Thursday, March 15, 2012

KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]


KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]


[1]

Dalam nas (al-Quran atau Hadis), ia hendaklah diperhatikan kepada dua perkara;
1-      Wasail
2-      Maqasid.

Maksud maqasid adalah capaian bagi kemuncak bagi syariat, yang dengannya disyariatkan segala hukum.

Maqasid syarik  (melayu : tujuan pensyariatan oleh pembuat syariat) ialah memberi kemaslahatan kepada hamba pada dunia mereka dan akhirat mereka, sama ada dengan cara menarik manfaat atau dengan cara menolak mudharat[1]. Sekiranya mendatangkan kemaslahatan, maka ia adalah perkara yang perlu diperakui. Adapun mendatangkan mafsadah, maka ia hendaklah ditolak.

Adapun wasail, ia adalah penghubung kepada capaian terhadap maqasid[2]. Tanpanya, maqasid tidak akan tercapai. Dengan erti kata yang lain, wasail sebagai “orang tengah” dalam menentukan capaian terhadap keputusan akhir, apakah ia mencapai maslahah atau mafsadah. Perkara ini diakui oleh ulama-ulama maqasid sendiri. antara yang mengakui perkara ini adalah al-Izz bin Abd al-Salam[3].

[2]

Antara contoh untuk memahami tentang wasail dan maqasid ini adalah seperti berikut;

Pertama;

Hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW  ada bersabda;

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْفَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan, dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kabur, maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”( Al-Bukhari,bab perkataan Nabi SAW “apabila kamu nampak anak bulan, maka berpuasalah. Apabila kamu nampak anak bulan, berhari rayalah”, hadis no : 1776.  Muslim, bab kewajipan berpuasa dan berhari raya dengan tengok anak bulan, hadis no : 1810.)

Dalam hadis ini, dipaparkan wasail untuk mencapai maqasid(berpuasa dan berhari raya), iaitu dengan melihat anak bulan. Namun begitu, dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad SAW menyebut “sekiranya kabur (tidak nampak anak bulan), maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”.

Maka dengan itu, ada sebilangan ulama seperti al-Imam Taqi al-Din al-Subki membenarkan penggunaan Hisab Falaki atau kiraan falak sebagai wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa di bulan Ramadhan dan penentuan hari raya)[4].

Kedua;

Firman Allah SWT;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi”(Surah al-Baqarah, ayat 193)

Berperang itu merupakan wasail, sedangkan maqasid dalam ayat ini adalah mengelak dari berlaku fitnah. Dengan maksud, dalam beberapa keadaan, tempat dan masa, (seperti di Malaysia) berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah.

[3]

Mengugurkan pemerintah dari hadis-hadis yang melarang itu bersifat wasail. Jika perang bertujuan untuk mengelak fitnah, tetapi situasi di Malaysia pula berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah, maka begitujuga  hadis-hadis yang digunakan oleh pihak yang haramkan gugur pemerintah yang zalim.

Hadis-hadis itu bersifat wasail, bukan maqasid. Apabila ia bersifat wasail, bermakna ia bukan satu perkara yang haram secara mutlak, tetapi tertakluk kepada kondusif tertentu.

Dengan maksud, ia haram dalam kerangka Negara monarki, tetapi tidak haram dalam kerangka Negara demokrasi. Juga, ia haram jika mendatangkan mudharat yang lebih besar, tetapi jika mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar, maka ia adalah satu perkara yang dibenarkan.

Wallahu Alam.




[1] Dr Yusuf al-Alim, Al-maqasid al-‘ammah li-al-syariiyyah al-islamiyyah :79.
[2] Ibid.
[3] Al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam : 1/53
[4] al-Qaradhawi, Al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 123.

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP