat Hindia-Timur Bristish pada tahun 1805 meninggalkan Pulau Balembangan kerana dikatakan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

6. Pada tahun 1878, Baron Gustavus Von Overbeck, Konsul Jeneral bagi empayar Austro-Hungarian yang berpangkalan di Hong Kong telah membuat perjanjian dengan Kesultanan Sulu untuk menyerahkan hak tanah di bawah kuasa Sultan Sulu kepada Syarikat Overbeck. Perjanjian ini telah memberikan Sultan Sulu mendapat $5,000 setahun daripada Syarikat Overbeck. Nilai $5,000 adalah nilai dalam dollar Mexico yang mana pada ketika itu bersamaan dengan nilai emas.

Alfred Dent

7. Pada tahun yang sama, Syarikat Overbeck telah mengalami masalah kewangan teruk dan akhirnya memohon bantuan kewangan daripada Alfred Dent, seorang jutawan British pada masa itu. Alfred Dent telah sanggup membantu dengan bersyarat iaitu hanya wakil British dibenarkan untuk menguasai perniagaan di Sabah. Akhirnya Baron Gustavus Von Overbeck yang berbangsa Austria telah menyerahkan keseluruhan perniagaannya di wilayah Sabah kepada Alfred Dent untuk diuruskan. Disinilah bermulanya pengaruh Syarikat Berpiagam Borneo Utara keatas tanah jajahan kerajaan Sulu di Sabah.

8. Pada tahun 1888, Syarikat Berpiagam Borneo Utara , Negara Sarawak dan Negara Brunei telah menandatangani satu perjanjian dengan Kerajaan Mahkota British iaitu menjadikan ketiga-tiga negara ini menjadi negara perlindungan bagi Kerajaan Mahkota British. Perjanjian ini akan memastikan bahawa tiada mana-mana negara di antara ketiga-tiga ini akan meluaskan empayar negara masing-masing dan sekiranya berlaku sesuatu peperangan maka mereka akan membantu di antara satu sama lain.

9. Semasa Perang Dunia Ke-2 iaitu semasa Jepun mulai meluaskan kuasanya ke Asia Tenggara, Sabah juga tidak terkecuali mendapat tempias sehinggakan ianya telah mengalami kemusnahan yang teruk. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah tidak mampu untuk membangunkan Sabah pada masa itu jadi pada tanggal 15 Julai 1946, Sabah secara rasminya telah diberikan kepada Kerajaan Koloni British dan menjadi jajahan takluk British. Sepanjang menjadi jajahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan juga Koloni British, harga pajakan Sabah sentiasa dibayar kepada kerajaan Sulu.

10. Setelah Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dan bergabung membentuk Federasi Malaysia bersama-sama dengan Sarawak dan Malaya serta Singapura (Singapura keluar pada tahun 1965), tugas untuk membayar kepada Kerajaan Sulu juga berpindah tangan. Saban tahun Kerajaan Persekutuan Malaysia tetap membayar Kerajaan Sulu sebanyak RM5,300.00 (Ditambah RM300 oleh Kerajaan Malaysia) juga bagi mematuhi Perjanjian 1878. Terdapat klausa di dalam Perjanjian 1878 yang menyatakan bahawa sewaan ke atas Sabah harus dibayar sehingga tidak ada matahari dan bulan ataupun pada ertikata sebenar “Sewaan Sampai Kiamat”.

Baca Seterusnya - Sabah, Brunei dan Sulu | The Untold Histor

Read more...

Saturday, January 19, 2013

KALIMAH ALLAH MERENTASI TAMADDUN DAN ZAMAN


Jika kita melumati dunia kegerejaan, penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penganutnya sendiri masih menjadi suatu polemik hangat di kalangan pendeta-pendeta mereka. Pengesyoran tersebut dianggap terlalu liberal dan membahayakan pengikutnya. Lantaran itu, apabila isu penggunaan kalimah Allah dipertahankan dengan cara terdesak, ia dilihat seolah-olah mempunyai agenda yang tersendiri. Apapun makarnya, inilah bukti yang menunjukkan bahawa kepercayaan penganut Kristian terhadap tuhannya begitu rapuh. Dalam masalah nama-pun mereka tidak mempunyai pendirian yang jelas samada mahu menggunakan perkataan Allah ataupun God, Yahweh, Jehovah, Elohim, Father dan sebagainya.


"Dan ingatlah, ketika orang-orang kafir menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." - Surah al Anfaal:30, al Quranul Karim

Hari ini, walaupun umat Islam dihidangkan dengan pelbagai andaian dan keresahan mengenai kejahatan belakang tabir yang mungkin sahaja wujud dari agenda missionari (kristianisasi), kita sewajarnya merasa megah dengan keunggulan agama Islam kerna desas-desus inilah salah satu bukti keunggulan tamadun Islam satu ketika dahulu. Tamadun Islam yang penuh dengan nilai-nilai kemanusian, norma, doktrin, bahasa dan akhlak Islam yang mewarnai minda masyarakat umum satu ketika dahulu dan pernah menjadi"fenomenologi" terhebat di seluruh dunia.

Negara-negara Barat juga mempelajari kegemilangan tamadun yang ada pada umat Islam. Malangnya, mengapa hari ini imej umat Islam dan tamadunnya kerap menjadi mangsa distorsi dan fitnah media Barat? Tidak lain ada di antara faktor-faktor tersebut adalah kerana sikap negatif yang ada pada umat Islam sendiri.
Ketahuilah, tamadun Islam adalah tamadun yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah, taat pada ajaran RasulNya, menghubungkan segala jenis ilmu, sosio-budaya dan kesenian kepada Maha Pencipta. Buktinya, nama Allah tidak hanya disebut di dalam solat tetapi disebut setiap kali sebelum menjamah hidangan, diakhiri dengan ucapan "segala puji bagi Allah".
Nama Allah diagungkan apabila proses penyembelihan dilakukan, diucap-tama apabila berada di dalam majlis keramaian dan doa kesyukuran, ditulis di dalam buku-buku fizik, biologi dan perubatan seperti yang dilakukan oleh at Tifasyi (1184 M - 1253 M), pakar pengkaji geologi beragama Islam yang menulis kitab "Azhaarul Afkaar fi Jawaahirul Ahjaar". Kitab karangan at Tifasyi menjadi rujukan sekolah-sekolah sains di Eropah termasuk negara-negara maju yang lain. Tifasyi telah memulakan penulisan kitab tersebut dengan nama Allah sebagaimana berikut, "Segala puji bagi Allah, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan denganNYA kami mohon petunjuk..."

Tamadun Islam juga pernah mengambil falsafah Yunani sebagai ilmu moden, tetapi tidak 100% meniru metodologinya yang cuba menafikan kewujudan Tuhan. Begitulah para ilmuan Islam meneroka ilmu dengan tujuan untuk menguatkan lagi keimanan kepada Allah. Hubungan akademik dan ketauhidan terhadap Allah sentiasa bergandingan dan tidak lelah dipopularkan oleh para cendikiawan Islam silam.

Pengaruh bahasa Arab yang terhasil daripada pendidikan, penulisan, dan penterjemahan telah membantu perkembangan bahasa secara tidak langsung. Kerana itu, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian bukanlah suatu isu yang baru, ia adalah kesan daripada perkembangan budaya dan ilmu Islam satu ketika dahulu. Tidak mustahil-lah apabila penggunaan nama ‘Allah’ turut tersebar di kepulauan Melayu, Acheh, Tanah Jawa, Sumatera pada abad ke-14 hingga 18 Masihi, iaitu tahun ajaran Islam mula bertapak di Asia.
Oleh sebab itu, seharusnya kita bertindak dengan cara yang bijaksana dalam menangani permasalahan yang dilatari oleh masalah-masalah di "tempat tumbuhnya". Malah apa yang dilakukan oleh komuniti Kristian meyakinkan dakwaan bahawa pendeta-pendeta mereka bukan sahaja sanggup mengubah sebutan tuhannya; bahkan mereka juga sanggup menukar teks sebenar bible yang ada di tangan mereka. Demikianlah bukti bagaimana Allah menjaga kesucian zatNya kerana pada namaNya terdapat reputasi yang mengandungi erti yang sangat dalam bagi Si Penyandang.

sumber
Baca Seterusnya - KALIMAH ALLAH MERENTASI TAMADDUN DAN ZAMAN

Read more...

Tuesday, January 15, 2013

MURSI, GAZA DAN AMERIKA SYARIKAT


Ketamadunan Mesir, lebih dari puluhan dekad lalu telah lama hancur sejak Muhammad Ali Pasha menjadi gabenornya di sana, iaitu ketika detik penguasaan Empayar Uthmaniyyah hampir jatuh. Semua sendi kehidupan masyarakat Arab Mesir ketika itu menuju keruntuhan apabila "kiblat politik" mereka beralih ke negara-negara Eropah untuk di"sekular"kan. Rifaat Ath-Thahthawi, Luthfi Al-Munfaluthi adalah antara tokoh-tokoh liberalisme yang terhasil dari projek pem"barat"an tersebut.

Jika bukan kerana rahmat Allah yang mengekalkan mercu keilmuan Al-Azhar As-Syarif, nescaya masyarakat Mesir hilang pedoman mencari solusi keterperukan mereka. Mercu tersebut membezakan kebangkitan "Arab Spring" dengan negara-negara Arab yang lain yang ditohori dengan semangat dan iman, bukannya dengan perasaan dan nafsu.

Apabila Muhammad Mursi (Presiden pasca-revolusi) ditaqdirkan mentadbir negara setelah begitu lama ralit ditindas "telunjuk Barat", yakni ketika era rejim Mubarak, maka tugas berat menanti Mursi untuk membangunkan semula negara Mesir dari sudut ekonomi, kemajuan sosial dan pendidikannya. Ia adalah hal yang sewajarnya disedari, negara Mesir tempang di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia Arab selama 30 tahun lamanya sejak rejim Mubarak memerintah.

Sekalipun Mubarak tewas ditangan rakyatnya, kekuatan rejim masih lagi berbisa di tampuk lembaga pemerintahan negara, dan akan terus meributkan kestabilan pemerintahan Mursi jika ia tidak ditangani. Dalam keadaan negara yang masih menongkat bangunnya, sangat sukar membereskan Mesir dari cengkaman "fulul" (mantan rejim Mubarak) yang rakus mengintai peluang menamatkan pengaruh Mursi di dunia politik asia barat.

Pada 22 November 2012, Presiden Mursi telah mengumumkan sebuah keputusan yang mengejutkan rakyatnya dengan pengisytiharan konstitusi (sistem) yang memberikan kekebalan kepada seluruh keputusan-keputusan politiknya. Akibatnya beliau mendapat penentangan keras oleh musuh-musuhnya yang terdiri dari pelbagai aliran sekular yang mendakwa Mursi memonopoli proses menggubal draf piagam undang-undang negara. Sedangkan pengumuman Mursi itu bersifat sementara sahaja dan terhad kepada ‘isu-isu berhubung kedaulatan negara’.
Namun, para pendemonstran terus merusuh yang sebenarnya di balik gerakan tersebut terdapat kepentingan pihak-pihak sekuler, liberal, nasionalis dan "fulul", termasuklah juga campur tangan agenda Amerika dan Israel untuk menggoncang stabiliti politik Mesir. Hal ini disahkan dengan satu maklumat yang disampaikan oleh Badan Perisikan Mesir bahawa terdapat satu perjumpaan sulit antara Hamdin Sobahi, Tihani Gabali (Hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan), Ahmed Az-Zindi (Presiden Kelab Hakim Mesir) dan Ahmed Shafiq (seteru politik Mursi yang tewas di dalam calon presiden pilihan).

Pertemuan rahsia ini berlangsung di rumah Murtadha Mansour, seorang peguam dan orang kanan Mubarak yang merancang supaya hakim-hakim tersebut membuat tiga keputusan berikut :
  1. Membubarkan Dewan Senat (Syura).
  2. Membubarkan Panel Penggubal Perlembagaan negara.
  3. Membatalkan Undang-Undang yang diumumkan oleh Mursi, sekali gus beliau akan dipecat daripada jawatan presidennya atas hujah beliau tidak menghormati perlembagaan yang beliau angkat sumpah pada awal pelantikan dalam lafaz angkat sumpah.
Apabila laporan perisikan ini sampai ke pengetahuan Mursi, atas kebijakannya beliau memintas terlebih dahulu tindakan jahat dalang konflik tersebut dengan keputusan seperti di bawah ini :
  • Memutuskan semua kes mahkamah berkaitan pembunuhan penunjuk perasaan dibicarakan semula. Ini kerana sehingga ke hari ini semua kes yang dibicarakan menyaksikan tertuduh dibebaskan oleh mahkamah ekoran pendakwaan yang dikemukakan terlalu lemah dari sudut bukti.
Di sini ada sisi positif dalam konstitusi yang diumumkan oleh Mursi ini yang tidak boleh diabaikan, kerana tindakan Mursi sebenarnya bersesuaian dengan tuntutan rakyat untuk mengadili para kroni rejim sebelumnya yang telah dibebaskan oleh pengadilan dengan alasan tiada bukti-bukti pembabitan mereka. Khususnya kepada para pegawai tertinggi kerajaan yang memberikan perintah menembak rakyat yang berhimpun di Tahrir Square (Dataran Tahrin) di saat pemerintahan rejim Mubarak digulingkan. Kira-kira 850 penunjuk perasaan terbunuh semasa pemberontakan, manakala beratus-ratus lagi meninggal dunia sejak peristiwa itu.
  • Bahawa semua keputusan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh Presiden adalah muktamad dan automatik terlaksana serta tidak boleh dibantah. Hal ini merangkumi kes pembubaran Dewan Rakyat, Dewan Senat dan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.
Keputusan yang kedua (2) inilah yang mencetuskan kebangkitan golongan sekular mengadakan demonstrasi di Dataran Tahrir, lantas mendakwa Mursi bertindak seperti diktator. Draf inilah yang mendorong El-Barada'ie, bekas ketua pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh Presiden Mursi sebagai "Firaun Moden" dalam reaksi pertamanya ketika konstitusi Mursi diumumkan.

Langkah-langkah yang diambil oleh Mursi sebenarnya adalah bersifat sementara, bukan bertujuan untuk menumpukan kuasa, tetapi untuk menyerahkannya kepada parlimen yang dipilih secara demokratik, memelihara kesaksamaan badan kehakiman serta mengelakkannya daripada di"politik"kan.
  • Bahawa bagi Presiden Republik apabila terdapat anasir yang mengancam ketohoran Revolusi 25 Januari atau kehidupan rakyat atau kesatuan negara atau keselamatan tanah air atau merosakkan institusi negara dari meneruskan tanggungjawabnya, maka Presiden perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya bagi berhadapan ancaman ini berdasarkan lunas undang-undang.
  • Melanjutkan tempoh bagi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dari 6 bulan kepada 8 bulan (dilanjutkan selama 2 bulan) dan tidak boleh mana-mana pihak membubarkan Dewan Senat atau Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan. Ini bagi mengelakkan Mahkamah Tinggi Perlembagaan membubarkan dua institusi milik rakyat ini seperti yang dilakukan kepada Dewan Rakyat yang telah dibubarkan.
  • Presiden berhak melantik Peguam Negara daripada kalangan anggota badan kehakiman selama 4 tahun, yang dikira bermula dari tarikh perkhidmatannya dan meletakkan syarat umurnya tidak kurang 40 tahun dan ia berkuat kuasa kepada Peguam Negara yang baharu.
  • Mursi melantik Tala'at Ibrahim Muhammad Abdullah sebagai Peguam Negara yang baharu menggantikan Abdul Majid Mahmoud selama 4 tahun.
Khabar yang terbaharu, Tala'at Ibrahim berkata, "Pengadilan mahkamah terhadap mangsa revolusi akan ditubuhkan yang mana Mubarak, anak-anaknya dan ketua-ketua keselamatan akan dibicarakan semula jika terdapat bukti baru."
Sebelum ini  Mubarak dan bekas Menteri Dalam Negaranya telah dihukum penjara seumur hidup atas pembunuhan penunjuk perasaan dalam kebangkitan "Arab Spring" tahun lepas, tetapi enam ketua keselamatan telah dibebaskan dalam kes yang sama, dan hal ini mencetuskan kemarahan di seluruh negara.
Bagaimanapun kehebatan Unit Perisikan Mesir yang memecahkan maklumat sulit untuk menjatuhkan Presiden Mursi ini wajar diberikan pujian kerana impaknya mereka berhasil mengagalkan dalang perancangan jahat menjatuhkan Mursi. Dan ini bermakna, suatu konspirasi halus lagi licik telah berjalan untuk menjatuhkan Mursi supaya pihak-pihak yang berkiblat kepada Israel dan Barat terutamanya Amerika Syarikat dapat merampas kembali kuasa dengan bantuan institusi kehakiman dan tentera Mesir.

Jika Mursi jatuh ini bermakna Israel akan lebih mudah bergerak kerana Mesir adalah penghalang kepada segala tindakan Israel ke atas Gaza sekarang. Apabila Mursi melonggarkan pembukaan pintu sempadan Rafah sebenarnya ia mengemukakan masalah kepada usaha Tel Aviv menguasai Palestin. Kita tidak pasti sejauh manakah pihak tentera mengambil kesempatan daripada demonstrasi ini bagi mengeruhkan keadaan dan memporak-perandakan situasi supaya pihak tentera boleh mengisytiharkan darurat dan menguasai Mesir semula.

Persoalan kini yang timbul, adakah rakyat Mesir faham perancangan kudeta terhadap Mursi ini dianggotai bukan sahaja seteru di dalam negara tetapi juga seteru di luar negara mereka?

Mesir, dalam kondisi yang rencam ini memerlukan segala kebijaksanaan dan orang-orang yang bijaksana untuk menghindari pelbagai konspirasi yang dipintal untuk mengembalikannya ke ribaan Amerika dan sekutunya Israel. Inilah yang diinginkan oleh Amerika dan Israel untuk menguburkan kejayaan revolusi Mesir. Kerana negara-negara Barat 'tidak redha' membiarkan Mursi atau gerakan induknya, Ikhwanul Muslimin berkuasa di Mesir meskipun pemilihan presiden pasca-revolusi rakyat dilakukan dengan cara paling 'demokratik'.

Hal ini mengingatkan lagi kepada kemenangan Hamas di dalam pilihanraya pada tahun 2006, namun Amerika Syarikat dan sekutunya tidak mengakui dan memilih bonekanya, Mahmoud Abbas.

Hal ini juga mengingatkan apa yang pernah berlaku kepada FIS di Algeria pada tahun 1991, di mana Amerika Syarikat turut menjadi dalang untuk menggagalkan kemenangan parti Islam itu.

Dalam soal Gaza misalnya, Mursi secara terbuka menyatakan dukungan kepada rakyat Gaza dan gerakan Hamas. Ketika Israel membungkam Gaza dengan bedilan bom pada minggu lalu, Mursi mengecam Israel sebagai negara yang biadab dan menyatakan,"Cairo will not leave Gaza on its own. Egypt today is not the Egypt of yesterday, and Arabs today are not the Arabs of yesterday."

Israel semakin sakit jiwa apabila Mursi berjanji akan membuka perbatasan Gaza 24 jam. Mursi memang menjadi harapan besar rakyat Mesir agar dapat berperanan besar dalam perjuangan membebaskan Gaza. Ketika beliau baharu menjawat jawatan presiden, para pendukungnya menyatakan, "Tomorrow Mursy will liberate Gaza. Yes, we will either pray in Jerusalem or we will be martyred there."

Malah dalam kempen-kempen pidoto Mursi juga sebelum ini beliau sering berjanji untuk membebaskan Gaza. Tentunya keinginan dan cita-cita Ikhwanul Muslimin dengan presidennya, Muhammad Mursi itu memomokkan lena panjang "kuasa besar dunia", Amerika. Meskipun Hillary Clinton beberapa hari lalu datang ke Mesir untuk berunding bersama Mursi tentang keamanan Palestin dan Israel, tetapi sikap kedua-dua pemimpin itu jelas berbeza.
Hillary Clinton dalam konferensi medianya pada 20 November 2012 lalu, bersama PM Israel Netanyahu di Jerussalem menyatakan,"...President Obama asked me to come to Israel with a very clear message; America’s commitment to Israel’s security is rock solid and unwavering. That is why we believe it is essential to de-escalate the situation in Gaza. The rocket attacks from terrorist organizations inside Gaza on Israeli cities and towns must end and a broader calm restored. The goal must be a durable outcome that promotes regional stability and advances the security and legitimate aspirations of Israelis and Palestinians alike."

Perhatikan bicara Hillary, menurutnya Hamas yang memimpin pemerintahan Gaza saat ini masih didakwa sebagai parti dokongan rakyat yang tidak sah dan juga sebuah organisasi "teroris". Kerana itu Hillary tidak segan-segan menyatakan bahawa komitmen pemerintah Amerika untuk keamanan Israel adalah solid dan tidak berubah.

Di sinilah nampaknya kemungkinan besar adanya konspirasi Amerika mendukung tokoh-tokoh atau aktivis sekuler-liberal secara "diam-diam" cuba menjatuhkan Presiden Mursi.

Semoga Allah membantu Presiden Mursi, dan menggagalkan perancangan seteru politiknya.

sumber
Baca Seterusnya - MURSI, GAZA DAN AMERIKA SYARIKAT

Read more...

Thursday, September 27, 2012

Belanjawan PR




Belanjawan PR 2013 ke arah Negara Berkebajikan
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pembentangan Belanjawan PR 2013 yang bertemakan "Ekonomi Rakyat Negara Berkat". Ianya dengan tepat memberi penekanan kepada tiga agenda memacu kebajikan rakyat; 

a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup, 

b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan 

c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.
2. Belanjawan PR ini menjadi satu lagi bukti kemampuan Pakatan Rakyat di dalam merangka strategi alternatif ekonomi nasional  yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang membawa pembaharuan sebenar untuk Malaysia. 

3. Kelak UMNO-BN dan pengampu-pengampu mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan Rakyat cuma pandai beretorik dan membuat omongan kosong kerana Belanjawan PR ini buat kesekian kalinya telah menjelaskan tawaran kita secara objektif, profesional dan bijaksana tanpa bersikap apologetik terhadap cabaran ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan oleh pemerintah.
4. Belanjawan ini tidak membuaikan rakyat dengan gula-gula politik dan strategi perbelanjaan melampau seperti  Bajet kerajaan pada 2012  yang telah disifatkan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri sebagai suatu rasuah politik. 

5. Sebaliknya belanjawan setebal 78 mukasurat ini menyusun program perbelanjaan konstruktif untuk membina jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin dan kelas ekonomi menengah secara mapan dengan penekanan terhadap aspek perumahan, belanja isirumah, pemilikan kenderaan dan pendidikan tinggi percuma tanpa bebanan dari PTPTN.
6. Di dalam hal ini, kita juga komited untuk merungkai monopoli UMNO-BN yang terus menerus menjerut dan menghambat potensi sebenar sistem ekonomi kita, sama ada di dalam soal bayaran tol sehinggalah amalan kolusi syarikat-syarikat besar yang menjadi penyumbang dana kepada kelangsungan politik wang pemerintah yang telah membarah. 

7. Belanjawan ini penting sebagai bukti kepada rakyat bahawa amalan korupsi, kolusi dan nepotisme UMNO-BN ini boleh ditamatkan dengan langkah-langkah jitu dan realistik bersandarkan kemahuan politik kuat pemerintah yang cuma akan hadir melalui Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya pasca PRU ke13 nanti insyaallah.
8. Agenda-agenda besar Belanjawan PR ini juga boleh dicapai berdasarkan kepada kebijakan yang terjana hasil dari pengalaman mentadbir negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang pastinya berguna untuk diaplikasikan di peringkat nasional. 

9. Rakyat telah menyaksikan prestasi kepimpinan PR yang telah berjaya mengekalkan integriti bebas rasuah di samping kompeten, telus dan berhemat di dalam urusan pentadbiran walau terus dimomok dengan pemberitaan berat sebelah dan layanan tidak adil dari kerajaan pusat.
10.  Malah kerendahan hati dan kesederhanaan pemimpin menyantuni rakyat menjadi pembeza kepada gaya mewah pimpinan UMNO-BN dan keluarga mereka. Atas dasar ini jugalah, kita yakin dengan aspirasi untuk meningkatkan hasil mahsul negara sehingga 18% sebagai sesuatu yang realistik bersandarkan kesungguhan dan keikhlasan kepimpinan PR untuk mendepani isu ketirisan, rasuah dan kecekapan di dalam urusan negara.
11. Dewan Pemuda PAS melihat Belanjawan PR ini sebagai suatu lagi terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang dicadangkan oleh PAS bagi memastikan kekayaan negara tidak lagi berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata, sedang ianya adalah  merupakan satu bentuk kezaliman. 

12. Belanjawan ini menjadi satu manifestasi strategi untuk merakyatkan kekayaan negara secara adil dan saksama agar rezeki yang ada dirasakan cukup untuk semua orang dan semua urusan sekaligus membebaskan rakyat dari cengkaman mafia ekonomi.
13. Bermula dari nurani tersebut, timbul kesungguhan untuk terus berusaha mencambah kekayaan negara dan lahir pula keikhlasan dari rakyat untuk memanjat doa dan pengharapan kepada tuhan agar kebajikan dan kesejahteraan ini berpanjangan. Inilah kitaran keberkatan yang cuba dicapai, bermula dengan perbentangan strategi Belanjawan PR ini. 

14. Aspek rububiyyah inilah yang tidak mungkin dapat difahami oleh pemerintah yang terus menerus merasakan penguasaan terhadap kekayaan negara adalah hak istimewa mereka secara tradisi.
15. Dewan Pemuda PAS dengan ini mengucapkan syabas dan tahniah di atas pembentangan belanjawan rakyat ini. Kita akan melangkah penuh yakin untuk ke lapangan bagi menjelaskan visi dan strategi Pakatan Rakyat membawa kemakmuran kepada rakyat.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Baca Seterusnya - Belanjawan PR

Read more...

Tuesday, June 26, 2012

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji


Oleh
Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara.
Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN.

Firman Allah :
وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق: 2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2)

Juga Firman Allah :
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا
Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala :

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283)

Akhuirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,
1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaaz Abdullah Bukhari Abd Rahim

20. Xifu Naseer Abd Rahman

Baca Seterusnya - Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji

Read more...

Monday, June 11, 2012

KEZALIMAN BASHAR AL ASSAD PASTI AKAN TUMBANG



Tiada makhluk Allah yang tidak akan mati, sama ada ia manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Hebat macamana sekalipun manusia atau binatang, apabila sudah ajalnya ia tetap akan mati. Walaupun suatu ketika dahulu pernah diberi gelaran 'orang besi', 'haiwan paling berbisa', 'paling berbahaya', 'paling kuat di dunia' dan bermacam-macam gelaran lain, mati tetap akan menemuinya walau di mana dia berada, hatta di angkasa sekalipun. Tetapi makhluk bemama manusia sering lupa, semasa hidup di dunia apabila tidak menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama serta akhlak yang mulia, pasti dia tidak akan merasakan bahawa terdapat satu kuasa yang lebih besar dari segala-galanya yang ada antara langit dan bumi, itulah kuasa Allah Taala, Tuhan semesta alam.
Sebagai Muslim yang sering menghubungkan dirinya dengan agama, kita sedar bahawa Allah Taala mencipta kita adalah untuk menguji kita siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya di sisi-Nya. Dia tidak mencipta kita dengan sia-sia, ini ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 115 surah al-Mukminun : 
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiadakepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"
Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita, bahawa terdapat dua dimensi Allah memberitahu kepada kita, di mana pertamanya kita tidak dicipta dengan sia-sia dan kedua kita akan dikembalikan kepada-Nya pada suatu hari nanti yang dikenali dengan 'Hari Kiamat' atau 'Hari Akhirat' yang merupakan destinasi persinggahan terakhir bagi setiap makhluk ciptaan-Nya.
Persoalannya di sini, apakah persiapan atau bekalan yang telah kita persiapkan untuk menghadapi hari tersebut, yang telah digambarkan dalam al-Quran dengan pelbagai versi seksaan dan azab yang menunggu mangsanya yang datang kepadanya pada hari yang dijanjikan itu. Jika kita merupakan jenis manusia yang tunduk kepada intipati al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W, insya- Allah kita akan selamat dan diselamatkan dengan syafaat Baginda S.A.W, tetapi sebaliknya jika kita adalah jenis manusia yang jahat, suka melawan Allah dan menyanggah ajaran Rasulullah, maka kita akan disisihkan daripada mendapat syafaat Baginda. Na'uzubiLlahi min zaalik
Al-Quran telah mendedahkan beberapa siri kejahatan manusia yang akhirnya mereka kecundang menyembah bumi dengan tidak membawa sebarang bekalan yang boleh membantu mereka terselamat daripada azab Allah Taala. Al-Quran telah mendedahkan individu-individu terbabit seperti Namrud, Firaun, Qarun, Haman, Abu Lahab, kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Musa, kaum Nabi Lut dan sebagainya. Tetapi, apakah sebenarnya pengajaran yang Allah mahukan pemberitaannya disampaikan kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad, iaitu umat Nabi terakhir yang tidak ada lagi Nabi selepas Baginda. la tidak lain ialah untuk menyedarkan supaya kita tidak berlengah dan bertangguh untuk membuat persiapaan bagi menghadapi hari yang penuh dengan muhasabah dan perhitungan.
Kesemua peringatan itu telah disampaikan oleh Baginda Rasulullah S.A.W melalui 'Nuzul al-Quran' sebagai mukjizat yang tidak ada taranya sampai hari kiamat, supaya tidak ada mana-mana manusia di kalangan umatnya yang mendakwa bahawa dia sama sekali tidak mengetahui terdapat peringatan itu dalam al-Quran. Kalaupun berlaku demikian, ia bukan salah al-Quran atau salah Nabi Muhammad, malah manusia perlu menyalahkan diri sendiri, kerana dia bukan hanya menetap di dunia ini pada satu waktu yang singkat, tetapi dia telah berada di dunia ini menjangkau lebih setengah abad atau lebih dari itu.
Adakah tidak kita menggunakan akal fikiran walau satu hari tentang keadaan mati, atau destinasi yang menanti di akhirat? Satu hari yang berjumlah 365 hari kiraan kalendar Masihi dan 355 hari kiraan kalendar Hijri dan dikalikan dengan 50 tahun hidup di dunia berjumlah 17,751 hari. Satu hari sahaja berfikir untuk memfokuskan nasib di akhirat. Kalau itupun tidak boleh dilakukan, ia menunjukkan bahawa hati manusia itu telah ditutup dengan tutupan Allah Taala.
Inilah yang telah berlangsung dalam sejarah kehidupan manusia di abad moden, kita sama-sama telah menyaksikan individu yang bernama Islam telah membunuh, memenjara, menyeksa saudaranya sendiri daripada kalangan umat Islam, bagaimana kesudahan golongan penyeksa di dunia, akhirnya mereka mati juga menghadapi Allah, sebelum datangnya kiamat, mereka terlebih dahulu diseksa oleh Allah dalam kubur masing-masing. Itulah yang telah berlaku kepada Jamal Abdul Nasir dan Anwar Saddat (mantan Presiden Mesir), Saddam Hussein (Iraq), Muammar Gaddafi (Libya), Habib Bourqiba dan Zein al-Abidin (Tunisia), Chadli Benjadid dan Abdelaziz Bouteflika (Algeria), Hafez al-Assad (Syria) dan anaknya yang masih hidup iaitu Basyar al-Assad.
Setelah kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir, Zein al-Abidin di Tunisia, Muammar Gaddafi di Libya dan, Ali Abdullah Saleh di Yaman, boleh dikatakan kesemua negara terbabit jatuh di tangan rakyat masing-masing. Namun, apa yang berlaku di Syria amat berbeza dengan negara-negara yang telah disebutkan, tidak pernah pilihan raya diadakan kerana negara Syria dianggap sebagai warisan keturuan al-Assad, walaupun ia bukan negara monarki, namun secara automatik beralih daripada Hafez kepada anaknya Basyar.
Apa yang memilukan kita, rakyat Syria sama sekali tidak boleh bercakap mengenai kepincangan pemerintah mereka, para ulama diawasi malah ada yang ditangkap, disumbat dalam penjara serta dikenakan pelbagai seksaan untuk merencatkan fizikal mereka agar tidak boleh berfungsi untuk menyampaikan Islam kepada rakyat.
Pada Mei 2011, Basyar telah mengarahkan polis untuk menangkap sejumlah 28 murid sekolah yang dikenal pasti menconteng dinding awam yang tertera perkataan 'Rakyat mahu jatuhkan sistem pemerintahan Basyar', kesemua murid itu dimasukkan dalam penjara dan disoal-siasat siapakah ayah-ayah mereka. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang mahu menjawab, ada di kalangan mereka dicabut kuku-kuku sebagai ugutan, ada yang mati kerana kekurangan darah, berita penangkapan dan kematian mereka dilaporkan dalam siaran berita televisyen. Laporan berita itu mendapat respons para ayah kepada murid-murid yang ditangkap, mereka meminta rejim Basyar supaya membebaskan anak-anak mereka tanpa syarat, tetapi pasukan polis dan tentera yang datang lengkap dengan senjata cuba membunuh mereka.
Kemudian polis mengemukakan tawaran untuk pembebasan dengan syarat anak-anak yang ditangkap ditukar ganti dengan anak-anak gadis mereka. Rakyat semakin marah dan hilang kawalan, lantaran itu polis terpaksa menembak mereka dan bermulalah episod pertembungan antara rakyat dan pasukan aparat reji Basyar di Syria. Kawasan penempatan rakyat yang majoritinya Ahlus Sunnah wal Jama'ah dibedil teruk sampai hari ini tanpa belas kasihan. Ini kerana Basyar yang menganut agama baharu 'Ba'ath' (sosialis) yang lebih mengutamakan material berbanding nasib umat Islam sendiri. Slogan Sunnah VS Syiah, Syiah VS Sunnah diapi-apikan, dan ia menjadi bonus buat Zionis Israel dan Amerika.
Oleh kerana kekejaman melampau Basyar itu, para ulama memberi respons dan menegaskan bahawa Basyar harus dibunuh, ia merupakan satu tugas fardhu 'ain atas setiap Muslim/ Muslimah. Malah pembunuhnya akan dibalas dengan syurga Allah pada hari akhirat kelak. Perkara ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung Ikatan Ahlus Sunnah, Dr.Sofwat Hijazi memberikan fatwa supaya Basyar Al-Asad boleh dibunuh.
"Sesiapa yang berpeluang membunuh Basyar tetapi tidak membunuhnya maka dia berdosa".
Dr.Sofwat Hijazi yang juga Ketua Pemegang Amanah Revolusi Mesir itu turut berkata, "Sesiapa yang dapat membunuh Basyar maka dia akan memperolehi balasan syurga," katanya dalam pertemuan Khamis lalu anjuran Kesatuan Doktor-Doktor Perubatan dan Ikatan Ahlus Sunnah di bawah tajuk "Peranan Ummah dan Ulama Islam Dalam Membantu Syria dan Palestin".
Kata beliau lagi, "Jika wajah saya tidak dikenali nescaya saya akan pergi membunuhnya (Basyar) dan sesiapa yang mampu membunuhnya maka bunuhlah dia dan aku bertanggungjawab terhadap darahnya."
Sementara itu, seorang lagi ulama terkenal dari Mesir Dr.Jamal Abdus Sattar yang merupakan penyelaras bagi Kesatuan Pendakwah Mesir berpendapat bahawa, "Jenayah Basyar yang membunuh puluhan ribu rakyatnya tanpa membezakan antara lelaki atau orang tua atau kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh Yahudi terhadap umat Islam di Palestin".
Jelas Abdul Sattar lagi, "Tidak perlu menghormati orang yang zalim walaupun dia mendakwa dirinya masih Islam".
Begitu juga pendangan mantan Mufti Mesir, Dr.Nasr Farid Washil yang menegaskan bahawa, "Bashar al-Assad adalah pembunuh dan harus dibunuh", katanya kepada akhbar milik Parti Kebebasan dan Keadilan (Hurriyyah wal'Adalah) yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin, pandangannya juga turut dipersetujui oleh Syeikh al-Azhar, Dr Ahmad at-Taiyib.

Baca Seterusnya - KEZALIMAN BASHAR AL ASSAD PASTI AKAN TUMBANG

Read more...

Thursday, April 12, 2012

ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA



Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini. Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan
oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah bermaksud, "Wahai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk" - Al A'raf:158

Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat ! Hanya bangsa Arab yang boleh menegakkan Islam! Macam slogan Umno, ”hidup Melayu!”. Ini semua tidak betul dan benar.

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.


Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W setelah Ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya Allah memberi amaran, "Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini". Surah Muhammad:38

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis, "Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina".

Ketika bangsa Arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia. Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini. Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah. Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tebal. Kita tidak dapat mengambalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak dihadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini saperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa. Hari ini bangsa Arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi.

Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam disamping atau dibelakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesadaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno. Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura ditahun lima puluhan dan enam puluhan adalah dibawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah dibawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah dikawasan mereka. Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno.

Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu. Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

PRESIDEN PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang



sumber
Baca Seterusnya - ISLAM DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA

Read more...

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP