Wednesday, February 15, 2012

Perempuan menyanyi,.hukumnya haram?


[1]


Dalam kitab al-Halal wa al-Haram, karangan al-Qaradhawi ada menyatakan;

أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة , ولا حرام إلا ما ورد نص صحيح صريح من الشارع بتحريمه

Maksudnya;
            “Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah SWT ciptakan dari sesuatu atau perkara yang mendatangkan manfaat adalah halal dan harus. Ia tidak haram kecuali ada nas yang saheh sareh dari syarak dengan pengharamannya[1]

Sesuatu perkara itu tidak boleh dikatakan haram sekiranya;
Satu : ada nas tetapi doif
Dua : ada nas tetapi tidak sareh menyatakannya haram (tidak jelas menyatakan pengharamannya)

Dengan erti kata yang lain, sesuatu perkara itu boleh dikatakan haram apabila ada nas yang saheh, disamping ia sareh pula atas menyatakan perkara tersebut adalah haram.

Ada pula, beberapa nas yang saheh itu dilihat seperti sareh terhadap pengharamannya, tetapi sebenarnya tidak sareh. Antara contoh perkara ini adalah satu hadis bahawa Nabi SAW ada bersabda;

ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمْ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَنَّانُ الَّذِي لَا يُعْطِي شَيْئًا إِلَّا مَنَّهُ وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْفَاجِرِ وَالْمُسْبِلُ إِزَارَهُ

Maksudnya;
            “Tiga golongan yang Allah SWT tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat nanti; 1- dermawan yang tidak memberi sesuatu kecuali orang mahu dia berikan sahaja. 2- orang yang hendak memberikan sesuatu barangnya dengan sumpah yang buruk. 3- orang yang melabuhkan kainnya[2]

Juga hadis;

مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ

Maksudnya;
            “Pakaian yang rendah dari dua buku lali dari pakaiannya, maka ia dalam neraka[3]

Dari zahir hadis-hadis ini, kita akan dapati bahawa Nabi SAW melarang melabuhkan pakaian sehingga menutup buku lali. Namun begitu, apabila diteliti lagi, didapati bahawa hadis ini tidak sareh, ekoran itu perlu diperhatikan sama pada hadis yang lain pula, iaitu larangan melabuhkan itu mempunyai sebab, iaitu mendatangkan sombong. Ini dilihat pada hadis yang lain, iaitu Nabi Muhammad SAW bersabda;

مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
            “Barangsiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana Khuyala’ atau sombong, pasti Allah SWT tidak akan melihat (wajahnya) pada hari kiamat nanti[4]

Khuyala’ merupakan sifat bagi pengharaman berpakaian labuh sehingga menutup buku lali. Sekiranya tidak mendatangkan khulaya’, maka ia tidak jadi haram.

Maka begitujuga kita melihat kepada nas al-Quran yang dijadikan hujjah atas pengharaman nyanyian perempuan di khalayak. Ia saheh, malahan mutawatir, namun begitu, dari segi maksudnya, ia tidak sareh.

[2]

Larangan yang membawa kepada haram dalam nas ini mempunyai dua bentuk;
Satu : Larangan secara mutlak (An-Nahyu Az-Zati),
Dua : Larangan berbentuk sifat (An-Nahyu Al-Wasfi)[5].

Pada larangan berbentuk sifat ini pula terbahagi kepada dua, iaitu;
Satu : Sifat yang lazim (Al-wasf Al-lazim lahu), dan;
Dua : Sifat yang berjiran (Al-wasf Al-Mujawir lahu)

Contoh bagi perkara ini adalah;
Satu : Larangan mutlak – haram makan babi. Ini kerana, babi itu secara zatnya bersifat haram.
Dua : larangan bersifat;
            [1] lazim lahu – seperti larangan riba. Ini kerana, asal riba adalah jual beli kerana wujud muawadhad, iaitu pertukaran. Namun, memandangkan wujud sifat-sifat penambahan yang menindas, maka ia dikira haram.
[2] al-Mujawir lahu - seperti menunaikan solat dengan pakaian yang dicuri, atau berpuasa pada satu syawal.

Dari segi hukum, larangan secara mutlaq dan bersifat lazim ini, tidak timbul perbahasan yang panjang. Tetapi perbahasan fiqh berlaku pada larangan yang bersifat berjiran. Contohnya seperti seseorang yang melakukan puasa nazarnya pada satu syawal; apakah puasanya sah atau tidak. Mengikut mazhab Hanafi, puasa nazar itu sah, tetapi perbuatannya itu haram. Ini kerana, larangan itu berlaku pada sifat (satu syawal), bukan pada zat puasa.

Secara kesimpulannya;
Puasa nazar – harus + Pada satu syawal – haram
Solat – sah + pakai baju curi – haram.

Dengan erti kata yang lain, puasa nazar itu tidak jadi haram, jika tidak dilakukan pada satu satu syawal. Juga Solat tidak jadi haram, jika tidak memakai baju curi.

Perkara yang sama bagi hukum perempuan yang menyanyi dikhalayak ramai. Hukum asalnya adalah tidak haram, kecuali jika terdapat faktor yang menyebabkannya jadi  haram (al-Mujawir lahu).

Sifat tersebut adalah merujuk kepada firman Allah SWT;

فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Maksudnya;
            “Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik” (surah al-Ahzab, ayat 32)

[3]

Kupasan terhadap ayat ini adalah seperti berikut;

Satu;

Larangan dalam ayat ini tidak bersifat mutlat. Dengan erti kata yang lain, ia bukan melarang orang perempuan menundukkan bicaranya, tetapi larangan kerana bimbang melahirkan syahwat kepada pendengar-pendengarnya yang hatinya rosak. Keadaannya sama seperti larangan dalam hadis, agar tidak melabuhkan pakaian. Larangan itu, bukan pada melabuhkan pakaian, tetapi larangan itu berfaktorkan sombong.

Adapun berkenaan dengan perempuan menyanyi dikhalayak pula, ia tidak semua keadaan boleh mendatangkan syahwat. Ekoran itu, larangan perempuan menyanyi dikhalayak adalah jika boleh melahirkan syahwat pada para pendengar. Adapun tidak melahirkan syahwat kepada pendengar, maka ia tidak haram. Dengan maksud, kembali kepada hukum asal, iaitu harus perempuan menyanyi itu adalah harus.

Dua;

Dalam ayat ini, Allah SWT tidak menyebut “al-Saut” atau suara, tetapi menyebut “al-Qaul”, atau perkataan. Ekoran itu, menurut salah seorang anggota majlis Eropah bagi fatwa dan kajian, Syaikh Abdullah bin Yusuf al-Judai’ larangan dalam ayat ini bukan merujuk kepada suara, tetapi merujuk kepada perkataan yang digunakan yang mampu melahirkan syahwat. Ini kerana, pada sambungan ayat, Allah SWT menyuruh para wanita berkata dengan perkataan yang baik[6]. (وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا)

[4]

Ada pihak menyatakan pengharaman perempuan menyanyi dihadapan ajnabi dengan alasan Nabi Muhammad SAW tidak mendengarnya.

Bagi menjawab perkara ini, perlu dinyatakan bahawa sesuatu perkara yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad SAW tidak boleh terus dikatakan haram. Ini kerana, imam al-Syatibi ada menyatakan bahawa, perkara yang tidak dibuat oleh Nabi Muhammad SAW itu perlu dilihat kepada beberapa perkara. Iaitu;

Satu;

Nabi SAW tidak buat kerana perbuatan itu makruh, seperti nabi Muhammad SAW tidak makan Dhob.

Dua;

Nabi SAW tidak buat kerana menghormati orang lain, seperti Nabi Muhammad SAW tidak makan bawang mentah.

Tiga;

Nabi SAW mengambil jalan warak dan afdhal, seperti Nabi SAW dibenarkan dalam nas bahawa berkahwin dengan perempuan tanpa memberi mas kahwin, tetapi apabila Nabi SAW berkahwin, Nabi SAW tetap juga memberi mas kahwin.

Empat;

Nabi SAW tidak buat kerana bimbang ia diwajib, seperti Nabi SAW tidak keluar dari rumah pada hari keempat pada bulan Ramadhan untuk menunaikan solat tarawih berjemaah kerana bimbang ia diwajibkan.

Lima;

Nabi SAW tidak buat dan tidak melarang, kerana ia adalah perkara yang tidak salah, seperti Nabi SAW tidak melarang dua orang jariah menyanyi bersama Aisyah di rumah Baginda SAW.

Enam;

Nabi SAW tidak buat, kerana Nabi SAW bimbang, jika dibuat juga akan mendatangkan mudharat lebih besar, seperti Nabi SAW tidak gopoh membetulkan Kaabah pada tempatnya kerana bimbang rakyat Makkah bergaduh.

Makanya, apabila Nabi Muhammad SAW tidak mendengar perempuan menyanyi, ia tidak merujuk bahawa amalan nyanyian itu haram, tetapi ia sebagai jalan warak Nabi Muhammad SAW yang mengambil jalan yang afdhal.

 [5]

Sebagai kesimpulan, dinyatakan seperti berikut;

Satu;

Hukum asal perempuan menyanyi dikhalayak adalah harus. Tetapi, ia boleh jadi haram sekiranya boleh mendatangkan syahwat kepada pendengar.

Dua;

Larangan dalam nas, bukan merujuk kepada suara. Ini kerana, suara perempuan bukan aurat. Jika suara perempuan aurat, bagaimana keadaan isteri Nabi yang banyak meriwayatkan hadis, kemudian hadis itu didengari oleh sahabat lelaki?

Jadi, nyata disini bahawa larangan dalam al-Quran (Surah al-Ahzab, ayat 32) bukan merujuk kepada suara, tetapi merujuk ungkapan perkataan; apakah mengandungi maksud yang merosakan atau sebaliknya. Jika mengandungi maksud yang merosakan (seperti lucah), maka ia adalah haram. Jika tidak, maka hukumnya adalah harus.

Tiga;

Penilaian terhadap mendatangkan masalah syahwat kepada pendengar, tertakluk kepada kondusif masyarakat tertentu. Di Saudi, orang perempuan dilarang memandu kerana ia boleh mendatangkan fitnah, seperti membawa kepada pelacuran dan sebagainya. Ekoran itu, tidak hairan di sana difatwakan perempuan dilarang memandu. Fatwa larangan perempuan memandu di Saudi tidak sesuai diadaptasikan di Malaysia. Ini kerana, unsur seperti yang berlaku di Saudi tidak berlaku di Malaysia.

Keadaan yang sama juga pada perbincangan perempuan nyanyi dikhalayak. Sekiranya ia mampu mendatangkan syahwat kepada majority rakyat Malaysia; atau mampu mendatangkan fitnah, maka ia adalah haram. Adapun jika sebaliknya, maka ia kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Empat;

Sekiranya dalam nyanyian perempuan itu, mengandungi unsur-unsur maksiat yang lain, seperti buka aurat dan seumpamanya, maka hukum nyanyian perempuan dikhayalak itu adalah haram. Hukumnya sama juga bagi kaum lelaki yang melakukan perkara yang sama.

Lima;

Walaubagaimana pun, tidak dinafikan bahawa perkara ini adalah perkara ijtihadiyyah yang tidak lepas dari khilaf fiqh. Maka ia perlu saling hormat menghormati dan toleransi antara satu dengan dengan yang lain.

Baca sama;
Pandangan Qaradhawi tentang perempuan menyanyi (bahasa arab) – Klik Sini

Wallahu ‘Alam







[1] Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlmn 25
[2] Muslim : hadis no, 155.
[3] Al-Bukhari : hadis no, 5341.
[4] Al-Bukhari : hadis no, 3392.
[5] Lihat At-Ta’lil Al-Maqasidi
[6] Al-Musiqi wa al-Ghina fi Mizan al-Islam, hlmn 276.

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP