Sunday, September 25, 2011

APABILA AHLI SUFI BERPOLITIK


Apabila umat Islam berpolitik di atas platform gerakan Islam, tidak lain antara objektif utama pertubuhan mereka adalah untuk mengajak manusia mengerjakan suruhan agama ketika ternyata suruhan itu telah diabaikan. Menegah manusia daripada melakukan larangan agama ketika ternyata larangan tersebut telah dilaksanakan. Melalui jemaah-lah kekuatan itu dapat dihasilkan, iaitu mencegah perbuatan mungkar. Jika sesebuah pertubuhan gangster sanggup mengumpulkan sejumlah ahli untuk membina empayar jenayah, memeras, mengugut dan sebagainya. Mengapa tidak ada jemaah Islam yang sedia tampil melumpuhkan kemungkaran-kemungkaran tersebut dengan cara yang bernas dan diredhai oleh Allah Taala?
Hakikatnya, tanggungjawab memikul 'matlamat' tersebut bukan hanya pada bahu sesebuah gerakan ataupun jamaah, tetapi ada pada setiap bahu Muslim mukallaf untuk merealisasikan hakikat tersebut, lebih-lebih lagi jika dia seorang ketua.
Seperti yang sering diingatkan di dalam Al Quran bahawa baik dan buruk yang menimpa pada diri manusia sering dinisbahkan kepada hati. Maka, baik dan buruk yang menimpa sesebuah jemaah itu juga dinisbahkan kepada yang paling teras mengenderai anak buahnya iaitu sang presiden. Begitulah tanggungjawab yang harus ditanggung oleh hati dan juga ketua.
Walaupun hati atau ketua itu adalah orang pertama yang akan menerima akibat, namun 'anak-anak buah'nya juga bertanggungjawab menyelamatkan 'ketua'nya itu. Seperti mata yang sering terdorong oleh hati untuk melihat 'pemandangan' yang haram, akan mengakibatkan tompok hitam di hati. Namun lidah atau kaki, mungkin boleh menyelamatkan hati dengan melazimi zikir, atau kaki yang melangkah meninggalkan tempat maksiat.
Tasawwuf Dalam Siasah
TARBIYAH IMANIYYAH adalah asas dalam segenap gerakan Islam. Imaniyyah yang dimaksudkan di sini bukan sekadar 'menyebut' di gagauan mulut dan 'mengetahui' di akal sahaja, dengan istilah yang rumit-rumit seperti tajalli, makrifat dan sebagainya. Tetapi yang dimaksudkan adalah IMAN yang mampu menyinari hati dengan sinaran cahaya, dan sinaran tersebut menyokong keinginan dengan perbuatan yang kita lakukan. Bukti iman itu bukan sekadar di-perdebatkan, di-provokasi dengan cara bertarung fikrah semata-mata, tetapi iman mestilah mampu menghasilkan buah amal dan kebaikan.

Oleh itu, siasah Islamiyyah pada zaman kini memerlukan penelitian dan aplikasi yang mantap terhadap TARBIYYAH IMANIYYAH atau TARBIYYAH RABBANIYYAH. Dalam erti kata lain, kita memerlukan tasawwuf dalam dunia politik.
Tidak dapat dinafikan, ada firqah tasawwuf yang menyimpang dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, seperti juga firqah-firqah lain yang juga bermasalah sepertinya. Tetapi, tidak semua golongan mutasawwifin itu sesat. Bahkan ada di kalangan mereka yang disanjung tinggi, dihormati dan diakui peranannya. Seperti Imam Hasan al Basri, Fudhail bin 'Iyadh, Abul Qasim Al Junaid, Sheikh Abdul Qadir Jailani dan ramai lagi. Demikian jugalah yang pernah diakui sendiri oleh Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah di dalam bukunya, At Tuhfah Al 'Iraqiyyah Fi Al 'Amal Al Qalbiyyah, bahawa amalan kesufian ini mestilah men-darah daging ke tubuh umat Islam.
Imam Ibn Qaiyyim Al Jauzi membuat kesimpulan daripada beberapa mutiara kata para mutasawwifin dengan katanya, "Agama itu adalah Akhlak, siapa yang memperelokkan akhlaknya, maka dia telah memperelokkan Agama-nya".
Hal itu turut awal-awal lagi telah diberitakan oleh Nabi S.A.W,"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
Cukuplah sekadar itu untuk membuktikan bahawa pentingnya tasawwuf dalam agama kerana ia adalah sebahagian daripada Islam selain daripada Akidah dan Syariah. Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah berkenaan 4 perkara yang perlu dititikberatkan oleh mereka yang ingin terlibat dalam alam politik, tidak kira di peringkat kampus mahupun negara.
1| Niat Yang Ikhlas
Memperbaiki niat atau memperbaharui niat amat penting untuk memastikan setiap amalan itu ikhlas kerana Allah Taala. Menjadi pemimpin bukan kerana jawatan, harta mahupun kemasyhuran di sisi manusia. Bukan juga melantik pemimpin untuk kepentingan peribadi, atau untuk menutup ruang lain. Tetapi kerana ingin meneruskan amanah Allah di muka bumi ini sebagai khalifahNya.
Imam Hasan Al Banna menggariskan bahawa syiar pertama pejuang Islam adalah (Allahu ghoyatuna) bermaksud 'Allah Matlamat Kami'. Oleh itu, kita berani melakukan semua itu hanya kerana ingin mencapai redha Allah.
2| Kebersamaan Allah Dalam Diri
Kebersamaan yang dimaksudkan bukan bermaksud untuk menjisimkan Allah. Tetapi merasai kewujudan Allah  (muraqabah) dalam segenap tindakan kita sehinggalah kita dapat merasakan nikmat IHSAN yang dimaksudkan oleh Malaikat Jibril A.S kepada Baginda S.A.W. Apabila Nabi S.A.W ditanya oleh Jibril, "Khabarkan kepada-ku tentang Ihsan". Maka Nabi menjawab, "Ihsan adalah kamu mengabdikan Allah seperti kamu melihatNya, jika kamu tidak dapat melihatNYA (semestinya kamu tidak dapat melihatnya saat ini) maka (percaya) sesungguhnya Dia sedang memerhatikan kamu". Allah telah berfirman di dalam Al Quran, "Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada". - Surah Al Hadid:2
3| Sentiasa Muhasabah Diri
Dalam dunia berpersatuan, berprogram dan sebagainya ia lebih masyhur dengan istilah 'post-mortem'.  Ala kulli hal, semua itu telah lama diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.  Apabila Baginda S.A.W mengarahkan Sahabat mengetuai sesebuah peperangan ataupun gerakan gerila menentang kuffar, Baginda akan bertanya setiap kali misi tersebut selesai dilunaskan. Tetapi berapa ramai di antara kita yang tahu dan menghayati sunnah ini?
Selepas berprogram, borang muhasabah diedarkan, namun hanya sedikit respon yang diberi. Tetapi lebih ramai yang gemar mengambil cara menegur dan mengata di laman-laman sesawang. Apakah tujuan sebenar tindakan itu? Adakah itu tujuan 'muhasabah' yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W?
4| Tawakkal Kepada Allah
Tawakkal adalah senjata dalam Muslim bertaqwa. Ia mampu menguatkan yang lemah dan meramaikan yang sedikit. Senjata ini jugalah yang telah menjadi warisan tradisi Para Anbia' dan Para Rasul berhadapan dengan musuh-musuh Islam pada zaman dahulu. Maksud bertawakkal adalah mewakilkan diri kepada Allah pada segenap amalannya.
Yang dimaksudkan di sini bukan tidak mengambil berat tentang sebab-musabab sesuatu kejadian itu, atau menafikan sunnatullah, dengan hanya menunggu hasil daripada Allah sahaja. Tetapi meyakini bahawa yang memiliki natijah itu hanyalah Allah, setelah kita mengerahkan segala usaha untuk mencapai natijah itu. Dan yakinlah bahawa Allah itu amat berpegang pada janjiNya.
Tawakkal pernah ditunjukkan oleh Baginda S.A.W kepada Sahabatnya, Abu Bakar As Siddiq di gua ketika Baginda bersamanya menyorok dari serakah kaum kafir Quraish. Tatkala Abu Bakar As Siddiq R.A berkata kepada Baginda S.A.W dalam ketakutan, "Sekiranya mereka menjengukkan pandangannya ke bawah kaki, nescaya mereka akan melihat kita".
Lalu Baginda Nabi S.A.W menjawab, "Janganlah kamu menyangka kita hanya berdua, bahkan kita sedang bertiga". Rujuk Surah At Taubah ayat 40.
Semua itu menunjukkan kepentingan tawakkal kepada Allah Taala dalam segenap perbuatan yang kita lakukan. Tanpa penyerahan, segala perancangan dan usaha yang kita lakukan tidak akan berjaya untuk masa yang lama. Tawakkal juga amat berperanan untuk menjauhkan diri kita daripada pelbagai kekecewaan terhadap sesuatu perkara yang telah kita lakukan (tidak redha). Kekecewaan ini akhirnya mungkin akan menjerumuskan kita ke arah mensyirikkan Allah Taala.
Sebagai contoh, jika percaturan kita untuk menaikkan seseorang pemimpin yang dirasakan layak untuk memimpin sesuatu organisasi Islami. Jika individu itu ditakdirkan akan menjadi pemimpin kita, kita pasti mengucap panjang, 'alhamdulillah'. Tetapi jika ditakdirkan pilihan kita tidak menjadi pemimpin, para pencalonnya yang tidak bertawakkal mungkin merasa tidak redha dengan pemimpin yang bukan pilihannya. Akhirnya, sebuah pertubuhan, ahli-ahlinya menjadi mangsa. - TARBAWI

sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP