Monday, August 30, 2010

Isu Bukan Islam Masuk Masjid, Umno Cetus Persepsi Negatif Terhadap Islam

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR (DPPNS) melahirkan rasa kesal diatas tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor yang secara terang-terangan mendedahkan kejahilan kepada masyarakat terbanyak dalam isu ‘non muslim’ dalam masjid.


Sebaik isu ini timbul, kami memerhati dan berharap saudara seakidah kami itu akan ‘terhantuk’ dan ‘terngadah’ dalam tempoh yang singkat agar tidak terus menerus merosakkan dakwah, tetapi nampaknya mereka tetap memilih untuk melanggar fatwa 1 Mac 2010.


Lebih mengharukan apabila Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mendesak Kerajaan Negeri melalui Pejabat Menteri Besar, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memecat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Ali kerana kononnya gagal mempertahankan kesucian surau tersebut.


Ketua Penerangannya pula, Safarizul Mustafa, turut mendesak Pengerusi, Imam dan Ahli Jawatankuasa Surau di Surau Al-Huda dan Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, Kajang yang menjemput dan membenarkan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Parti Pakatan Rakyat (PKR) Selayang, William Leong Jee Keen memberi ucapan di surau dan masjid tersebut dipecat.



Kami ingin bertanya kepada Pemuda UMNO, adakah mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW seringkali menerima kunjungan dari tetamu bukan islam di Masjid Nabawi? Adakah masjid dan surau di Malaysia lebih suci berbanding Masjid Nabawi hinggakan bukan islam tidak dibenarkan memasukinya? siapa yang sedang mempolitikkan isu ini sekarang?.



Bahkan pernah berlaku satu peristiwa seorang tawanan perang diikat di tiang masjid, apakah tidak ada pokok-pokok kurma disekitar Masjid Nabawi hinggakan tawanan tersebut diikat ditiang masjid?, Tsumamah bin Utsaal akhirnya masuk islam setelah beberapa waktu melihat aktiviti umat islam di dalam masjid tersebut, sirah inilah yang gagal difahami oleh UMNO.



Sehubungan dengan isu yang dibangkitkan, kami mengambil peluang ini menasihati saudara kami Pemuda UMNO Selangor untuk bersikap diam dan bertanya orang yang lebih mengetahui dahulu mengenai urusan agama sebelum mempamerkan kejahilan anda dengan meluas.



Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Zulkifli Ahmad, menasihatkan Safarizul Mustafa untuk merujuk dulu isu ini dengan 40 ulama muda yang menyertai UMNO baru-baru ini sebelum melakukan tindakan yang mencemar kesucian dakwah islam yang telah ditunjuki Nabi sejak sekian lama, janganlah kerana konsep 1 Malaysia lalu ‘politik diutamakan, dakwah dikemudiankan'.



Jika mereka masih berkeras dengan hujah akal untuk menegakkan benang yang basah maka kami dengan ini mencabar Pemuda UMNO menyiapkan pentas terbuka sama ada hendak dinamakan debat, muzakarah, wacana dan sebagainya untuk masyarakat menilai hujah masing-masing. Kami beri tempoh 14 hari untuk anda sahut cabaran ini atau selepas itu kami akan anggap anda sengaja mempolitikkan agama. Anda tidak perlu bimbang sekiranya anda di pihak yang benar kan?



Jika ulama UMNO juga sependapat dengan Pemuda Umno Selangor, silalah mengambil ruang tersebut, inilah peluang terbaik untuk anda realisasikan tuduhan anda bahawa kami menggadai prinsip islam demi Pakatan Rakyat, muntahkan hujah-hujah anda di depan khalayak, insyaAllah kami sentiasa bersedia dengan hujah-hujah yang sejak sekian lama disekat dari melapasi ‘anak tekak' RTM dan lain-lain media arus perdana, biar rakyat dapat menilai dengan kewarasan mereka siapa yang menggunakan islam untuk tujuan politik dan siapa yang menggunakan politik untuk memartabatkan islam.



Kepada Ketua Pemuda UMNO Serdang, jangan lepaskan peluang ini, anda dipersilakan sekali di pentas tersebut, biar kami mendengar secara langsung nasihat-nasihat agama dari mulut anda.



Jika Pemuda UMNO menghadapi birokrasi yang sukar untuk mendapatkan pentas Televisyen, biar kita di dewan orang ramai atau dimana-mana sahaja. Sekali lagi kami tegaskan, demi mencari kebenaran, kami bersedia duduk semeja dengan kalian kerana konsep kami ‘Satu Aqidah, kebenaran diutamakan, kepentingan dikemudiankan'.



Sekian.



HASBULLAH RIDZWAN
KETUA PEMUDA PAS SELANGOR

0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP