Wednesday, May 11, 2011

Amerika dibenar soal 3 isteri Osama

Keputusan Pakistan dijangka elak ketegangan

ISLAMABAD: Pakistan dijangka membenarkan penyiasat Amerika menyoal tiga isteri pemimpin al-Qaeda yang ditembak mati, Osama bin Laden, kata pegawai di Washington, keputusan dikatakan bakal menstabilkan hubungan tegang antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan kerajaan Pakistan di Islamabad berkata belum ada keputusan dibuat terhadap permintaan Amerika itu setakat ini.
Beliau juga menafikan sudah memberi kebenaran kepada Amerika untuk menyoal ketiga-tiga wanita terbabit, sambil menambah, penyiasat Pakistan belum menyelesaikan tugas mereka.

“Terlalu awal bagi Washington memikirkan perkara itu,” katanya.

Pakistan sebelum ini berkata, tiga isteri Osama, seorang dari Yaman dan dua lagi dari Arab Saudi bersama anak mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

Pihak berkuasa negara itu sudah menghubungi Arab Saudi dan Yaman mengenai perkara itu tetapi belum mendapat jawapan sama ada wanita itu akan diterima kembali ke tanah air.
Anggota Kongres Amerika mengemukakan pelbagai soalan mengenai kematian Osama di Pakistan ketika persidangan, manakala sebahagian mereka menggesa bantuan bernilai berbilion dolar ke Pakistan dipotong.

Bagaimanapun Amerika tidak menuduh Pakistan menyediakan perlindungan kepada Osama.

“Kami percaya adalah amat penting untuk mengekalkan hubungan kerjasama dengan Pakistan kerana kepentingan keselamatan kedua-dua negara,” kata jurucakap Rumah Putih Jay Carney, kelmarin.

Osama ditembak mati 2 Mei lalu dalam satu serbuan di bandar Abbottabad, tindakan memalukan kerajaan Pakistan yang sejak sekian lama menafikan bahawa pemimpin al-Qaeda bersembunyi di negara berkenaan.

Kerajaan Pakistan berdepan tekanan untuk menjelaskan bagaimana Osama boleh tinggal di bandar berkenaan, manakala kediamannya terletak tidak jauh dari sebuah akademi tentera.

Pakistan menghadapi kritikan dalaman berikutan tindakan pasukan komando Amerika yang dianggap mencemar kedaulatan negara itu.

“Penyiasat Amerika sedang meneliti sejumlah besar bahan dirampas dari rumah Osama dan mahu menyoal tiga isterinya bagi mengesan jejak pergerakan itu dan rangkaian militan peringkat global. Pakistan nampaknya bersedia memberi kebenaran itu,” kata seorang pegawai di Washington. – Reuters

sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP