Friday, May 27, 2011

WABAK SEPANJANG JALAN - 'KESAN AL FUTUR'

Al Futur memiliki kesan yang begitu parah dan merbahaya. Kesan ini akan dirasai sama ada amilin ataupun gerakan Islam itu sendiri. Ini kerana penyakit futur merupakan pembunuh sahsiah Muslim. Kita telah mengetahu bahawa, futur boleh diterjemahkan sebagai putus selepas bersambung, pasif selepas bergerak. Ia juga boleh memberi erti malas atau lambat selepas rajin dan bersungguh-sungguh. Namun dalam konteks yang lebih luas dan dalam, penyakit futur berupaya merencat saraf rangsangan dalaman yang sekaligus memusnah jentera jemaah.

Tersebarnya penyakit futur itu adalah berpunca dari hati kerana keterbatasan iman atau kurangnya kefahaman ilmu dalam soal qada dan qadar, ujian dan anugerah, dan persoalan yang menimpa hati ini mampu menarik seseorang menjunam ke lembah futur (na'uzubiLlahi-min-zalik).

KESAN AL FUTUR KE ATAS PARA AMILIN

Kurang perhatian dan tumpuan mereka untuk melakukan ketaatan kepada Allah (ini adalah kesan yang minima) Kemungkinan sikap al Futur ini akan terus kekal sehinggalah ke akhir hayatnya. Maka orang ini akan berjumpa Allah dalam keadaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak patuh kepada Allah. Maka dengan sebab itulah kita dapati di antara doa Nabi S.A.W memohon supaya dilindungi dari sifat tadi.

"Wahai Tuhanku sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari rungsing dan sedih dan aku berlindung dengan Mu dari lemah dan malas dan aku berlindung denganMu dari pengecut dan bakhil dan aku berlindung dengaMu dari bebanan hutang dan tekanan manusia". (Al Ma'thurat)

Doa Nabi juga ada menyebut : "Wahai Tuhanku jadikanlah sebaik-baik hidupku di peng-hujung hayatku. Wahai Tuhanku jadikanlah segala amalku yang akhir di dalam keredhaanMu. Wahai Tuhanku jadikanlah sebaik sebaik hari untukku ialah hari aku berjumpa Engkau".

"Ya Allah jadikanlah sebaik-sebaik umurku di penghujungnya dan jadikanlah sebaik-baik amalanku dipenghujungnya dan jadikanlah sebaik-baik hariku, hari bertemu dengan Engkau Ya Allah".

Di antara berita gembira yang disampaikan oleh Nabi S.A.W kepada umatnya ialah, maksudnya "Apabila Allah inginkan kebaikan ke atas seseorang hambaNya, Allah akan memberi tugas kepadanya. Sahabat bertanya bagaimana Allah menugaskannya. Baginda menjawab: Allah memberi taufik kepadanya untuk melakukan amalan yang baik (soleh) selepas itu Allah mengambil nyawanya".

Di antara pesanan Nabi S.A.W lagi kepada umatnya ialah : "Sesungguhnya terdapat seorang hamba yang melakukan amalan ahli neraka pada hal ianya adalah ahli syurga. Dan terdapat seorang yang melakukan amalan ahli syurga pada hal ianya adalah ahli neraka. Sesungguhnya segala amalan itu dinilai pada penghujungnya".

Janganlah kamu terpesona dengan amalan seseorang itu sehinggalah kamu lihat bagaimana amalannya itu disudahinya.

Di antara kehampaan yang pernah dirintih oleh tokoh sahabat yang agung Abdullah Ibnu Mas’ud semasa beliau hampir menghembuskan nafasnya yang akhir dalam keadaan

teresak-esak ia berkata,"Aku menangis kerana aku ditimpa sakit, di masa aku berada dalam keadaan lemah (Al Futur) dan ia (penyakit ini) tidak menimpa aku dan hal berlaku semasa aku aktif di dalam perjuangan".

Apa yang dimaksudkan oleh Abdullah ibnu Mas’ud itu ialah : penyakit yang membawanya kepada maut berlaku semasa ia begitu dhaif di mana keadaan kesihatannya itu tidak mengizinkannya untuk membanyakan ibadat dan berjihad dijalan Allah.

KESAN KE ATAS GERAKAN ISLAM

Di antara kesan yang akan berlaku ke atas gerakan Islam ialah gerakan Islam terpaksa merempuh jalan yang panjang dalam perjuangannya, juga bebanan yang berat dan pengorbanan yang banyak. Ini merupakan sunnatullah kerana Allah tidak akan memberi kemenangan dan kekuasaan kepada orang yang malas, lalai, dan tidak konsisten dalam perjuangan. Sesungguhnya kemenangan hanya diberi kepada amilin yang begitu baik dalam gerak kerja yang sistematik dan berjuang berterusan, serta cemerlang dalam pekerjaannya juga begitu hebat di dalam perjuangan.

Allah Taala berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalannya dengan baik". [Al Kahfi:30]

Allah Taala berfirman lagi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan". [An Nahl:128]

Firman Allah Taala lagi maksudnya, "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) kami. Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik". [Al Ankabut:69]

MENGUBATI AL FUTUR

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa Al Futur boleh meninggalkan kesan negatif dan membahayakan. Maka sewajarnyalah dihindari dan dilakukan pembersihan darinya. Untuk itu para amilin hendaklah menjaga dan membersihkan diri mereka dari penyakit tadi dengan melakukan perkara-perkara berikut :

1) Menjauhkan diri dari melakukan maksiat sama ada yang besar mahupun yang kecil. Maksiat sebenarnya merupakan api yang membakar hati dan mewajibkan kemurkaan Allah. Sesiapa sahaja yang Allah murkai. maka ia berada di dalam kerugian. Firman Allah bermaksud, "Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaanKu maka sesungguhnya binasalah dia" [Toha:81]

2) Berterusan melakukan ibadat harian sama ada berzikir, berdoa, ber-istighfar, membaca Al Quran, melakukan solat-solat nawafil, qiamulalail dan bermunajat, terutama sekali ianya dilakukan di akhir malam. Kesemua bentuk pengabdian ini akan mencetuskan keimanan yang kukuh, menggerak dan mencergaskan jiwa, meninggikan himmah dan memperkasakan keimanan. Sabda Rasulullah bermaksud, "Sesiapa yang sepatutnya membaca wirid di waktu malam, kemudian ia tidak melakukanya kerana tertidur, tetapi ia membacanya semula di antara waktu solat subuh dan solat zohor maka ia diberi ganjaran seperti mana ganjaran yang di perolehi kerana membaca wirid di waktu malam".

3) Mengintai waktu-waktu yang afdhal untuk beramal dan melakukan ibadat. Perlakuan amal soleh demikian akan mencergaskan jiwa dan menguatkan keazaman. Nabi Muhamad S.A.W bersabda, "Maka hendaklah kamu perbetulkan, hampirkan dan gembirakan (dengan Allah) dan hendaklah kamu memohon pertolongan (dari Allah) pagi danpetang dan sedikit masa di waktu malam".

4) Membebaskan diri dari begitu keterlaluan di dalam agama. Dengan cara yang demikian ia dapat menyegarkan dan membantu untuk terus konsisten dalam amalan. Dari Saidatina Aishah, Nabi S.A.W bersabda, "Bahawa Nabi mempunyai sehelai tikar, tikar itu di jadikan penghadang (sekatan) di waktu malam untuk Baginda bersolat di dalamnya. Maka orang ramai mula solat mengikut Rasulullah. Pada siang hari Baginda menghampar tikar tadi. Pada suatu malam, orang ramai berkumpul untuk solat dengan Baginda, lalu Baginda bersabda: Wahai manusia kamu semua hendaklah melakukan amalan apa yang termampu oleh kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu tetapi kamu yang jemu, dan sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah apa yang kamu lakukan secara konsisten, walaupun ianya sedikit".

Ahli keluarga Muhammad S.A.W apabila melakukan sesuatu amalan mereka melakukannya secara berterusan.

Tidak salah untuk dinyatakan di sini bahawa membebaskan diri daripada keterlaluan dalam agama bukan bererti kita meninggalkan dan mengabaikannya. Bahkan apa yang kita maksudkan ialah konsisten melakukan ibadat sekalipun sedikit. Juga memastikan sunnah Baginda Nabi diikuti.

Abdullah bin Amru bin al As menceritakan Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai Abdullah kamu jangan jadi macam orang itu, sebelum ini dia mengerjakan sembahyang malam dan selepas itu dia meninggalkan sembahyang malam".

Rasulullah S.A.W bersabda lagi, "Apabila aku melarang kamu dari sesuatu maka hendaklah kamu menjauhinya dan apabila aku menyuruh kamu dalam melakukan sesuatu maka hendaklah kamu lakukannya mengikut kemampuan kamu".

5) Meletakan diri dalam dakapan jamaah dan tidak memencilkan diri dari jamaah atau melakukan sesuatu yang ganjil dalam apa bentuk sekalipun. Cukuplah kita melihat hadith-hadith Rasulullah S.A.W dalam mengukuhkan dasar ini.

"Jamaah adalah rahmat, berpecah adalah azab".

"...Dan tangan (pertolongan) Allah bersama-sama jamaah".

Juga seperti yang dikatakan oleh Ali Abi Talib, "Kekeruhan yang ada di dalam jamaah lebih baik daripada kejernihan yang ada pada individu".

6) Memberi perhatian kepada sunnatullah yang wujud pada manusia dan alam seluruhnya. Ini termasuklah melakukan kerja secara bertahap mengikut apa yang pernah disebutkan oleh Ummu al Mukminin Aishah di mana ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya peringkat awal diturunkan Al Quran ialah surah-surah yang diperincikan di mana ia disebut di dalamnya tentang syurga dan neraka. Sehinggalah manusia menerima Islam barulah diturunkan hukum halal dan haram (di dalam al Quran), jika pada awal penurunan perintah mengenai larangan meminum arak nescaya mereka berkata, “Kami tidak akan meninggalkan arak sama sekali” dan jika ayat tersebut (yang diturunkan berbunyi) jangan kamu berzina sudah pasti mereka berkata, "Kami sekali-kali tidak akan meninggalkan tidak meninggalkan zina".

Umar Abdul Aziz, khalifah yang kelima telah berhasrat mengembalikan penghidupan di zamannya kepada apa yang pernah dilakukan oleh empat khalifah sebelumnya. Tetapi selepas ia berkuasa dan memegang teraju pemerintahan hasratnya tidak dapat direalisasikan. Di waktu itu, Umar mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Abdul Malik.

Sebagai seorang anak muda yang bersemangat dan tegas, aktif dan bertaqwa telah melahirkan rasa yang kurang senang tentang sikap tidak pro-aktif bapanya untuk bertindak dalam membersihkan saki-baki kezaliman yang ada, dengan harapan supaya penghidupan di zaman itu dapat dikembalikan seperti mana berlaku di zaman awal Khulafa’ al Rasyidin.

Suatu hari ia berkata kepada bapanya, "Kenapakah bapa masih tidak melaksanakan perkara-perkara di atas. Demi Allah aku tidak peduli walaupun kita berdua direbus hidup-hidup demi menegakkan kebenaran".

Maka bapa (Umar) yang begitu memahami tentang keadaan menjawab, "Wahai anakku, janganlah kamu gopoh kerana Allah Taala telah mencela tentang arak dalam Al Quran sebanyak dua kali dan arak hanya diharamkan pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang sekiranya aku melaksanakan kebenaran ke atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus, maka tindakan yang demikian itu akan menimbulkan fitnah".

7) Bersedia untuk berhadapan dengan halangan dari mula hari bekerja sebagai aktivis gerakan. Cara yang demikian menjadikannya sentiasa bersiap dan bersedia untuk menghadapi halangan tadi di samping itu ia akan mengambil langkah perlu untuk mengatasinya. Cara yang demikian tidak akan wujud sebarang ruang untuk al Futur dan terhenti dalam perjuangan.

8) Meneliti dan bertindak secara sistematik dalam perkerjaan yang bererti agar ia sentiasa mengambil kira keutamaan dalam melakukan sesuatu. Termasuklah mendahulukan yang lebih penting dan mengelakkan diri dari perselisihan sampingan atau masalah cabang yang tidak begitu penting.

9) Sentiasa mendampingi orang-orang soleh yang berjihad di kalangan hamba Allah kerana golongan tadi, memiliki jiwa yang bersih, hati yang bercahaya. Jiwa yang bersinar yang tidak mungkin pudar dan malap, bahkan mereka sentiasa menggerakan keazaman dan himmah yang tinggi juga hasrat yang kental. Dalam hubungan ini Nabi S.A.W telah menarik perhatian kita dengan sebuah hadith, "Mahukah kamu aku menceritakan tentang sebaik-baik manusia? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Mereka ialah apabila kamu melihatnya akan menjadikan kamu mengingati Allah".

10) Memberi hak kepada badan sama ada kerehatan, makan minum dalam bentuk yang sederhana. Cara yang demikian akan dapat memberi kecergasan dan dapat mengembalikan kekuatan. Nabi S.A.W telah memberi pertunjuk kepada amilin dalam perkara ini di mana mengikut satu riwayat yang bermaksud : "Suatu hari Nabi S.A.W telah masuk ke dalam masjid. Baginda mendapati seutas tali yang merentang di antara dua tiang maka baginda bertanya tali apa ini? Mereka menjawab tali ini kepunyaan Zainab. Apabila ia penat dia bergantung dengan tali itu. Lantas Nabi S.A.W berkata rungkaikannya, hendaklah seseorang dari kamu mendirikan sembahyang dalam keadaan cergas. Apabila ia penat hendaklah dia baring".

Nabi S.A.W juga bersabda yang bermaksud, "Apabila salah seorang dari kamu mengantuk semasa mendirikan sembahyang, hendaklah dia berbaring sehingga hilang mengantuknya. Maka sesungguhnya salah seorang dari kamu apabila mendirikan sembahyang dalam keadaan mengantuk dia tidak tahu kemungkinan dia ingin beristighfar sebaliknya dia memaki dirinya".

11) Menghiburkan diri dengan melakukan perlakuan yang harus termasuklah bermesra dengan keluarga atau bermain dengan anak-anak, melakukan perkelahan seperti ke sungai untuk berdayung atau bersukan di bawah sinaran bulan, juga memberi masa untuk merenung dan memikir atau mendaki gunung, merentasi padang pasir (atau merentasi hutan) juga membiasakan diri menghadapi kepayahan hidup juga kepenatan berladang dan lain-lain seumpamanya.

Kesemua tindakan ini akan dapat menolong menghapuskan rasa jemu juga dapat mengatasi Al Futur dan malas. Apabila seseorang Islam membiasakan dirinya dengan melakukan aktiviti ini ia akan merasai seolah-olah dilahirkan semula atau menjadi manusia yang lain.

Dari Abi Hanzalah bin al Ribi' al Usaidi al Katib, salah seorang jurutulis Nabi S.A.W berkata : Aku berjumpa Abu Bakar r.a. Abu Bakar bertanya,"Bagaimana keadaan engkau wahai Hanzalah? Aku menjawab,”Hanzalah telah menjadi orang munafik”. Abu Bakar berkata,”Subhanallah apa yang engkau kata ini”. Aku menjawab,”Semasa kita berada di sisi Nabi S.A.W, Baginda telah memperingatkan kita tentang syurga dan neraka sehingga seolah-olah kita melihatnya dengan mata tetapi apabila kita meninggalkan Baginda S.A.W kita telah sibuk dengan isteri, anak-anak dan harta benda sehinggakan banyak yang kita lupakan”. Abu Bakar berkata,”Demi Allah kami pun menghadapi keadaan yang sama”. Maka aku dan Abu Bakar telah pergi ke rumah Rasulullah S.A.W. Bila berhadapan dengan Nabi lantas aku berkata,”Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafik”. Nabi berkata,”Apa halnya ini? Aku menjawab,”Wahai Rasulullah semasa kami berada di sisimu, Nabi telah mengingatkan kami tentang neraka dan syurga seolah-olah kami dapat melihatnya dengan mata, tetapi apabila kami keluar dari rumah tuan kami sibuk dengan anak isteri dan harta benda dan kami telah bagitu banyak melupainya".

Lantas Baginda S.A.W terus bersabda yang bermaksud, "Dan demi diriku yang berada di tanganNYA (Allah) seandainya kamu terus kekal seperti mana kamu berada di sampingku dan terus berzikir nescaya Para Malaikat akan bersamamu. sama ada kamu berada di alas tempat tidur ataupun di jalan, tetapi wahai Hanzalah lakukanlah dari masa ke semasa" (diulangi 3 kali)

12) Sentiasa merujuk dan mengkaji buku-buku sirah, sejarah dan biografi (manaqib) di mana buku-buku tadi mengandungi banyak kisah tentang amilin, mujahidin juga tokoh-tokoh yang berjiwa besar, mempunyai hasrat yang benar yang kesemuanya ini akan mengembirakan dan menyeronokkan diri apabila membacanya. Ia juga akan mencetuskan rasa ingin mengikut jejak langkah mereka.

Sebagai contoh apabila seseorang Muslim membaca kisah Umar Abdul Aziz, di mana apabila beliau merasa penat untuk beribadat diantara waktu sembahyang subuh dan terbitnya matahari dia terus berlegar di dalam rumahnya sambil merangsang dirinya dengan berkata, "Bagaimana mata boleh lelap sedangkan ia adalah cahaya dan tidak tahu di mana antara dua tempat dia akan bersemadi (syurga atau neraka)".

Bila seseorang Muslim membaca kisah ini seluruh perasaannya akan bergerak, maka dia akan mula cergas dan melawan dirinya dengan harapan untuk tergolong dalam kumpulan amilin mujahidin.

13) Sentiasa mengingati mati dan soal kubur termasuklah kegelapan dan kengerian kubur juga keadaan hari kebangkitan mahsyar. Semuanya ini boleh menyedarkan diri dari tidur, menghalang diri daripada baring dan mengingati dari kelalaian. Kesedaran ini akan mengaktifkan semula dan juga mengorak langkah dalam perjuangan. Sebaik-baik perantaraan untuk mengingati mati ialah sentiasa menziarah kubur, walaupun seminggu sekali. Dengan menziarahi kubur kita akan mendapati pengajaran tentang keadaan mereka yang bersemadi di dalamnya.

Nabi S.A.W bersabda maksudnya,"Aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur kerana menziarahi kubur terdapat padanya pengajaran".

Mengikut cerita tentang Ibnu as Sammak al Wa'idz seorang pendakwah, bahawasanya ia telah mengali lubang dalam rumahnya seolah-olah seperti lubang kubur, setiap kali dia merasa al Futur atau malas, ia turun berbaring dalam lubang tadi seolah-olah dia telah mati, selepas itu dia mula membayangkan yang dia telah disoal (soal kubur) dan dia juga membayangkan amalannya tidak mencukupi lalu ia meminta tolong dan menjerit dan memohon kembalikan ke dunia lalu ia berkata,"Ya Tuhan kembalikanlah aku ke dunia untuk melakukan amal soleh yang pernah aku tinggal".

Selepas lama menjerit dan meminta tolong, ia menjawab sendiri pada dirinya,"Wahai Ibnu as Sammak sekarang kamu diberi satu peluang sekali lagi".

Lalu dia bangun dari kuburnya dalam keadaan seolah-olah dia terlepas dari satu belenggu atau ikatan dirinya.

14) Sentiasa mengingati syurga dan neraka dan apa yang terdapat pada kedua-duanya dari nikmat dan azab. Mengingati kedua-duanya (syurga dan neraka) akan menghilangkan mengantuk dari kelopak mata dan mengerakkan himmah yang kaku dan keazaman yang lesu. Mengikut cerita Harram bin Hayan, bahawa dia pernah keluar pada suatu malam dengan melaung dengan suara yang begitu tinggi, "Aku hairan tentang Syurga, bagaimana orang yang inginkannya boleh tidur dan aku hairan dengan Neraka bagaimana orang yang takutkannya boleh tidur".

15) Sentiasa menghadiri majlis ilmu kerana ilmu dapat menghidupkan hati dan kemungkinan seseorang amil itu apabila mendengar satu perkataan dari seseorang alim yang ikhlas dan benar, maka kalimah tadi akan menggerakkan dia untuk tempoh setahun, atau pun sepanjang usianya.

16) Menerima Islam secara keseluruhan tanpa mengabaikan sedikit pun. Kesemua cara yang sedemikian akan menjamin kelangsungan amalan yang berterusan hingga ke akhir hayat dan sehingga berjumpa Allah.

17) Melakukan muhasabah ke atas diri dan mengkaji setiap masa dengan cara mengenal pasti kelemahan diri sejak dari awal lagi yang membolehkan kita mudah untuk mengubatinya.

- Afat Ala Toriq


sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP