Thursday, November 10, 2011

Menyingkap Tabir Pengurusan Rumahtangga Hassan Al-Banna


Assalamualaikum wb.

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له
وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله
 اللهم صل على نبينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
وبعد





Siapa sangka, susuk tubuh yang diinfaqkan pada jalan dakwah dan Islam ini merupakan seorang yang cukup menjaga hal ehwal rumahtangganya. Beliau sememangnya seorang yang sangat mengambil berat dalam pengurusan keluarganya walaupun kehidupannya sarat dengan lelahan tugas menuruni lapangan bersama jutaan rakyat Mesir. Keperibadiannya dalam meneladani akhlak yang diajarkan Rasulullah saw mengupayakan dirinya dicontohi ummah sama ada diluar rumah mahupun individu keluarganya, dan saudaranya dalam Ikhwanul Muslimin.

Pemikirannya bukan sekadar untuk ummah, bahkan turut dikongsi bersama ahli keluarganya. Beliau dengan senang hati menulis sendiri  senarai keperluan barang rumahnya bagi setiap bulan lantas beliau yang mempunyai sahabat yang juga anggota Ikhwanul Muslimin yang bernama Sayyid Sabiq Shihabuddin yang menguruskan sebuah kedai runcit. Kesungguhannya menjaga keperluan ahli keluarganya membuktikan beliau begitu menitikberatkan segala perkara yang harus diberikan perhatian sebagaimana kaedah Rasulullah saw yang diteladaninya.

Sifat lemah lembutnya menawan hati anak-anaknya lantas sifatnya menambat hati mereka untuk mentaati kepadanya walaupun tanpa arahan mahupun suruhan ke atas sesuatu kerja. Malah anak-anaknya sangat segan untuk melanggar arahannya, bukan kerana takut tetapi kesan didikan yang cemerlang terhadap anak-anaknya telah membuahkan rasa hormat dan kasih terhadap seorang ayah.

Hukuman Terhadap Anak-Anak

Ahmad Saiful Islam, seorang peguam, ahli Parlimen yang juga salah seorang anak Hassan Albanna menceritakan bahawa semasa kecilnya, beliau pernah melakukan kesalahan yang dilakukan pada suatu pagi, lalu mengakibatkan dirinya dicubit oleh ayahnya. Sepanjang hidupnya, itulah hukuman yang paling berat pernah beliau dihukum oleh ayahnya Hassan Al-Banna. Namun pada waktu tengaharinya, Hassan Al-Banna menghubungi anaknya itu sambil mententeramkannya kembali lalu berdamai bersamanya. Pendekatan ini sangat terkesan dihati Saiful Islam yang mengimbau kembali saat bersama ayahnya itu.

Sangat Mengambil Berat Perkembangan Kesihatan dan Akademik Anak-Anaknya

Anda pastinya merasa kagum bahawa Hassan Albanna dalam kesibukannya memberi ceramah dan usrah serta menghadiri kebanyakan perjumpaan awam dan khusus, beliau masih berkesempatan dalam menyusun serta memiliki database yang cemerlang untuk setiap anaknya. Beliau menyediakan satu fail khas bagi setiap anaknya bagi dicatatkan sendiri olehnya tarikh lahir, mahupun tarikh-tarikh yang berkaitan. Bahkan maklumat yang berkaitan perubatan anak-anaknya juga turut dicatatkan termasuk laporan lalu dan ini sememangnya memberikan kemudahan kepada para doktor yang merawat anaknya. Bayangkanlah setiap kali anaknya mengambil ubat dan berapa lama dimakan ubat,  juga dinyatakan serta tempoh kesakitan yang dialami.

Hassan turut menghadiahkan sebuah perpustakaan yang khusus kepada Saiful Islam dan turut memberikan perbelanjaan bulanan bagi keperluannya membeli kitab-kitab bacaan.

Buku laporan anak-anaknya turut memuatkan laporan prestasi akademik anak-anaknya. Saiful Islam menceritakan bahawa , “Ayah saya juga menyimpan semua sijil-sijil pelajaran anak-anaknya berserta catitan tertentu seperti: Saif perlu menekankan subjek ini dan dia lemah dalam subjek itu…. Wafa’ pula memerlukan pertolongan dalam subjek ini… Begitulah secara umumnya apa yang beliau lakukan terhadap anak-anaknya.”

Hassan Al-Banna Menyantuni Saudara Maranya

Sunnah Rasulullah serta ajarannya sangat menyelimuti keperibadian Hassan Albanna. Setelah beliau berkahwin dengan isterinya, beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mengenali setiap kaum keluarganya seorang demi seorang serta menziarahi mereka walaupun mereka itu tinggal berjauhan. Bahkan beliau juga turut menyayangi seluruhnya sehinggakan walaupun hubungan kekeluargaan sudah jauh dan bukan seibu sebapa bagi sebelah isterinya, Hassan bersungguh menziarahi mereka sehinggakan perkara ini sangat mengagumkan isterinya. Ketelitian dan kesungguhan ini adalah disebabkan beliau sangat menjaga apa yang dipesankan Rasulullah saw itu sendiri.

Tarbiyah untuk Anak-anaknya.

Saiful Islam bersama kakaknya Wafa’ sewaktu bulan Ramadhan memperuntukkan waktu selama sejam sebelum maghrib untuk membaca al-Quran. Proses bacaan ada ketika Hassan Al-Banna juga turut memperdengarkan bacaannya kepada anak-anaknya sambil mengikutinya. Akibat terlalu kerap dengan cara berkenaan, mereka mulai terbiasa dan lali lalu beliau menunjuki tempat bacaan tersebut. Proses ini mengajar kepada mereka bahawa Hassan Albanna berusaha mendidik anaknya dengan proses pendidikan yang baik.

Beliau juga memastikan bahawa bahan bacaan anak-anaknya juga diberi perhatian. Beliau tidak menengking sewaktu Saiful Islam memiliki bacaan seperti tulisan Arsin Subin, Sharlock Holmes berkenaan kisah-kisah polis. Sebaliknya beliau berkata kepada Saiful bahawa “Ayah akan memberikan bacaan kepada kamu bacaan yang lebih baik…”. Di antara beberapa buah buku yang dihadiahkan beliau adalah Sejarah Puteri Yang Mempunyai Keazaman Yang Tinggi, Sejarah ‘Antarah bin Syadad, Saif bin Zi Yazn, Kisah Umar bin Abdul Aziz dan lain-lain.

Begitulah cermatnya Hassan Albanna dalam menguruskan perihal rumahtangganya, yang seharusnya menjadi suatu peringatan kepada para dai’e mutakhir ini agar senantiasa ringan dalam mencontohi teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Beliau memudahkan segala urusan yang dipikulnya dengan begitu bersemangat, dan tidak memperlekehkan urusan yang ditekankan dalam kesibukan berdakwah. Dalam menampilkan kesyumulan Islam yang tidak meninggalkan urusan politik, dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, ekonomi, sosial, akhlak dan lain-lain, beliau telah menjalurkan garisan yang sangat jelas kepada ummah berpandukan sunnah Rasulullah saw yang mulia. Semoga cemerlangnya dakwah sehingga terbentuknya Khilafah Islamiyah melalui Daulah Islamiyah juga turut memikul kecemerlangan yang terhasil daripada Baitul Muslim yang cemerlang.

Rujukan: Olahan Buku Memperingati Imam As-Syahid Hassan Al-Banna,Editor: Ustaz Riduan Mohamad Nor.

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP