Sunday, May 19, 2013

SISTEM PENDIDIKAN MELAHIRKAN ROBOT.





Setiap ibu bapa sentiasa inginkan yang terbaik bagi anak-anak mereka. Segalanya dibuat dengan teliti dan terbaik. Ibu bapa merancang dan menghantar anak-anak mereka ke mana-mana institusi (sekolah, pusat tusyen , pusat pengajian) yang dirasakan terbaik. Tidak dinafikan bahawa daripada tindakan ini, lahirkan ramai anak bangsa yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Namun, saya khuatir melihat kecenderungan yang melampau ibu, guru, sekolah bahkan negara yang mahu melihat sebuah empayar robot ditegakkan (dalam lain kata keperluan sumber manusia) yang mungkin akan mengancam survival ummah kita sendiri..

Sistem pendidikan bukan lagi tempat untuk melahirkan adab. Ia bukan lagi tempat untuk melahirkan jiwa-jiwa manusia yang mampu mencorakkan peradaban dalam konteks Malaysia yang mempunyai latar belakang ketimuran dan keIslaman yang menebal. Sistem pendidikan juga bukan juga tempat untuk melahirkan manusia yang berfikir demi kepentingan manusia lain (yakni ummah) dan rela memperjuangkan keadilan. Sistem pendidikan bukan lagi tempat melahirkan manusia yang jernih hati dan pemikirannya, mampu mencetuskan revolusi dalam pemikiran masyarakat dan mampu mengubah masyarakat.


Sistem pendidikan kini menjadi sarana untuk melahirkan para lepasan yang hanya menurut, tidak bersikap kritikal dan tidak mampu memberi pulangan kepada masyarakat. Lihatlah bagaimana masyarakat melihat sekolah. Masyarakat melihat sekolah tidak lebih daripada pusat melatih anak-anak mereka supaya menjadi jurutera, peguam, doktor, pegawai dan apa jua profesion, bukan sebagai tempat pemusatan ilmu, kebudayaan, perpaduan, kecintaan , kesedaran dan pelatihan adab. Masyarakat mula memikirkan bahawa pendidikan ini merupakan salah satu cara untuk mendapatkan kesenangan yang tak kekal lama tanpa memikirkan fungsi asal sesuatu pendidikan.

Sistem pendidikan dilihat perlu diwujudkan demi membekalkan tenaga kerja kepada kilang-kilang, perusahaan-perusahaan, kelab-kelab, jabatan-jabatan kerajaan dan sebagainya. Sistem pendidikan juga menjadi komoditi utama dalam negara dan diperdagangkan sistem itu demi mendapat pekerja-pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada sistem kapitalis yang direncanakan semenjak dulu. Manusia tidak lagi dipandang mulia kerana keilmuan dan kemurniaan akhlaknya, tetapi dipandang dengan berapa income bulanan, berapa buah motokar mewah, berapa nilai sebuah kata-kata.

Tidak salah untuk merubah nasib keluarga. Tidak salah untuk mengharumkan nama negara dengan kecemerlangan yang dicapai. Tidaklah salah juga untuk menikmati segala kemanisan dunia setelah bertungkus lumus menguruskan persekolahan anak-anak di bawah tanggungan. Namun masihkah kita mengerti terdapat tujuan yang lebih utama daripada sekadar kepentingan peribadi? Adakah kita sedar bahawa hidup ini bukanlah seperti "robot" bahkan "haiwan" ternakan sepertimana yang difirmankan oleh Allah?

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai"[al-A'raf : 179]

Saya tertarik dengan ungkapan Prof. Khoo Kay Kim terhadap apa yang dinamakan sebagai "pendidikan" sekarang ini. Beliau juga menjadikan terma "robot" dalam kritikannya terhadap insan yang "terkorban" dalam sistem pendidikan.

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim.

Dalam Daurah Ini Sejarah Kita (ISK) , selalu ditekankan bahawa manusia selalu dikaitkan dengan robot ,yang suka bermain, bergembira dan berehat apabila tiba masanya. Lalu dipusatkan pemerhatiannya hanya kepada dirinya sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Bicaranya hanya bicara tentang diri, isu ummah ditolak tepi kerana menyangkakan bahawa ia bukan urusannya. Masanya diatur dan diuruskan hanya berpusatkan kepentingan diri dan seputar isu dalaman diri. Kita mengulangi aktiviti kita secara rutin, sehari, seminggu , setahun. sepuluh tahun sehinggalah Malaikat maut menjemput kita. Ia rutin, dan sekadar rutin. Lalu kita menyangka bahawa kita sudahpun mencapai matlamat dalam kehidupan ini.

Lihatlah bagaimana Abul A'la melihat hasil yang dituai dari sistem pembelajaran berpusatkan diri. Syeikh Abul A'la Al Maududi merupakan seorang tokoh dakwah dan gerakan dan juga seorang pemikir.

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini." (Abul A'la Al Maududi, pengasas Jamaah Islamiyah Pakistan).

Kita sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini. Adakah kita termasuk dalam golongan yang selamat ? Atau leher kita telah dipotong dan dikelar dalam sistem ini? Masihkah kita tidak mengerti apa yang ingin disampaikan ? Mungkin ayat ini dapat merungkaikan persoalan yang masih berputar dalam benak hati kita.

Firman Allah Ta’ala:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.” (QS. Adz –Dzariyat: 56 )

Ayuh menjadi manusia !





0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP