Friday, March 23, 2012

Abu Ayub Al-Ansari Bahagian 2



Seorang penyair yang bernama Abdul Aziz turut menyertai tentera Islam melagukan bait syairnya bagi menaikkan semangat rakan-rakannya,

Kehidupan ini banyak tahapnya
Telah kualami berbilang masa
Antara kelembutan dan kesesatan
Ada hala tidak mampu membuat aku lara
Ada nikmat tidak membuat aku derhaka
Apapun yang terjadi
Semuanya tidak menyesakkan dadaku
Dan apapun yang telah menimpa
Tidak akan merampas nafasku…..

Penyair yang berani itu menyerbu kea rah musuh lalu bertempur dengan hebatnya. Seorang demi seorang tentera Rom berjaya dijatuhkan dengan pedangnya. Dia bagaikan singa lapar yang berada ditengah-tengah sekumpulan lembu liar. Tanpa menghiraukan nyawanya, penyair it terus menerkam, mengelak dan melibaskan pedangnya ke kiri dan  ke kanan. Melihat keadaan itu, tentera Rom menjadi semakin berang. Mereka beramai-ramai mengepungnya bagaikan sekumpulan serigala menerkam seekor kuda. Pahlawan Islam yang gagah berani it uterus menentang tentera Rom walaupun ketika itu tubuhnya mula menjadi sasaran senjata musuh. Akhirnya dia terkulai layu bagaika kelopak bunga yang jatuh dari tangkainya.

Melihat Abdul Aziz sudah tewas, tentera Rom menunjukkan kebencian mereka dengan membelah dan merobek-robek tubuh pahlawan Islam itu sehingga tubuhnya berkecai. Kemudian mereka bersorak beramai-ramai sebagai tanda kemenangan. Melihat keadaan itu, salah seorang tentera Islam mengkritiknya dengan berkata, “Jangan kamu tiru perbuatan itu kerana ia menjatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Kemudian tentera itu membaca ayat al-Quran yang bermaksud, “Jangan kamu jatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Mendengar ucapan itu, Abu Ayub Al-Ansari menjadi marah lalu berkata, “Kami kaum Ansar lebih memahami ayat itu. Sesungguhnya ayat itu diturunkan kepada kami. Ketika itu kami sudah seronok tinggal bersenang-senang sehingga lupa meneruskan jihad. Maka ketika itu turunlah ayat, “Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan.”

Kemudian Abu Ayub Al-Ansari menyambung kata-katanya, “Kebinasaan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menetap lama-lama bersama keluarga dan anak-anak sehingga lupa pergi berjihad. Ayat itu juga ditujukan kepada mereka yang kaya tetapi kedekut.”

Selesai berkata-kata, Abu Ayub Al-Ansari mengajak tentera Islam menggempur musuh. Mereka berjuang begitu bersemangat sehingga berjaya mengkucar-kacirkan tentera Rom. Pertempuran hanya berhenti apabila hari menjelang senja. Tentera Rom masuk semula ke Kota Cosntantinople lalu mengunci pintunya. Tentera Islam mengambil kesempatan berehat bagi meneruskan pertempuran pada keesokan harinya.

Malam itu Abu Ayub Al-Ansari jatuh sakit. Dia terbaring lesu tanpa bergerak. Hanya nafasnya sahaja yang naik menandakan dia masih bernyawa. Tentera Islam datang menziarahinya. Salah seorang daripada mereka berdoa, “Ya Allah, sihatkanlah dia dan sembuhkanlah penyakitnya.”

Tiba-tiba Abu Ayub Al-Ansari membuka matanya lalu berkata, “Sebaiknya berdoa begini, Ya Allah sekiranya ajalnya sudah dekat, ampunilah dosanya dan berilah rahmatMu, sekiranya ajalnya masih belum tiba maka sihatkanlah dia dan sembuhkanlah penyakitnya dan berilah dia ganjaran pahala.”

Kemudian mereka mengucapkan kata-kata yang diajar oleh Rasulullah saw itu. Abu Ayub Al-Ansari tersenyum gembira walau dalam kepayahan kerana menanggung kesakitan. Yazid bin Muawwiyah turut datang melawatnya. Pemimpin tentera Islam itu amat menghormati Abu Ayub Al-Ansari. Lama dia duduk disisi pesakit itu sambil mendoakan kesihatannya. Namun keadaannya semakin teruk.

“Wahai tuan yang saya muliakan, sekiranya ada apa-apa hajat di hati tuan, sila tuan katakana supaya saya dapat memenuhinya,” kata Yazid bin Muawwiyah.

“Wahai Yazid, saya ada satu permintaan,” jawab Abu Ayub Al-Ansari sambil menanggung sakit sakaratul maut, “Seandainya ajal saya sampai di sini, kalian kuburkan saya di benteng Kota Constantinople.”

“Baiklah, kami lakukannya,” janji Yazid bin Muawwiyah.

Abu Ayub Al-Ansari kelihatan tersenyum lalu berkata, “Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang mati tidak mensyirikkan Allah taala dengan apapun pasti masuk syurga.”

Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas mengucap kalimah syahadah.  Suasana jadi hening seketika. Tidak lama kemudian kedengaran azan menandakan masuknya waktu subuh. Kemudian jenazah Abu Ayub Al-Ansari disembahyangkan dengan Abu Yazid sendiri menjadi imamnya.

Hari itu ketika pertempuran sedang meletus, sepasukan tentera Islam mengusung  jenazah Abu Ayub Al-Ansari bagi dikebumikan di tepi benteng Kota Constantinople. Apabila melihat keadaan itu, tentera Rom menyuruh beberapa orang penduduk kampung yang tidak terlibat dengan peperangan itu pergi menyiasat.

“Kamu pergi tengok apa yang mereka tanam di tepi benteng itu kemudian laporkan kepada aku,” kata Maharaja Constantinople.

Orang-orang kampung yang tidak bersenjata itu pergi bertanya kepada tentera Islam yang sedang mengebumikan jenazah Abu Ayub Al-Ansari.

“Apakah yang kamu tanam di tepi benteng ini? Ia sesuatu yang luar biasa kerana tidak pernah berlaku sebelum ini,” tanya salah seorang daripada mereka.

“Seorang pahlawan yang amat kami hormati sudah meninggal dunia. Dia sahabat nabi yang paling tua dan mempunyai kedudukan tinggi di kalangan kami. Kami kebumikan jenazahnya di sini. Tetapi ingat amaran kami, sekiranya kamu mengganggu kubur ini, loceng gereja kamu tidak berbunyi lagi di bumi ini,” jawab Yazid bin Muawwiyah.

Tentera Islam terus mengepung Kota Constantinople selama berbulan-bulan. Namun belum ada tanda-tanda kota itu dapat ditawan. Akhirnya tentera Islam kehabisan bekalan makanan dan senjata. Bekalan dari Mekah yang diharapkan tidak bekunjung tiba. Akhirnya Yazid bin Muawwiyah menulis surat kepada Maharaja Constantinople.

“Kami berundur tetapi bukan bermakna kami kalah kerana kami pasti akan datang lagi dengan pasukan tentera yang lebih kuat. Sekali lagi kami memberi amaran. Sekiranya jenazah Abu Ayub Al-Ansari diganggu, kami musnahkan kamu sehingga loceng di gereja akmu tidak berbunyi lagi.”

Pada mulanya Maharaja Constantinople tidak mengendahkan amaran itu. Baginda menyuruh kubur itu digali semula. Tetapi baginda terkejut apabila mendapati mayat Abu Ayub Al-Ansari masih elok walaupun sudah dikuburkan berbulan-bulan. Kerana kagum, jenazah itu dikebumikan semula di kawasan kota Constantinople. Di atas kubur itu dibina sebuah batu tanda yang besar. Di atas batu itu mereka sangkutkan 4 buah kandil. Orang ramai menjadikan kubur itu tempat ziarah bagi meminta keberkatan.setiap kali ditimpa bencana ataupun sakit, mereka datang ke kubur memohon doa. Anehnya setiap permintaan mereka makbul. Ini menjadikan kubur Abu Ayub Al-Ansari semakin popular.

Tetapi selepas berpuluh-puluh tahun berlalu, keadaan dan suasana berubah. Maharaja Rom mengeluarkan arahan melarang orang ramai mengungjungi kubur Abu Ayub Al-Ansari. Akhirnya kubur itu terbiar dan dilupakan orang.

“Selepas kita berjaya menawan Kota Constantinople, kubur sahabat Nabi Muhammad saw itu kita cari semula!!,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh.

Begitulah tekad yang dibulatkan dalam jiwa anak muda yang memandang kebenaran hadis nabi saw tetap akan direalisasikan oleh generasi kemudiannya. Misi-misi penawanan Kota Cosntantinople banyak menghadapi kegagalan dalam setiap operasi yang dijalankan kerana kelemahan dan takdir yang tidak mengiyakan pembukaan kota tersebut oleh generasi sebelumnya. Muhammad Al-Fateh tidak banyak berada di medan pertempuran, namun hasil pengalaman orang sekelilingnya memberikan pengalaman percuma kepada baginda bagi menilai dan merencana strategi yang lebih berkesan. Apakah selanjutnya? Nantikan episod seterusnya, Retak Menanti Belah Bahagian 1.

sumber: Buku Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al Fateh, Penakluk Constantinople, Karya Abdul Latip Talib.

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP