Friday, May 27, 2011

MATLAMAT KEPIMPINAN DALAM HARAKAH ISLAMIYAH


Persoalan kepimpinan (Al Qiadah) dalam sesuatu organisasi, apalagi sebuah Harakah Islamiyyah atau Jamaah Islamiyah adalah merupakan suatu soal yang amat penting. Apalagi mengingatkan sabda Rasulullah SaLlaLlahu 'alaihi Wasallam yang memberi amaran yang bermaksud,”Apabila diserahkan sesuatu urusan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancurannya”. Oleh itu soal kepimpinan dalam harakah (gerakan) bukanlah soal mudah. la tidak kurang pentingnya di mana soal-soal ini menemukan kita kepada Manhaj, Tarbiyah, dan Syura.

Kepimpinan dalam Harakah Islamiyah bukanlah perkara yang boleh diambil mudah, semudah kepimpinan dalam pertubuhan-pertubuhan lain kerana kepimpinan Harakah Islamiyah mewarisi kepimpinan gerakan yang dibawa oleh RasuluLlah SalaLlahualaihi Wasallam.

Maka penilaian kepimpinan Harakah Islamiyah bukanlah didasarkan; semata-mata kepada faktor lahiriah seperti ijazah, pengalaman berorganisasi, kepetahan bercakap tetapi YANG PALING UTAMA ialah soal ketaqwaan, keilmuan terhadap persoalan feqh (yang dimaksudkan di sini mempunyai pengetahuan agama tetapi bukanlah bermaksud ia mesti faqeh) dan syarat-syarat kepimpinan lain yang persetujui serta disepakati oleh para ulama Islam. Hal ini pernah digariskan ole ulama-ulama tersohor seperti Imam Al Mawardi, Ibn Taimiyyah dan lain-lain lagi.

Jadi, konsep kepimpinan dalam Harakah Islamiyah, bukanlah hanya penting kepada barisan pimpinan, malah setiap anggota harakah perlu turut memahami ruang lingkup tanggungjawab kepimpinan, thiqah (kepercayaan) yang mesti diberikan di samping ketaatan yang mesti dicurahkan. Sebagai. timbal balik para pimpinan pula hendaklah memberi hak bermusyawarah (syura) kepada ahli harakah dan para pengikutnya.

Inilah antara perkara yang menjamin kekuatan sesebuah Harakah Islamiyyah di mana pimpinan akan dapat selalu menilai sejauh mana amanah kepimpinan yang dipikul oleh mereka mencapai kejayaan dan mampu dilaksanakan, di samping anggota harakah pula boleh berperanan memberikan muhasabah yang berkesan kepada pimpinan, jika terdapat kelemahan atau penyelewengan dalam fikrah, sikap, tindakan atau sebagainya di kalangan pimpinan.

Kewibawaan pimpinan (Qiadah) Harakah Islamiyah pada hakikatnya adalah bergantung pada sejauh manakah mereka mampu memenuhi tanggungjawab perjuangan untuk mencapai matlamat harakah. Perlaksanaan amanah yang diberikan semestinya digerakkan atas dasar IMAN dan AMAL SOLEH. Kekuatan iman akan melahirkan tindakan yang bersih dan sihat.

Pimpinan yang hilang kewibawaan, tidak akan mampu menjalankan kawalan yang berkesan, nasihatnya tidak akan dipatuhi, keputusannya tidak akan dihormati, pandangannya akan dianggapi dengan pelbagai prasangka, kebijaksanaan dan keikhlasannya diragui malah mungkin pula sampai tahap kepimpinan dicabar secara terbuka.

Kewujudan ciri-ciri pimpinan yang unggul adalah suatu kemestian jika sesebuah organisasi itu mahu stabil dan kukuh. la harus pula dapat meyakinkan anggota-anggotanya bahawa ia tidak mem-punyai apa-apa kepentingan, ia tidak meminta kuasa dan tidak berniat pula untuk terus berkuasa. Ia hanya memegang kuasa selama ia dikehendaki kuasa adalah amanah. la bukan anugerah yang diterima sebagai hadiah. Amanah adalah beban bukannya habuan.

Ketahuilah wahai ahli gerakan, kepimpinan dalam Islam merupakan ALAT bukannya tujuan. Ia adalah alat yang di-aktifkan untuk menyampaikan tujuan yang hendak dicapai oleh pemerintahan Islam itu sendiri (rujuk Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah. Hal:247) iaitu mewarisi kepimpinan Rasulullah SalaLlahualaihi Wasalam untuk menegakkan Agama Islam dan mengatur urusan keduniaan berdasarkan pengertian : “…menegakkan Agama Allah (Islam) dan mentadbir dunia dengan agama”.

Nyatalah bahawa tujuan yang ingin dicapai oleh pemerintah Harakah Islamiyah itu ialah ;
1) Memelihara agama.
2) Mengatur urusan dunia.

Oleh kerana perlaksanaan perkara-perkara yang dituntut ini dengan cara yang lebih sempurna dan menyeluruh bergantung kepada wujudya Daulah Islamiyyah (Negara Islam) yang dikuasai oleh manusia Mukmin yang ikhlas, yang bekerja untuk Islam dan untuk Islam maka menegakkan sebuah pemerintahan Islam wajiblah menjadi matlamat utama pimpinan Harakah lslamiyah.

Sekiranya tujuan ini lari dalam sesuatu pertubuhan itu, maka tidak perlulah kita mengaku berada dalam satu gerakan yang dinamakan Harakah Islamiyah. Berdirinya Harakah Islamiyah adalah untuk meleburkan kekuasaan golongan thaghut, bukan untuk mendabik ketuanan ras atau bangsa, tidak puas hati dengan gerakan Islam yang sedia ada atau yang seumpamanya. Manakala matlamat yang mustahak dibangunkan oleh Harakah Islamiyah ini ialah menjulang suatu sistem di mana kekuasaan diamanahkan kepada golongan muttaqin (orang-orang yang bertaqwa).

Ketahuilah wahai ahli gerakan, berjuang ke arah pencapaian matlamat ini adalah tuntutan Allah Taala dalam rangka usaha mendapatkan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.

Islam telah menetapkan bahawa tujuan dan tugas utama pimpinan adalah melaksanakan ketaatan kepada ALLAH dan RASUL-NYA, serta melaksanakan perintah-perintah-Nya. Perkara ini ditegaskan oleh Allah sebagaimana maksud firman-Nya,”Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah pula kepada RASUL dan Pimpinan dan kalanganmu, maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada ALLAH dan RASUL jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah cara yang paling baik dan sebaik-baik jalan”.

Dan firmannya lagi, maksudnya,”Maka apabila kamu memberikan kepercayaan kepada sebahagian yang lain, maka hendaklah orang yang diserah amanah itu menunaikan amanahnya. Dan takutlah kepada ALLAH sebagai Tuhannya”.

Menunaikan amanah dalam konteks kepimpinan seperti yang djnyatakan dalam ayat 58 dan 59 surah An Nisa' di atas merupakan asas kepada seluruh sistem agama, kebudayaan dan politik Islam dan merupakan kaedah pertama dalam dustur Daulah Islamiyyah. Ini kerana penunaian amanah membuktikan empat perkara utama dalam kehidupan kaum Muslimin :
1]. Allah sebagai kemuncak suaka yang wajib ditaati melebihi makhluk-makhluk yang lain.
2]. Kesetiaan dan ketaatan kepada RasuluLlah SalaLlahualaihi Wasallam sebagai jalan melaksanakan kataatan kepada ALLAH.
3]. Ketaatan dan kesetiaan kaum Muslimin kepada Ulil Amri, yakni mereka yang telah diberikan kekuasaan untuk memimpin masyarakat.
4]. Penerimaan bahawa Al Quran dan As Sunnah sebagai perundangan utama masyarakat Islam. Oleh kerana itu segala perselisihan perlulah mendapat penyelesaian dengan merujuk kepada Al Quran dan Sunnah. Manakala cara mendapat bimbingan Al Quran dan Sunnah ini mestilah dengan cara mendapat nasihat oleh para alim ulama.

Di sini dapatlah dibuat kesimpulan secara umumnya, tujuan kepimpinan dalam Harakah Islamiyah ialah menggerakkan Jamaah ke arah memenuhi ruang lingkup perjuangan para Anbiya'. Maka jika kita melihat secara keseluruhannya, sifat perjuangan Para Anbiya' ialah ke arah mencapai tujuan-tujuan berikut :
1]. Mencetuskan revolusi pemikiran dan pandangan hidup manusia kepada tuntutan Islam agar Islam itu menjiwai pemikiran, tujuan serta matlamat hidup, akhlak dan peradaban manusia.
2]. Pembentukan Jama'ah yang terdiri daripada manusia-manusia Muslim dan Mukmin dengan tujuan menegakkan kekuasaan Islam dengan menggunakan kekuatan secara halal.
3]. Menegakkan negara Islam, mengaturkan urusan-urusan dunia atas dasar Islam, memperluaskan pengaruh Islam ke seluruh dunia serta menyediakan pentarbiyahan moral dan intelek melalui contoh dan tauladan kepada manusia yang menerima Islam.

Suatu perjuangan yang diberi nama 'perjuangan Islam' hanya dapat diakui bilamana perjuangan itu digerakkan oleh IMAN dan AMAL SOLEH oleh para pemimpinnya. Pimpinan yang digerakkan oleh kepentingan diri, warna kulit, kedudukan, kemewahan dan seumpamanya bukanlah merupakan perjuangan Islam sekalipun diberikan nama yang berbentuk ke-Islaman. -

Editor Tarbawi


sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP