Sunday, November 13, 2011

Apa Kaitan pindaan AUKU dengan perpecahan orang melayu?


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
APA KAITAN PINDAAN AUKU DENGAN PERPECAHAN ORANG MELAYU?
18 Dzu al-Hijjah 1432 / 14 November 2011
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kenyataan Naib Canselor Universioti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan membawa kepada perpecahan orang Melayu sebagai tidak berasas serta tidak rasional sama sekali.
DPPM merasa pelik dengan kenyataan Prof Dr Sahol yang mengaitkan Pindaan AUKU dengan perpecahan orang Melayu. Ingin DPPM jelaskan, meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak menyebabkan orang Melayu berpecah. Bahkan AUKU yang menyebabkan mentaliti mahasiswa terkongkong, tidak matang, serta tidak bebas dalam berfikir. Selama bertahun-tahun mahasiswa didoktrinkan untuk tidak berfikir secara rasional terhadap sesuatu perkara. Jika ada kelompok yang berfikir secara luar biasa dengan mengkritik sesuatu dasar, itu dianggap sebagai pengkhianat dan pelbagai tindakan akan dikenakan. Sedangkan sepatutnya, kepelbagaian dan  kebebasan dalam ruang lingkup perlembagaan negara perlu diraikan. Oleh kerana itu, pindaan AUKU perlu dibuat bagi memastikan mahasiswa tidak lagi terbelenggu oleh pemikiran konservatif. DPPM hairan bagaimana mentaliti begini boleh ada pada seorang Naib Cancelor.
Tambahan lagi, Orang Melayu berpecah kerana adanya kekangan serta kongkongan terhadap pemikiran rakyat. Mentaliti menganggap hanya UMNO sahaja parti yang wajib dipilih rakyat, dengan menganggap parti pembangkang seperti PAS tiada hak dalam ruang demokrasi yang sempit di Malaysia. Atau menganggap hanya UMNO parti sah, manakala selain Barisan Nasional; adalah parti yang tidak sah dan salah bagi rakyat menyertainya. Inilah punca perpecahan orang Melayu.
Dalam hal ini, DPPM mempersoalkan, jika Pertandingan Pidato Politik anjuran Pemuda Barisan Nasional  yang diadakan di Dewan Seminar HEA, Menara UiTM boleh diadakan dengan restu pihak UiTM, adakah Dewan Pemuda PAS Malaysia juga boleh mengadakan program rasmi di UiTM dengan restu Naib Canselor. Jika dibenarkan inilah kebebasan yang diperlukan agar mahasiswa mempunyai rasional untuk memilih parti kesukaan mereka. Jika tidak dibenarkan, mentaliti beginilah punca perpecahan kerana pentadbiran UiTM bersikap satu pihak semata-mata dengan menafikan pihak yang lain.
DPPM meminta Prof Sahol belajar dari negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi sebenar. Mahasiswa dan rakyat diberikan kebebasan untuk berhimpun, berpersatuan, berpolitik, dan bersuara dalam sesuatu dasar negara. Tidak berlaku isu perpecahan dalam bangsa mereka akibat kebebasan yang dimiliki oleh rakyat. Sebaliknya, kebebasan itulah yang menaikkan mentaliti dan corak berfikir rakyat di negara maju jauh ke depan meninggalkan rakyat negara kita.
Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP