Saturday, October 1, 2011

MEMAHAMI KONSEP SIASAH SYAR'IYYAH


PERKARA konsep Siasah Syar'iyyah ini penting bagi mentadbir masyarakat dan negara. la adalah kaedah bagaimana melaksanakan hukum Islam dengan cara yang tepat dan adil sama ada dalam perkara yang ada ayat atau tidak. Membezakan perkara yang wajib dilaksanakan dengan segera dan perkara yang boleh ditangguhkan dengan sebab-sebab yang tertentu yang dikenali juga dengan 'Fiqh Awlawiyyat' atau memahami keutamaan.

Nabi Muhammad S.A.W menangguhkan rancangan meroboh Kaabah dan membinanya semula seperti binaan Nabi Ibrahim selepas Makkah dibebaskan. Penangguhan dilakukan kerana mendahulukan kemasukan penduduk yang ingin memeluk agama Islam dan menjaga perasaan mereka terhadap kesucian bangunan Kaabah yang tersemat dalam hati mereka sejak zaman jahiliyah lagi.
Khalifah Umar bin Al Khattab tidak menjatuhkan hukuman hudud memotong tangan pencuri ketika berlakunya kemelesetan ekonomi kerana keadaan yang menekan hidup rakyat.
Hukuman hudud hendaklah memenuhi syarat-syaratnya dan tiada keraguan sedikitpun dalam mensabitkan kesalahan. Walaupun terdapat sebab-sebab yang mendesak melakukan jenayah namun ia tetap salah dan haram, tetapi dalam keadan begini hukumannya hendaklah diringankan dengan ta'zir sahaja, bukannya hudud.
Dalam hukum rampasan perang, harta yarlg dirampas bojeh dibahagikan kepada tentera-tentera. Pada zaman Khalifah Umar, tanah di negeri yang ditawan daripada kerajaan yang zalim tidak dibenarkan menjadi harta rampasan perang, sebaliknya tanah itu dikekalkan kepada pemiliknya yang masih ada, sama ada mereka menganut Islam atau menjadi rakyat tanpa menganut Islam. Hanya tanah yang tidak ada pemilik dibahagikan kepada rakyat yang menganut Islam dan bukan Islam.
Khalifah Uthman pula menganjurkan dua kali azan pada hari Jumaat, sedangkan pada zaman Nabi Muhammad, Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar hanya satu kali azan sahaja. Tindakan ini dilakukan kerana jemaah sering lewat hadir bersembahyang Jumaat, sehingga memerlukan ulangan azan dua kali bagi memberi peringatan kepada rakyatnya. Begitu juga tindakan membenarkan naskhah Al Quran yang dikumpulkan dengan permuafakatan Para Sahabat dan membakar naskhah al-Quran yang lain supaya terpelihara Al Quran yang disahkan dan tidak bercampur aduk dengan naskhah yang tidak lengkap.
Imam Abu Hanifah mensyaratkan penerokaan tanah dengan kebenaran kerajaan. Ini tidak bercanggah dengan hadis yang tidak mensyaratkannya kerana suasana dan keadaan yang berbeza dengan kepadatan pendudukan dan kadar penggunaan tanah di negeri Iraq berbanding dengan Madinah pada zaman Nabi Muhammad S.A.W.
Siasah Syar'iyyah itu bukan semuanya ditetapkan oleh Al Quran dan hadis, Tetapi ia tetap menepati Al Quran dan Hadis dan tidak bercanggah dengan hikmah hukum yang sebabnya khusus. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan sesuatu dengan alasan Siasah Syar'iyyah.
Menggunakan undang-undang ISA sewenang-wenang dengan menahan tanpa bicara seperti yang berlaku hari ini tidak boleh disamakan dan dibandingkan seperti zaman Khalifah Umar. Beliau bertindak ke atas seorang pemuda bernama Nasr bin Hajjaj kerana rupanya yang kacak membawa fitnah kepada dirinya sendiri dan masyarakat, tujuannya bagi mengelak daripada berlakunya maksiat. Alasan dan caranya berbeza dengan ISA yang tidak bersumberkan syariat dan konsep amar makruf dan nahi munkar.
Tindakan Khalifah Umar itu dengan tujuan prinsip amar makruf dan nahi mungkar dan melalui tindakan mahkamah dan dengan hujah yang kukuh. Adapun ISA lebih bersifat penyalahgunaan kuasa kerana mempertahankan kedudukan secara zalim tanpa perhitungan dosa dan pahala dan penelitian proses keadilan yang tepat. Kadang kala apa yang berlaku ialah mereka menyekat amar makruf dan nahi mungkar bagi kepentingan pemimpin yang zalim.
Tegasnya ISA bercanggah dengan prinsip Islam dan hikmahnya kerana ISA boleh mensabitkan kesalahan seseorang secara zalim. Prinsip perundangan Islam ke atas seseorang tidak boleh berlaku sewenang-wenangnya. Sebarang tindakan mestilah denga alasan yang kukuh, sekiranya mengancam keselamatan negara dan umat, penentuan ancaman itu mestilah secara adil. Sekiranya berlaku ancaman dalam Islam ada hukum nasihat dan bughah, bersemuka secara hujjah hendaklah diutamakan.
Sekiranya pihak yang menentang kerajaan itu benar, maka kerajaan wajib menerima pendapatnya. Sekiranya pendapatnya tidak betul maka pendapatnya ditolak dengan bijaksana. Kepurusan menahannya adalah keputusan yang adil dan terakhir yang ditetapkan oleh mahkamah yang adil. Undang-undang ISA adalah warisan penjajah untuk bertindak terhadap penentangnya dan dilaksanakan terhadap penentang yang mengancam pengaruh dan kedudukan mereka. - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP