Monday, May 30, 2011

Kenyataan rasmi GAMIS berhubung isu kemahasiswaaan di KUIN

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memandang serius isu kemahasiswaan yang sedang berlaku di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang hangat diperkatakan ketika ini. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang menjunjung nilai-nilai keadilan dalam Islam dan sentiasa konsisten dengan perjuangan mahasiswa, GAMIS berpendirian isu ini perlu dilihat dari perspektif yang lebih meluas, tidak melibatkan ketidakstabilan emosi dan ianya bebas daripada sentimen kepartian.

Pada 25 Mei 2011 (semalam) seramai 6 orang mahasiswa KUIN telah dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kampus atas kesalahan berdemontrasi, membuat kenyataan akhbar dan rapat umum tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran kampus. GAMIS sedar terdapat usaha daripada segelintir pihak untuk menarik campur tangan parti politik dalam isu ini. Sehubungan dengan itu GAMIS terpanggil untuk memberikan respon kerana ia secara langsung melibatkan isu pendidikan mahasiswa dan juga autonomi kampus. Pendirian GAMIS dalam hal ini ialah GAMIS berpegang pada prinsip membebaskn universiti dari cengkaman parti politik apapun.

GAMIS menggesa pihak pentadbiran KUIN menimbang semula segala bentuk hukuman yang telah dijatuhkan kepada 6 orang mahasiswa terbabit. Hukuman ini hakikatnya akan memberi implikasi yang besar terhadap proses pengajian dan masa depan mahasiswa terbabit. GAMIS mendesak agar pihak pentadbiran KUIN mendapatkan nasihat dari kerajaan negeri khususnya exco pendidikan bagi menyelesaikan isu ini, kerana ia telah menjadi bahan politik bagi pihak tertentu. Selain itu, pihak KUIN juga perlu mengeluarkan kenyataan secara rasmi berkaitan isu ini dan GAMIS mencadangkan agar kerajaan Negeri menjadi perantara yang baik kepada pihak pentadbiran dan mahasiswa yang berkaitan melalui pertemuan meja bulat yang seterusnya akan melahirkan persetujuan bersama. Sekiranya ini berlaku, kedua-dua pihak harus berterus terang dan bertoleransi antara satu sama lain demi melihat hubungan yang baik dan harmoni terus terjalin.

Sehubungan itu, GAMIS berpendirian isu ini perlulah diselesaikan secara kekeluargaan dan ia boleh diuruskan secara lebih berhemat tanpa campur tangan parti politik. Suara Mahasiswa perlu didengari, dalam masa yang sama peranan dan sumbangan mereka juga dihargai. Apa yang berlaku perlulah diselesaikan dengan cara kemahasiswaan dan berorientasikan Disiplin Ilmu. GAMIS yakin, isu ini mampu diselesaikan dengan baik jika berlaku budi bicara pihak pentadbiran dan kerjasama yang baik daripada mahasiswa, demi kesejahteraan bersama.

Umar Azihal Bin Bangsawan
Naib Presiden 3
Jaringan Kampus dan Negeri
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP