Wednesday, November 9, 2011

Fiqh Al-Awlawiyyat (Keutamaan)



Assalamualaikum wb.

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا
من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له
وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله
 اللهم صل على نبينا محمد وعلى اله وصحبه وسلم
وبعد

MAKSUD DAN KONSEP 

Fiqh bererti kefahaman, Al-awlawiyyat pula bereti keutamaan. Sebagai satu istilah lengkap Fiqh Al-awlawiyyat memberi erti satu kefahaman yang meletakan segala sesuatu pada peringkatnya dengan adil, dari segi hukum, nilai, dan pelaksanaannya. Pekerjaan yang mula-mula dikerjakan harus didahulukan, berdasarkan penilaian syari'ah yang shahih, yang diberi petunjuk oleh cahaya wahyu, dan diterangi oleh akal.

Secara prinsipnya, Fiqh Al-awlawiyyat bermaksud mengutamakan yang lebih utama dalam melaksanakan hukum dan nilai. Walaupun semua perbuatan itu baik dan secara umumnya digalakan, namun antara satu kebaikan dengan kebaikan yang lain ada perbezaan keutamaan dalam melakukannya, samada pd hakikatnya sendiri atau hubungannya dengannya dengan situasi berkenaan. Setiap perkara yang baik atau buruk mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan lurus, tidak lebih dan tidak kurang.Sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT:

‘Dan Allah SWT telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu."
 (ar-Rahman:7-9)

Perbandingan antara dua perkara bagi menunjukan keutamaan salah satu daripada keduanya disebut juga dalam firman Allah:

‘Apakah orang2 yang memberi minum kepada orang2 yang mengerjakan haji dan menguruskan masjidilharam, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad dijalan Allah? Mereka tidak sama disisi Allah. Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim. Orang2 yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka adalah lebih tinggi darjatnya disisi Allah. Mereka itulah orang2 yang memperoleh kebenaran’
(At-Taubah:19-20)

KEPERLUAN TERHADAP FIQH AL-AWLAWIYYAT

1.     Rapuhnya Nilai Keutamaan Penilaian Umat 

Hari ini kita mendapati bahawa asas penilaian dan keutamaan umat Islam yang mereka gunakan terhadap sikap dan tindakan mereka sudah rapuh, pincang dan tidak seimbang lagi, samada dalam bidang kerohanian mahupun kebendaan, pemikiran, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.

Kita akan dapati begitu banyak perbezaan yang sangat jauh dan ketara sekali, antaranya:

1.1   Perkara yang berkaitan masalah kesenian dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan.
1.2   Perkara yang berkaitan masalah badan (jasmani) lebih diutamakan daripada urusan yang berkaitan dengan akal fikiran (rohani dan kemantapan jiwa).
1.3   Peruntukan kewangan lebih diutamakan kepada kegiatan sukan, kesenian dan  kebudayaan berbanding bidang pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.

2.     Rapuhnya Nilai Keutamaan Penilaian Cendiakawan Muslim

Cara penilaian dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara bukan sahaja terjadi dikalangan masyarakat awam, namun juga dikalangan masyarakat muslimin yang terpelajar, berpendidikan tinggi dan taat melakukan ajaran agama kerana mereka tidak memiliki pengertian yang cukup dan belum memahami fiqh keutamaan secara benar.

Sesungguhnya ilmu pengetahuan yang cukup mengenai ajaran Islam sahajalah yang dapat menolong seseorang untuk membezakan antara perbuatan yang mesti diutamakan dan perbuatan yang seharusnya diletakan pada bilangan berikutnya. Antara perbuatan yang boleh diterima dan perbuatan yang dipandang salah mengikut perspektif syariat Islam,antara amalan yang berdasarkan kaedah sunnah Nabi S.A.W dan amalan-amalan bid’ah dan melanggar ketentuan syariat Islam.

Mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dan kefahaman Islam yang cukup telah mencampuradukan antara beberapa amalan dan perbuatan agama sehingga tidak nampak adanya pembatasan yang jelas ataupun mengunakan ukuran lain dalam menilai amalan tersebut. Bukan lagi dengan ketentuan yang digariskan oleh syariat Islam.Keadaan ini menyebabkan berlakunya penyelewengan dan berlebih-lebihan dalam suatu sisi dan kekurangan pada suatu sisi yang lain. Akibatnya agama menjadi permainan antara mereka yang tersikap terlampau keras dan sempit dengan mereka yang bersikap longgar dan bebas.

Dari perspektif Islam, keutamaan sesuatu perbuatan itu berubah mengikut keadaan dan suasana yang melingkupi perbuatan tersebut. Tetapi apa yang berlaku kepada kaum muslimin hari ini,mereka sanggup untuk memberikan derma sebanyak beribu-ribu ringgit untuk pembinaan masjid atau menunaikan haji beberapa kali tetapi enggan unutk menyumbang kepada gerak kerja dakwah bagi menyekat usaha pemurtadan dan penyebaran agama lain atau enggan menyumbang gerak kerja dalam meneggakan agama Allah.

Ada juga dikalanga belia dan pemuda Islam yang meninggalkan bidang perubatan, kejuruteraan, sastera ataupun bidang falsafah dan sains, sanggup meninggalkan bidang-bidang tersebut semata-mata untuk terjun dalam bidang dakwah. Sedangkan bidaang yang diceburi merupakan bidang yang sangat penting dan termasuk dalam kategori fardhu kifayah.
Oleh itu dengan adanya kefahaman yang betul, pengertian yang jelas dan keimanan yang ikhlas, pasti seseorang itu akan kenal erti fiqh keutamaan yang sebenar.

PERKARA-PERKARA YANG DILALAIKAN OLEH UMAT ISLAM

1.     Melalaikan tugas-tugas yang termasuk dalam fardhu kifayah khususnya:

1.1   Berhubungkait dengan kepentingan ummah pada keseluruhannya seperti mencapai kemajuan dalam bidang sains, teknologi, industri dan ketenteraan.
1.2   Berijtihad di dalam bidang fiqhah dan menggali ketentuan hukum-hukum baru bagi masalah kotemporari.
1.3   Melakukan kerja-kerja dakwah dan penyebaran Islam diseluruh dunia.
1.4   Mendirikan sistem kerajaan Islamyang berdasarkan prinsip syura melalui bai’ah dan pilihanraya yang bebas yang adil.
1.5   Meluruskan dan menegur penguasa yang zalim dan keluar dari garis-garis syariat Islam. 

2.     Melalaikan tugas yang termasuk di dalam kategori fardh ain seperti amar maaruf nahi mungkar.

3.     kaum muslimin lebih mengutamakan sesuatu rukun Islam daripada rukun yang lain. Contohnya lebih mengutamakan puasa daripada solat sedangkan kedua-duanya adalah wajib.

4.     Kaum muslimin lebih memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang sunnah daripada perkara-perkara fardhu dan wajib. Contohnya lebih memberi tumpuan membaca tasbih, zikir dan tahlil daripada perkara yang lebih utama dan penting seperti berbakti kepada kedua ibubapa, menghubungkan silaturrahim, memelihara anak yatim dan lain-lain lagi.

5.     Lebih  mengutamakan ibadah yang bersifat individual dan perseorangan daripada ibadah yang bersifat sosial dan jama’ah yang manfaatnya kembali kepada orang ramai seperti jihad dan memperdalamkan ilmu fiqh.

6.     lebih mengutamakan kerja-kerja yang termasuk dalam kategori cabang dan ranting, bukan perkara asas dan pokok.

7.     Tidak mengambil berat untuk memerangi perkara yang jelas haram atu memerintahkan melakukan perkara-perkara fardhu dan kewajipan, sebaliknya sibuk memerangi perkara-perkara makruh hukumnya. 

PEMBAHAGIAN  KEUTAMAAN

1.     Keutamaan Pada Peringkat Individu

1.1   Mengukuhkan aqidah dan keimanan terhadap Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Rasul dan Qada’ dan Qadar.
1.2   Menumpukan kepada perkara-perkara rukundan fardhu.
1.3   Menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar dan syirik, membunuh jiwa yang diharamkan, riba’, makan harta anak yatim, menuduh perempuan baik melakukan kejahatan, saksi palsu dan menderhaka kepada ibubapa.
1.4   Menjauhi dari melakukan dosa-dosa kecil dan maksiat.


2.     Keutamaan Dalam Pembentukan Keluarga

2.1   Mendirikan keluarga di atas asas yang baik iaitu bermula daripada pemilihan jodoh yang baik (beragama).
2.2   Melaksanakan hukum-hukum Allah dan bergaul dengan baik.
2.3   Menjauhkan daripada kepercayaan kuno/lama yang diwarisi dan ideologi yang melanggar hukum-hukum Allah.

3.     Keutamaan Dalam Peringkat Daulah

3.1   Susunan atau turutan keutamaan pada peringkat ini bergantung pada masa dan tempat. Contohnya pada zaman pemerintahan Harun Al Rasyid, perkara yang menjadi keutamaan ialah pembebasan Masjidil Aqsa dan Palestin.Namun begitu, firman Allah dalam surah Al Hajj:41 menunjukan hak-hak Allah dan makna ketuhanan dan memeliharanya, menunaikan zakat melaksanakan takaful ijtima’i tanpa melupakan peringkat yang lemah.
3.2    Melaksanakan amar ma’aruf, nahi mungkar.
3.3   Berusaha menambah dan mengembangkan pengeluaran dan pembahagian harta kekayaan negara yang adil.
3.4   Berusaha merawat penyakit-penyakit yang melanda untuk melahirkan masyarakat yang kuat dan sihat.

KESIMPULAN

Kegagalan umat Islam memahami Fiqh Al Awlawiyyat mengakibatkan tindakan menjadi tidak teratur dan tersusun rapi sehinnga memperlammbatkan ummah untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan. Oleh itu, ummat Islam mestilah bijak menyusun perancangan krja secara efektif selari dengan tuntutan Fiqh Al Awlawiyyat dan prioriti kerja selari dengan pedoman dan panduan yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W.

Sumber: 
1.Pustaka Galeri Tarbiyah
2.Buku Fiqhul Awlawiyyat Karangan Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP