Tuesday, November 15, 2011

UCAPAN PENGGULUNGAN







UCAPAN PENGGULUNGAN YB ISKANDAR ABDUL SAMAD PADA PERBAHASAN BELANJAWAN NEGERI SELANGOR 2012 - 15 NOVEMBER 2011.


PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Kerajaan Negeri menyedari akan masalah cukai pintu atau cukai tanah yang tertunggak yang ditanggung oleh pemaju penyelamat.

Sememangnya rundingan dilakukan di antara mereka dan Pihak Berkuasa Tempatan atau Pentadbir Tanah Daerah.
Rundingan adalah sama ada untuk pengurangan atau pembayaran secara ansuran.

Sekiranya jumlahnya besar, pemaju penyelamat boleh membayar sebahagian dahulu dan melunaskan secara berjadual setelah projek itu dimulakan.

Ini penting kerana bagi projek-projek yang memerlukan kelulusan semula kerana menurut peraturan permohonan tidak boleh dilakukan sehingga segala cukai-cukai tertunggak dilunaskan.

Oleh itu, polisi ini membantu mempercepatkan pemulihan projek-projek terbengkalai.

Terdapat ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan keperluan kelulusan untuk projek-projek terbengkalai dipercepatkan.

Ini memang dilakukan melalui Jawatankuasa Projek Perumahan Terbengkalai (JPPT). JPPT ini berfungsi sebagai 'One Stop Centre' dan telah menggantikan Task Force Projek Perumahan Terbengkalai.

Jabatan-jabatan dan agensi Projek Terbengkalai agensi yang berkaitan akan menghadiri mesyuarat JPPT.

Isu-isu dan masalah-masalah yang membabitkan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah, SYABAS, TNB, IWK, dan pihak-pihak lain yang akan dibincang dan diselesaikan pada mesyuarat JPPT.

Buat masa ini terdapat 12 projek di bawah JPPT yang melibatkan hampir 4,000 unit rumah dan kedai.

Kesemua projek-projek ini telah mempunyai pemaju penyelamat atau pelikuidisi.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga ada membangkitkan kos untuk memulihkan kesemua projek-projek terbengkalai.

Hampir semua  projek terbengkalai mengalami defisit. Iaitu baki pembiayaan tidak dapat menampung kos untuk menyiapkan projek.

Kerajaan Negeri tidak ada jumlah yang tepat bagi keseluruhan baki projek-projek terbengkalai.

Tetapi kajian telah dilakukan ke atas 10 projek yang berpotensi untuk dimajukan dan jumlah suntikan diperlukan adalah sebanyak RM 107.2 juta.

Secara keseluruhan, strateginya adalah supaya projek itu dapat membiayai dirinya sendiri.

Ianya sama ada :
a.      Membenarkan pemaju menukar sebahagian dari pembangunan kepada kos yang lebih tinggi untuk membiayai pemulihan.

b.      Membenarkan pemaju menjual unit-unit yang tidak terjual dengan harga yang lebih tinggi

c.       Memerlukan 'top up' atau tambahan pembayaran oleh pembeli.


Walaubagaimanapun saya akan membentangkan satu kertas kepada mesyuarat untuk Kerajaan Negeri membantu atau menyuntik dana bagi kes-kes yang paling memerlukan.

Iaitu bagi projek-projek yang melibatkan mereka berpendapatan rendah.
Selain dari projek-projek yang dibincangjan di  dalam JPPT, terdapat 28 projek-projek kecil yang merangkumi 772 unit kediaman yang berjaya dibantu untuk dipulihkan. Pecahan-pecahannya adalah seperti berikut :

1.) Majlis Perbandaran Klang – 8 projek
2.) Majlis Daerah Kuala Langat – 10 projek
3.) Majlis Bandaraya Shah Alam – 1 projek


AIR PERCUMA UNTUK RUMAH KOS RENDAH
Air percuma untuk penduduk pangsapuri kos rendah juga telah dibangkitkan.
Pada asalnya kesemua penduduk pangsapuri yang menggunakan meter pukal tidak mendapat air percuma.

Migrasi terpaksa dilakukan kepada meter individu.
Kerajaaan Negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pihak SYABAS untuk menyegerakan proses migrasi ini.

Pihak SYABAS setelah berunding dengan Kerajaan Negeri telah melonggarkan syarat-syarat migrasi.Tetapi ini masih belum cukup untuk mempercepatkan proses migrasi.

Oleh itu untuk memastikan rakyat di Pangsapuri Kos Rendah mendapat air percuma, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan sistem kupon air percuma.
116 kawasan atau merangkumi 38,746 unit kediaman telah mendapat air percuma menerusi sistem kupon.

Oleh itu untuk memastikan lebih ramai dan lebih cepat mendapat air percuma, kaedah baru iaitu pemotongan atau diskaun pada bil di meter pukal akan diberikan.

Diskaun ini akan diagihkan kepada setiap kediaman di pangsapuri itu. Pihak pengurusan mesti memberi potongan kepada setiap bil-bil individu yang dikeluarkan.

Adalah dijangkakan kesemua pangsapuri kos rendah akan menikmati air percuma melalui skim ini sebelum 31 Januari 2012.

PERUMAHAN UNTUK GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH
Ingin saya tegaskan di sini bahawa walaupun Kerajaan Negeri telah melancarkan program Rumah Mampu Milik namun  Kerajaan Negeri tidak akan membatalkan polisi membina Rumah Kos Rendah.

Kerajaan Negeri akan mengekalkan polisi 20:20:10 dan 20:10:10 iaitu setiap pemaju yang membangunkan  kawasan lebih dari 10 ekar perlu membina 20 peratus Rumah Kos Rendah.

Kerajaan Negeri mengakui terdapat mereka yang tidak akan mampu membeli Rumah Mampu Milik yang bernilai RM80,000 hingga RM100,000. Rumah Mampu Milik adalah untuk mereka berpendapatan di antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.

Rumah Kos Rendah yang berharga RM42,000 masih perlu dibina untuk mereka berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri akan menyesuaikan polisi 20:20:10 dan 20:10:10 menurut daerah-daerah.

Contohnya peratusan Rumah Kos Rendah yang akan dibina mestilah disesuaikan menurutkan keperluan dan permintaan.

Kita tidak mahu mengulangi kesilapan Kerajaan Negeri yang lepas yang telah membina Rumah-Rumah Kos Rendah yang tiada siapa yang mahu membeli.
 Di kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor sahaja terdapat, 2,167 Rumah Kos Rendah yang masih kosong.

Kerajaan Negeri telah melantik Unit Perunding Universiti Malaya untuk melakukan kajian dan akan tamat pada akhir tahun ini.

Kajian ini juga akan mengenalpasti harga-harga bagi pelbagai jenis rumah menurut kemampuan rakyat.


RUMAH MAMPU MILIK : GANDINGAN KERAJAAN NEGERI DAN SWASTA
Walaupun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina sehingga 10,000 unit Rumah Mampu Milik namun untuk membina Rumah Mampu Milik yang secukupnya, perlu ada penglibatan pemaju-pemaju swasta.

Pemaju-pemaju swasta boleh memohon untuk membina Rumah Mampu Milik di daerah-daerah yang tidak ada permintaan untuk Rumah Kos Rendah.

Setakat ini terdapat 2 projek oleh satu pemaju sepertimana berikut :
1.) Sg. Long 800 kaki persegi dengan harga RM72,000 – 136 unit – 50 peratus siap.

2.) Seksyen U10, Shah Alam 850 kaki persegi dengan harga RM89,000 – 536 unit – Akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri juga sedang menerima permohonan dari pemaju-pemaju lain.


Iskandar bin Abdul Samad
EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
Negeri Selangor Darul Ehsan
15 November 2011

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP