Tuesday, May 24, 2011

Konflik etnisiti dan kebiadapan politik

Malaysia dan masyarakat majmuk

Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk. Apabila sesebuah negara mempunyai masyarakat majmuk, maka tentulah negara tersebut terdiri daripada beberapa kelompok etnik atau bangsa. Negara Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa yang terdiri daripada kelompok etnik yang besar seperti etnik Melayu, Cina dan India serta etnik lain yang tidak dominan.

Kepelbagaian etnik sering menimbulkan konflik di dalam pembinaan negara-bangsa. Oleh itu, para sarjana sains politik meletakkan kepelbagaian ini sebagai salah satu faktor ketidakstabilan dalam negara. Kepelbagaian ini dikatakan mampu merangsang persaingan dan melahirkan hegemoni etnik ke atas etnik yang lain. Lazimnya, konflik etnisiti mengakibatkan ketidakstabilan demokrasi di mana etnik yang dominan berusaha mencari jalan merealisasikan matlamat untuk kepentingan etnik mereka.

Situasi ini mendorong para sarjana sains politik merekabentuk pelbagai modul dalam rangka menjelaskan kepelbagaian konflik etnik. Antaranya ialah teori konsosiasionalisme di mana kestabilan dapat dicapai melalui permuafakatan dan penerimaan kemajmukan etnik. Di Malaysia, hampir keseluruhan kajian terhadap tema ini mengaplikasikan pendekatan konsosiasionalisme bagi negara Malaysia.

Kebiadapan politik para pemimpin

Malaysia, semakin berhati-hati dalam menanggapi isu perkauman selepas peristiwa 13 Mei 1969. Masyarakat di Malaysia secara moralnya sangat menitikberatkan sikap saling menghormati antara kaum di atas kesedaran bahawa isu sensitif seperti perkauman tidak patut dibangkitkan. Persefahaman ini sudah lama dibina hasil integrasi antara kaum dalam kehidupan bermasyarakat.

Namun di atas kepentingan tertentu, persefahaman yang sudah lama dibina ini diruntuhkan oleh sesetengah pihak. Para pemimpin politik pada hari ini cenderung beraksi mematikan pihak lawan mereka dengan menggunakan isu perkauman. Mereka sanggup beraksi dengan landasan kebiadapan politik seperti ini hanya dengan tujuan meraih semula kepercayaan rakyat.

Isu Muqabalah UMNO-PAS di atas nama Melayu, Isu Perdana Menteri dari kaum Cina dan pelbagai isu lain yang dimainkan oleh parti UMNO dan sekutunya BN kini meniup kembali api konflik perkauman. Pemimpin-pemimpin politik bukankah harus lebih faham dan jelas bahawa taktik dan strategi politik ini tidak berjaya mengumpan masyarakat. Bahkan dengan tindakan ini masyarakat lebih mengenali siapa sebenarnya yang mengkhianat bangsa dan tanahair.

Mencontohi politik gaya Nabi

Islam adalah agama yang menjunjung prinsip keadilan di dalam praktik politik dan pemerintahan. Praktik ini dicontohkan sendiri oleh Nabi s.a.w di zaman pemerintahan Negara Islam Madinah. Persefahaman yang dibentuk oleh Nabi s.a.w tatkala mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar menunjukkan bahawa Islam tidak pernah meletakkan garis perbezaan walaupun pada ketika itu masyarakat Madinah jelas berbeza dari sudut komposisi kaum dan kepelbagaian agama.

Malah, persefahaman yang dicapai ini digariskan sebagai etika masyarakat Madinah ketika itu. Setiap anggota masyarakat harus menghormati dan menerima perbezaan dengan mengiktiraf hak dan menunaikan tanggungjawab masing-masing. Hal ini mungkin sudah dilupai oleh para pemimpin politik yang asyik memikirkan perlawanan berbanding memikirkan pembangunan negara. Sebab itu aksi kebiadaban politik ini terus berleluasa.

Contohilah politik gaya Nabi dalam memimpin negara, nescaya masyarakat umum dapat melihat bahawa Islamlah yang sebenarnya memandu negara.

Nukilan,

Muhammad Safwan Anang @ Talib

Merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya Sesi 2011/2012 (PMIUM)


sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP