Saturday, November 26, 2011

Menghias solat dengan sifat malu





بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wb.

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له
وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله
 اللهم صل على نبينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
وبعد

SESUNGGUHNYA apabila seseorang itu menyedari betapa lemahnya hendak mendirikan ibadah dengan cara paling sempurna,sehingga tidak terdaya untuk memenuhi masa sepanjang solat itu dengan betul-betul mengingati Allah swt,maka wajarlah ia merasa malu terhadap Allah swt.

Mengapa seseorang itu perlu merasa malu?Betapa tidak,jika dilihat dari persediaan yang dibuat ketika hendak mendirikan solat dimulai dengan mengambil air wudu' diikuti pula dengan persiapan pakaian yang baik-baik dan dilengkapi dengan memakai serban,bersugi dan sebagainya.Malangnya lebih banyak masa yang digunakan untuk persiapan daripada masa yang digunakan untuk mengingati Allah swt.Oleh kerana lalai menyebabkan amat sedikit masa yang digunakan bagi mengingati Allah swt di dalam solatnya.

Oleh itu wajarlah seseorang itu merasa malu terhadap Allah swt sebaik sahaja ia selesai menunaikan solat.Kerana mendirikan solat itu adalah untuk mengingatiNya semata-mata,sedangkan ketika solat jika masa yang digunakan itu kira-kira 10 minit,sayangnya hanya 1,2 minit saja yang ia ingat kepada Allah swt,selebihnya ingatannya melayang mengikut kemahuan hati,khayal dan lalai.

Jika ia tidak merasa malu dengan ibadah solat yang sedemikian rupa,malah mendakwa bahawa ia telah melakukan semua rukun fardhu di dalam solatnya,dan ia merasa tanggungjawabnya untuk mendirikan solat itu sudah pun tertunai.Alasan seperti itu hanyalah datangnya dari ahli ibadah yang jahil,sedangkan orang jahil itu(kedudukannya) adalah sebagai musuh Allah swt.

Tetapi orang yang merasakan bahawa ibadah solat itu sebagai suatu tuntutan fardhu yang hendak dibawa sebagai bekalan ke akhirat,maka sudah tentulah orang itu akan merasa malu.Ia malu kerana ibarat orang yang hendak menyerahkan hadiah kepada seorang raja,sayangnya apabila dibuka,hadiahnya itu cacat.Maka sudah tentulah ia merasa malu dimajlis tersebut kerana raja itupun sebenarnya bukan saja tidak perkenan dengan pemberian hadiah serupa itu malah raja akan murka dengan perbuatannya itu.

Wajarlah ia merasa malu memandangkan persiapan untuk mendirikan solat begitu rupa,ia wudu' untuk bersuci dan hadas,berpakaian indah,melakukan semua rukun dengan penuh kesempurnaan fizikal.Tetapi semua kesibukan lahiriah itu hanya ibarat orang makan keropok berbunyi berderap-derap dan habis 2,3 pinggan namun masih tidak juga kenyang.

Kesibukan ibadah solat yang hanya bersifat fizikal itu tidak memberi erti apa-apa di sisi Allah swt kerana yang dikehendaki dengan ibadah solat itu selain dan kesempurnaan syariat yang lahir ialah sejauh mana ingatan seseorang itu terhadap Allah,kerana tujuan solat itu ialah untuk mengingati Allah swt.

Malu itu akan hanya lahir apabila seseorang mengetahui keaiban diri dan segala kelemahan dirinya,disamping mengingat kebesaran Allah swt.Perasaan malu itu akan bertambah kuat apabila kesedaran semakin mendalam terhadap keaiban diri,kurangnya ingatan kita terhadap Allah swt serta dangkalnya rasa ikhlas,disamping keinginannya terhadap kesenangan hidup dunia yang segera telah mengatasi keinsafan dirinya dari mengingati dan merasai betapa besarnya kerja serta amal yang dikehendaki oleh Allah swt.

Patut benar orang itu merasa malu memandangkan bahawa begitu indahnya persiapan lahiriah yang telah dilakukan untuk ibadat solat itu,tetapi malangnya tidak pula seindah itu persiapan rohaniah yang disertakan.Ibarat  seseorang yang bersiap sedia menghadapi ketibaan pembesar yang hendak datang ke rumahnya,semua dinding luar rumahnya telah dicat begitu cantik,halaman rumahnya pun sudah dihias.Namun apabila sampai ke dalam rumah didapati penuh dengan sarang labah-labah serta keadaan berselerak dengan sampah sarap.Sudah tentu ini amat memalukan.

Sumber : siri tazkirah(Khusyuk dalam solat)/bab 11,ms 39
 Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP