Thursday, August 25, 2011

Tarbiyah Harakiyah Ramadhan-Ustaz Nik Abduh

Bulan Ramadhan adalah anugerah agung daripada Allah yang disambut ketibaannya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh umat Islam seluruh dunia. RasuluLlah S.A.W, setiap kali Ramadhan menghampiri, akan menyampaikan ucapan khas di hadapan Para Sahabatnya di hujung Sya’aban dengan menyebut dan membesar-besarkan kehadiran nikmat agung tersebut.



Perhatikan hadis riwayat daripada Ibni Khuzaimah sebagaimana berikut : Daripada Salman al Farisi R.A, beliau berkata; RasuluLlah S.A.W telah berkhutbah di hadapan kami di hujung bulan Sya’aban. Baginda bersabda, “Wahai manusia, bulan yang sungguh agung sedang mengarak menuju kalian. Ia adalah bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang di dalamnya bertakhta satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah memfardhukan ibadah puasa pada waktu siangnya manakala mendirikan malamnya adalah begitu disunatkan. Barang siapa yang bertaqarrub kepada Allah dengan sebarang perkara yang baik, maka dikurniakan untuknya ganjaran sebagaimana orang yang menunaikan 70 ibadah fardhu selainnya”.



“Ia adalah bulan kesabaran. Kesabaran ganjarannya adalah syurga. Ia juga bulan keperihatinan dan juga bulan yang bertambah-tambah rezeki orang yang beriman. Barang siapa yang memberi makanan untuk berbuka puasa, maka Dia akan mengampunkan dosanya, membebaskan dirinya daripada api neraka dan ditambahkan lagi untuknya pahala orang yang dijamunya itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala puasa orang tersebut”.



Para Sahabat bertanya, “Wahai RasuluLlah, bukanlah setiap kami mampu untuk menyediakan jamuan untuk berbuka puasa?



Baginda menjawab, “Allah pasti memberi ganjaran tersebut kepada orang yang memberi sekalipun sekadar sebiji tamar atau segelas air ataupun seteguk susu. Ia juga adalah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan hujungnya adalah pembebasan daripada api neraka”.



“Justeru perbanyakkan di dalamnya dengan melakukan empat perkara, dua daripadanya kamu mampu meredhakan Tuhan kamu, manakala dua perkara lagi kamu tidak dapat lari daripadanya. Adapun dua yang akan meredhakan Tuhan kamu, maka ia adalah sentiasa menyebut kalimah syahadah – la ilaha illaLlah – dan kamu sentiasa beristighfar kepadaNya. Manakala dua perkara yang kamu begitu memerlukannya, maka ia adalah sering memohon syurga daripadaNya dan sering memohon agar dihindari daripada api neraka”.



Hadis ini adalah di antara riwayat yang agak panjang di dalam memperkatakan keagungan bulan Ramadhan. Sudah tentu ia adalah sepintas gambaran bagaimana Rasulullah telah menjadikan 30 hari sepanjang bulan mulia ini sebagai saat-saat yang begitu berharga dan dinantikan untuk mengoptimumkan proses pembinaan diri para sahabatnya yang agung yang disiapkan untuk meneruskan perjuangan suci Baginda menyebarkan dakwah Islamiyah kepada seluruh manusia selepasnya.



Ramadhan Yang Intensif Dan Insentif



Ramadhan adalah bagai sebuah madrasah pembinaan rohani yang intensif, dipenuhi dengan insentif-insentif khas buat memperteguhkan binaan dalaman setiap Mukmin agar mereka keluar daripadanya sebagai perwira agama yang begitu perkasa dan penuh dengan semangat juang yang tinggi. Apabila kita menjenguk kepada sirah Baginda dan bagaimana Baginda menyusun kehidupan di kota Madinah sepanjang bulan Ramadhan, kita akan melihat bagaimana ia telah menjadi satu medan tarbiyah Para Sahabat yang begitu sempurna untuk sebuah projek dakwah yang panjang dan perjuangan yang getir dan agung.



Ia adalah sebuah tarbiyah harakiyah yang hidup, bukan tarbiyah yang menjunamkan kecergasan dan memencilkan peranan dan langkah. Ia adalah bagai sebuah madrasah atau universiti satelit untuk tarbiyah harakiyah membina keperwiraan para du'at di jalan Allah. Bagaimanakah memahami hakikat ini? Mari kita melihat ke dalam secara lebih teliti.



Bulan Al Quran



PERTAMA : Di dalam Al Quran secara jelas Allah telah menyatakan kelebihan bulan Ramadhan adalah kerana peristiwa penurunan Al Quran kepada manusia. Ia diturunkan pada satu malam yang penuh barakah daripada malam-malam Ramadhan. Ia adalah Lailatul Qadr yang lebih baik daripada seribu bulan. Demi kemuliaan dan keagungan, maka bulan Ramadhan diangkat tarafnya menjadi bulan anugerah khas buat umat Muhammad S.A.W, umat akhir yang diturunkan kepada mereka kitab dari langit.



Justeru bulan Ramadhan adalah bulan Al Quran sebelum segala-galanya. Ia adalah bulan di mana Allah jadikan sebagai satu tempoh yang istimewa buat para hambaNya mensyukuri nikmatNya yang paling agung iaitu turunnya Al Quran sebagai petunjuk yang dipenuhi isi-isi yang menerangkan segala hakikat dan memisahkan kebenaran daripada kebatilan.
Ingatan dan kesyukuran yang berpanjangan sebulan itu pasti akan menjadi pemangkin kepada para hambaNya untuk terus menjadikan Al Quran sebagai panduan hidup sepanjang zaman.



Maka difardhukan ibadah puasa adalah kerana kesannya yang begitu mendalam di dalam memperteguh rasa cinta dan tanggung jawab mensyukuri dan mengamalkan Al Quran. Ertinya kefardhuan ibadah puasa bukanlah semata-mata pemenjaraan dan hukuman terhadap nafsu perut dan syahwat, juga bukan sekadar bertujuan melaparkan perut agar diingati nikmatNya yang banyak oleh orang-orang kaya dan dikasihani pula golongan yang miskin, bahkan ia mempunyai hikmat dan matlamat yang lebih besar iaitu memandu diri untuk mengenali, merasai dan menikmati keagungan Al Quran sebagai panduan hidup duniawi.



Justeru seawal perkara yang perlu disedari oleh setiap umat Islam apabila menyambut ketibaan bulan Ramadhan adalah kewajibannya mendekati Al Quran dengan memperbanyakkan tilawah, mentadabbur dan mengambil pengajaran-pengajaran yang berharga untuk membina kehidupannya sepanjang masa.



Jelas sekali, bulan Ramadhan begitu membantu memahamkan umat Islam agar kembali kepada Al Quran dan menjadi sumber inspirasi yang begitu kuat buat para du'at di jalan Allah untuk terus berjuang memartabatkan Al Quran di dalam kehidupan.



Lebih penting, dengan berteleku di hadapan Al Quran sepanjang 30 hari pasti akan membantu pembinaan rohani para du'at. Hati menjadi bersih dengan bacaan dan tadabbur manakala kekotoran turut dikikis sedikit demi sedikit melalui kekuasaan Al Quran.



Jalan Menuju Taqwa



KEDUA : Pensyariatan kewajiban ibadah puasa di bulan Ramadhan mempunyai matlamat yang jelas sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam Al Quran iaitu agar orang-orang yang beriman mencapai darjat taqwa. Ia adalah satu seruan yang nyata agar setiap yang berpuasa di bulan Ramadhan agar memberi tumpuan kepada proses pembinaan hati yang ikhlas dan berada di tahap yang paling tinggi demi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.



Taqwa adalah mengambil sesuatu yang dapat mengelak murka Allah dan azabNya dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Apabila ia dikaitkan dengan Al Quran di bulan Ramadhan, maka adalah jelas betapa Al Quran-lah sebaik-baik jalan dan petunjuk buat mencapai darjat taqwa.



Oleh kerana Al Quran hanyalah dimanfaatkan oleh orang-orang yang bertaqwa walaupun ianya adalah untuk menjadi petunjuk kepada semua manusia, maka ibadah puasa adalah satu wasilah unggul untuk menggerakkan hati manusia agar menangga menuju taqwa dengan Al Quran. Maka dapat dilihat dengan jelas peranan trio puasa, taqwa dan Al Quran.



Antara faktor yang mendorong taqwa melalui puasa adalah :


 Orang yang berpuasa akan meninggalkan apa yang dilarang ke atasnya daripada makan, minum dan jima' semata-mata kerana melaksanakan arahanNya sedangkan semua perkara di atas asalnya adalah halal dan nafsu begitu condong kepadanya. Ia dilakukan semata-mata untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan taqwa yang kuat.
 Orang yang berpuasa akan melatih dirinya untuk bermuraqabah dan merasakan kehadiran Allah yang melihat dan memerhatikannya. Ini akan mendorongnya meninggalkan larangan Allah kerana malu dan takut kepadaNya.
 Ibadah puasa akan menyempitkan laluan dan akses syaitan ke dalam diri orang yang berpuasa. Maka ia memberinya kekuatan untuk menjauhi maksiat dan larangan Allah.
 Puasa akan mendorong ahlinya untuk memperbanyakkan ketaatan kepada Allah. Melakukan ketaatan adalah antara sifat-sifat yang lahir daripada taqwa.
 Orang-orang yang berada, melalui puasa akan merasai keperitan lapar dan dahaga. Ini akan menginsafinya dan membina keperihatinan diri terhadap orang-orang yang miskin dan susah. Membantu sesama manusia adalah juga di antara sifat-sifat taqwa.



Demikianlah ibadah puasa benar-benar menjadi madrasah intensif yang akan membina diri para du'at dan amilin di jalan Allah dengan taqwa dan kekuatan rohani yang tinggi.



Bulan Kesabaran



KETIGA : Puasa disebut oleh RasuluLlah di dalam hadisnya sebagai bulan sabar. Sabar adalah kunci yang membuka segala kesukaran dan memperoleh kejayaan. Ia adalah di antara sifat-sifat mulia yang paling tinggi nilainya di sisi Allah kerana pengaruhnya yang besar di dalam melaksanakan matlamat agung manusia di dunia ini iaitu beribadah dan berdakwah di jalan Allah.



Melalui puasa, seseorang Mukmin akan melatih dirinya mengawal nafsu dan dorongannya yang kuat untuk mencapai keseronokan yang dekat dan segera. Ia menjadi punca yang menyekat seseorang muslim untuk melakukan ketaatan kepada Allah yang kelihatan jauh hasilnya dan menjauhi maksiat yang manis pada pandangan zahirnya.
Apabila dia mampu mengawal dirinya daripada melakukan perkara yang halal seperti makan dan minum semata-mata kerana takutkan Allah, maka kawalannya terhadap dirinya daripada melakukan perkara yang halal akan lebih mudah.



Agama Yang Mudah



KEEMPAT : Ramadhan mempromosikan Islam sebagai agama yang mudah dan tidak memayahkan. Dengan pandangan zahir bahawa ibadah puasa adalah cukup berat untuk dilaksanakan, Allah mempertegaskan sebaliknya dengan mengulang-ngulang hakikat bahawa Islam tidak pernah mendorong penganutnya untuk melakukan perkara yang sukar dan tidak terpikul, bahkan akan menyalurkannya kepada jalan-jalan yang mudah.

Ketika Allah mewahyukan kefardhuan ibadah puasa yang zahirnya agak berat berbanding kefardhuan lain, Dia menyebutkan bahawa pensyariatan ibadah puasa sebenarnya telah terlaksana dengan jayanya oleh umat-umat yang terdahulu.


Ini akan membuang keluh-kesah di kalangan umat Nabi Muhammad yang akan memulakan kewajiban berpuasa selepas 15 tahun Nabi diutuskan. Rasa kebersamaan di dalam melaksanakan ibadah akan menjadi kekuatan di dalam membina keyakinan dan kemampuan selain mengharapkan kebaikan yang yelah pun dirasai dan diperolehi para hamba Allah yang terdahulu.



Apabila pasti akan terdapat manusia yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan ibadah puasa seperti orang sakit dan tua, Allah segera memberi keringanan samada dengan mengqadha'kannya atau menggantikannya dengan fidyah. Malah ketika Dia meringankannya bagi orang yang bermusafir, tidak pula ditentukan samada ianya adalah perjalanan musafir yang meletihkan atau sebaliknya. Ia adalah keringanan yang begitu jelas sekali.



Allah juga telah mempertegaskan konsep keringanan dan kemudahan di dalam agama dengan menyebutnya secara jelas di dalam ayat puasa bahawa, “Dia mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan untuk kamu”. Begitulah penekanan yang ditunjukkan agama bahawa agama ini sesekali tidak memberatkan dan memayahkan para penganutnya.



Adalah menjadi kewajiban para du'at di jalan Allah untuk memperhalusi konsep keringanan di dalam agama ini dengan betul dan sempurna. Ini akan cukup membantu medan dakwah kepada Allah di dalam mengajak umat Islam kembali kepada Islam. Antara punca ketakutan mereka adalah serangan musuh yang berusaha menggambarkan Islam sebagai agama yang sukar dan membebankan dengan kewajiban dan larangan yang menyekat kebebasan manusia.



Kekuatan Rohani Yang Unggul



KELIMA : Kekuatan rohani lebih agung daripada kekuatan fizikal. Ini dilihat secara nyata melalui peristiwa perang Badar yang berlaku di bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijriah yang juga merupakan tahun pertama kefardhuan ibadah puasa ke atas umat Islam. Jika puasa itu bererti keletihan dan kerehatan, sudah pasti agama yang sifatnya memudahkan dan meringankan itu tidak akan mensyariatkan al jihad di bulan Para Sahabat Ar Rasul berpuasa untuk kali pertamanya.
Puasa memang meletihkan tubuh badan. Kerananyalah nafsu menjadi letih dan gagal berfungsi untuk merosakkan seseorang. Tetapi kekuatan sebenar yang diperkenalkan oleh agama adalah kekuatan rohani. Inilah faktor kejayaan Islam yang berbeza dengan agama dan ideologi manusiawi yang terlalu bergantung kepada kekuatan fizikal.
Ini bukan bererti kekuatan fizikal itu tidak penting, tetapi ia bukan faktor besar untuk disandarkan terhadap kejayaan dakwah Islam.



Para sahabat memasuki medan Badar dengan persiapan fizikal yang cukup lemah apabila mereka tidak pun mempersiapkan diri dengan senjata dan peralatan perang disebabkan tujuan asal keluar dari Madinah adalah bukan untuk menghadapi peperangan yang begitu sengit seperti di medan Badar. Ditambah pula dengan jumlah Para Sahabat yang sedikit, adalah mustahil untuk tentera Islam memenangi pertempuran di medan Badar.



Tetapi, perang Badar akhirnya menjadi batu tanda yang bersinar buat membina keyakinan bahawa kekuatan rohani yang antara sebabnya adalah hasil binaan madrasah Ramadhan sebagai faktor terulung di dalam menjamin kemenangan kepada Islam dan umatnya.



Demikianlah gambaran secara ringkas bulan Ramadhan sebagai madrasah harakiyah yang perlu dihadami oleh setiap umat Islam, khususnya para du'at di jalan Allah demi memperolehi bekalan yang sangat diperlukan dalam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Ramadhan hendaklah difahami sebagai sebuah universiti yang tujuan dan matlamat agungnya melahirkan para wirawan Islam yang perkasa demi memacu dakwah dan jihad menegak agama Allah. Ia bukan sekadar ibadah yang sejuk, kaku dan menunggu saat hari raya yang disalah fahamkan maksudnya. Bersamalah kita membina diri di madrasah langit ini. -



TARBAWI

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP