Saturday, June 25, 2011

Bersih 2.0 : UMNO Mula bertindak Kotor

Oleh: Wan Nik Wan Yussof


Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.


Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan telah mula bertindak kotor tatkala menyerang usaha perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Serangannya menggunakan bahasa yang kesat terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).



Ahmad Maslan selaku peneraju perang saraf dan provokasi Umno ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada14 Julai 2011 lalu menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai “himpunan kotor” dan menyindirnya sebagai menjadi "titik hitam" kepada kerajaan Barisan Nasional yang dikuasai Umno.



Responsnya kepada soalan diajukan wartawan, beliau menganggap perhimpunan tersebut akan susahkan rakyat, rugikan penjaja, rugikan peniaga yang ada kedai, rugikan pemandu teksi. Malah dianggap menjejaskan industri pelancongan dan juga ancaman kepada ekonomi negara––langkah pre-amptive yang cuba memburukkan persepsi rakyaat terhadap perhimpunan Besih 2.0.

http://www.malaysiandigest.com/images/newfolder/ahmad%20maslan.jpg


Paling tidak bermoral, ketua penerangan Umno itu turut menyeru (baca menghasut) pertubuhan bukan kerajaaan (NGO), termasuk Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) supaya mendapatkan khidmat peguam dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan itu. Apa pun beliau tidak membuat sebarang hujah rasional kenapa perlu NGO membuat laporan polis.



Sebenarnya, pendekatan Ahmad Maslan yang cuba menafikan perhimpunan Bersih 2.0 itu boleh dianggap pemikiran kotor seorang mewakili kelompok Umno yang berkuasa. Tanpa meneliti terlebih dulu maksud sebenar perhimpunan tersebut. Ia menggambarkan rasa gusar dan gementar hati pemimpin Umno yang berada dipaksi kuasa!



Matlamat Bersih



Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO adalah bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara ke arah penambah baikan sistem pilihan raya di Malaysia.



Lapan perkara itu ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minimum 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor serta desakan menghentikan penyalahgunaan jentera dan wang kerajaan (oleh parti penguasa) semasa kempen pilihan raya.



Semua matlamat ini merupakan penegasan yang membela hak dan kebebasan rakyat daripada terus dimanipulasikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Justeru itu, apakah perhimpunan Bersih 2.0 itu sesuatu yang kotor!



Apa pun perhimpunan Bersih 2.0 dijangka bakal mencetus lebih meluas kesedaran rakyat untuk menolak sistem pilihan raya yang tempang, senget dan terdorong kepada autoritarian. Mudah-mudahan ia dapat membuka pintu hati rakyat untuk menolak sistem pilihan raya ikut selera kerajaan Barisan Nasional. Maksudnya, rakyat sejawarnya bangkit melakukan perubahan untuk menggantikan pilihan raya yang ikut kehendak penguasa (semata-mata ingin terus berkuasa) sehingga mencantas kewarasan rakyat berfikir ikut lunas pendemokrasian.



Hak berhimpun dizalimi



Lunas undang-undang negara membenar perhimpunan. Tidak timbul soal perhimpunan itu untuk tujuan apa sekali pun. Kerajaan Barisan Nasional yang dikemudikan oleh Umno tahu dan memahami Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberi hak eksklusif untuk rakyat berhimpun.



Namun, apabila pihak PAS dan Pakatan Rakyat mahu pun gabungan NGO seumpama Bersih akan mengadakan perhimpunan, maka secara cepat Umno bercakap ia sebagai perhimpunan haram. Ia sebagai pre-amptive agar polis bertindak tidak membenarkan sebarang perhimpunan anjuran pihak selain Umno-BN. Ini kerana kuasa polis telah disandarkan sebagai pihak yang betul atas alasan menjaga keselamatan awam.



Sesungguhnya cara pengurusan hak rakyat berhimpun sedemikian adalah suatu kezaliman penguasa (kerajaan Barisan Nasional dipimpin Umno) terhadap hak dan kebebasan bersuara untuk menzahirkan kehehendak sebenar. Meskipun rakyat (berhimpun) itu mewakili kelompok di luar kerajaan, NGO atau pun individu, maka aturan demokrasi dan sistem politik tamadun tetap membenarkan!



Justeru kerajaan Barisan Nasional ditunggangi Umno kini sudah bertindak bercanggah dengan sistem politik tamadun. Ia suatu tindakan yang harus ditentang oleh semua rakyat. Maka, perhimpunan Bersih 2.0 seharusnya menjadi gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak amalan politik tidak bertamadun, mungkar dan berdosa. Logiknya, pihak Umno-BN sudah mengamalkan politik tidak bertamadun kerana menyekat hak dan kebebasan bersuara kelompok rakyat. Maka di sisi fekah politik Islam, ia suatu kemungkaran dan setiap yang mungkar adalah berdosa. Kebalikannya, rakyat yang menyokong dan terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 nanti akan mendapat pahala kerana menentang amalan berdosa penguasa Umno-BN!



Perkasa menyokong dosa



Satu NGO yang menyahut hasutan Ahmad Maslan ialah Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), sebuah NGO totok Melayu pro-Umno. NGO ini dilihat terlalu mesra menentang setiap perkara yang pro-PAS-Pakatan Rakyat, walau pun dalam perkara mungkar (termasuk menghalang Bersih 2.0). Justeru dalam hal perhimpunan Bersih 2.0 ini pun Perkasa dilihat lebih lantang bersetuju dengan Umno yang menentang gelombang kebangkitan rakyat untuk meraih pahala menerusi perhimpunan Bersih 2.0.



Kenyataan tidak bertamadun Perkasa dikatakan akan turut menganjurkan perhimpunan balas untuk menyekat kehadiran rakyat meraih pahala di perhimpunan Bersih 2.0. Lalu berlapikkan ‘nilai agama’ Perkasa telah menyeru umat Islam dan umat Melayu agar hadir ke Majlis Pelancaran “menentang golongan anti Islam” yang diadakan pada 19 Jun di Padang Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur dengan motif ‘lawan perhimpuan Bersih 2.0’.



Atas asas ini, maka Perkasa sudah bertaraf serupa Umno yang menyanggah usaha membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia. Meskipun tindakan membersihkan pilihan raya satu usaha baik, tetapi bagi Perkasa serupa dengan Umno menganggap usaha membersih itu sebagai bercanggah dengan kehendak mereka. Ini kerana Perkasa dan Umno yang sering menang dengan sistem kotor tidak mungkin bersetuju dengan usaha membersih pilihan raya anjuran Bersih.



Apakah kemenangan pilihan raya berlapikkan sistem kotor adalah sesuatu yang mulia di sisi agama? Apakah puak yang menyokong pihak yang ingin mengekalkan kekotoran itu sebagai puak yang mulia? Logik agama ialah setiap kekotoran tetap kotor (najis). Justeru rezeki yang diperolehi menerusi cara kotor, ia tetap kotor.



Maka penentangan Umno dan disokong Perkasa terhadap perhimpunan Bersih 2.0 adalah berniat mengekalkan kekotoran. Oleh itu, tindakan Umno dan Perkasa itu merupakan kerja anti-bersih yang pro-kotor. Apakah ia bakal meraih pahala? Mungkinkah tindakan Perkasa yang selari dengan Umno itu adalah menyokong dosa atau pahala?



Seruan menjaya Bersih 2.0



Ayuh turun ke Kuala Lumpur menyertai Bersih 2.0 demi pahala untuk membersihkan sistem pilihan raya yang tidak bertamadun. Kehadiran secara aman adalah keutamaan demi membersihkan segala kekotoran yang sengaja dikekalkan oleh penguasa yang sentiasa menzalimi hak dan kebebasan rakyat.



Atas maksud tersebut, Pengerusi Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Haji Mohammad Sabu (sekarang Timbalan Presiden PAS) dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS (21 Mei 2011) menegaskan tujuan Bersih 2.0 adalah sama dengan tujuan perhimpunan Bersih 1.0 pada 10 November 2007, iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Harapannya, pihak PAS dapat menghantar sekurang-kurangnya 100 ribu ahli hadir pada perhimpunan tersebut. Ia sesuai dengan nama perhimpunan kali ini adalah 'Walk for Democracy' sebagai gelombang baru yang bakal mengubah senario politik pilihan raya umum ke-13 nanti.



Hal yang sama turut disuarakan oleh Dr Mohd Hatta Ramli (sekarang Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS) yang menaruh harapan kejayaan lapan matlamat Bersih 2.0 (bakal menjadi memorandum rakyat kepada Yang Dipertuan Agong) sebagai meneruskan tuntutan sebelum ini (penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih) yang langsung tidak dilayan oleh kerajaan. Justeru itu, sekurang-kurangnya 62 NGO yang bergabung dalam Bersih dijangka hadir.



Harapnya, Bersih 2.0 bakal membuat bayaran tunai kepada Umno dan Perkasa. Maka segala hutang piutang kezaliman dan kemungkaran serta dosa terhadap rakyat dalam sekian kali pilihan raya akan terlangsai. Ayuh bersama berdoa, semoga gelombang Bersih 2.0 akan berjaya dan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT.




sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP