Sunday, November 13, 2011

Bagi insentif, bukan tambah beban guru


KUALA LUMPUR, 14 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah projek rintis bekerja sembilan jam yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran kerana ia tidak wajar serta tidak munasabah untuk dilaksanakan terhadap para guru.
“Dalam hal ini, DPPM bersetuju dengan gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar kerajaan membatalkan projek perintis guru kerana kajian itu adalah satu tindakan membazir,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor(gambar).
Katanya, DPPM menegaskan, para guru bukanlah tikus makmal yang boleh dijadikan bahan uji kaji terhadap keberkesanan sesuatu teori sebaliknya melihat para guru adalah mereka yang sentiasa bereksperimen dengan kehidupan realiti dan bergelumang dengan dunia pendidikan.
Bahkan, ujarnya banyak perkara berlaku dalam alam perguruan di luar daripada silibus pembelajaran mereka, justeru mengapa mereka perlu dibebankan dengan kajian perintis seperti itu.
Sehubungan, tambah beliau DPPM mengajak kerajaan memerhati suasana pengajaran dan pembelajaran para guru terutamanya di sekolah luar bandar.
Beliau berkata, banyak perkara yang memerlukan inisiatif sendiri para guru, termasuk mengeluarkan duit kocek mereka bagi memastikan sistem pengajaran mereka di sekolah berkesan serta bagi memastikan para pelajar mendapat pengajaran yang terbaik.
Selain itu, ujarnya para guru juga terpaksa mengikut jadual waktu para murid seperti hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, pelbagai aktiviti riadah dan diluar darjah, lawatan sambil belajar disamping kursus-kursus wajib yang mereka sendiri terpaksa hadiri.
“Dalam keadaan para guru sudah sedia terbeban dengan pelbagai tugasan yang diluar tanggungjawab utama mereka, apakah kerajaan mahu menambah lagi beban untuk mereka pikul?” ujarnya kepada Harakahdaily.
Soalnya lagi, bagaimana pula kerajaan boleh melahirkan murid yang cemerlang jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain.
“Tindakan Kementerian Pelajaran ini menunjukkan kerajaan sememangnya tidak peka terhadap permasalahan yang dihadapai oleh para pendidik,” ujarnya.
Bagi DPPM, katanya guru adalah ibarat doktor yang merawat para pesakit.
Katanya, kejahilan murid adalah penyakit yang perlu diubati, dan gurulah penawarnya.
Menurutnya, karier perguruan juga amat penting dan mulia kerana gurulah yang mencorakkan muridnya dengan pelbagai kejayaan daripada tokoh korporat, profesional, tokoh akademik sehinggalah pemimpin hebat negara.
Justeru, ujarnya jasa dan pengorbanan mereka perlu dikenang dengan memudahkan segala urusan mereka, bukan menambah bebanan mereka.
DPPM, katanya mengesyorkan agar kerajaan menilai kembali keputusan kajian itu dengan mengusahakan insentif kepada para guru sepertimana janji Pakatan Rakyat untuk memberi elaun tambahan sebanyak RM500 sebulan.
“Tindakan ini lebih realistik bagi memastikan guru mampu mengajar dengan penuh cemerlang serta mampu melahirkan generasi pelajar yang terus cemerlang dalam akademik,” katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP