Thursday, February 3, 2011

Mubarak enggan undur segera



Penduduk Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir mengikuti ucapan Mubarak di televisyen melalui layar besar sambil mengejek Presiden itu kerana enggan berundur segera, malam kelmarin. – REUTERS


KAHERAH 2 Feb. – Presiden Mesir Hosni Mubarak semalam mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya Presiden September ini, tetapi menolak desakan berjuta-juta rakyat Mesir yang mahu beliau meletak jawatan dengan segera.



Pengumuman presiden itu yang disiarkan di televisyen mengundang kemarahan penunjuk perasaan, dengan sekali lagi bertindak melanggar perintah berkurung dengan berkumpul di Dataran Tahrir, malam tadi, masuk hari kelapan demonstrasi.



Mubarak menegaskan bahawa beliau akan terus memerintah sehingga menjelang pilihan raya untuk memantau peralihan kuasa, sekali gus menolak mentah-mentah desakan pembangkang yang mahu pemimpin itu berundur menjelang Jumaat ini.



“Secara jujurnya dan tanpa mengambil kira situasi yang sedang berlaku sekarang, saya merancang untuk tidak bertanding bagi melanjutkan penggal pemerintahan saya.



“Saya hidup di negara ini, saya pernah berperang untuknya (Mesir) dan sejarah akan menilai saya.



Mesir, katanya, ‘‘Negara yang telah saya pertahankan dan saya akan mati di sini,” ujar Mubarak disambut dengan ejekan penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Tahrir.



Beliau turut menolak kemungkinan melarikan diri ke negara lain seperti yang dilakukan bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali pada 14 Januari lalu selepas kebangkitan rakyatnya yang mendesak beliau berundur.



Mubarak berkata, negaranya mempunyai pilihan antara ‘kekacauan dan kestabilan’ selepas pertempuran antara pasukan polis dengan penunjuk perasaan yang mengakibatkan 300 terbunuh dan lebih 3,000 yang lain cedera.



“Demonstrasi ini telah berubah daripada satu cara menyatakan kebebasan bersuara yang bertamadun kepada konfrontasi yang dikesali, didorong oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja memburukkan dan mengapi-apikan keadaan.



“Tanggungjawab utama saya kini adalah membawa keselamatan dan kestabilan kepada negara ini bagi memastikan satu peralihan kuasa yang aman,” katanya.



Mubarak turut berjanji akan meminda Perlembagaan bagi mengehadkan penggal pemerintahan Presiden dan membuatkan rakyat lebih mudah memilih calon pada pilihan raya Presiden. – AFP



Sumber

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP