Thursday, June 2, 2011

Sediakan mekanisme bimbing kebangkitan anak muda - Khairee Jamaludin

SHAH ALAM : DPPP digesa agar menyediakan mekanisme khusus untuk membimbing kebangkitan anak-anak muda di semua peringkat termasuklah di kawasan.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pemuda Perak, Ustaz Khairee Jamaluddin ketika membahaskan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS pada Muktamar Tahunan DPPP kali ke-52 di Dewan MBSA dekat sini hari ini.

"Saya mencadangkan agar dibina Pusat komuniti belia atau badan-badan bukan kerajaan atau kelab-kelab sebagai cara untuk menarik anak muda dan remaja kerana ia umpama menanam benih yang akan hidup pada masa akan datang," katanya kepada sidang muktamar.

Pada sesi yang sama, beliau turut menyentuh isu mahasiswa yang tidak dimanafaatkan kelebihan mereka.

"Mahasiswa merupakan asas kekuatan dan sumber tenaga yang sangat berguna, tetapi kita kekurangan pendekatan terhadap mereka sehingga menyebabkan mereka lari daripada perjuangan," ujarnya.

Ucapan beliau yang diselangi lawak jenaka turut menyentuh mengenai kebajikan anggota Unit Amal agar dipelihara dan mendapat perhatian.

"Saya mencadangkan agar diwujudkan tabung kebajikan di peringkat negeri sebagai cara untuk membantu mereka," katanya.

Selain itu, beliau juga menekankan tentang dakwah tidak formal yang dicadangkan agar dikembalikan semula.

"Kita lihat contoh dalam parti kita apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetap membacakan ayat al-Quran walaupun berdepan dengan golongan bukan Islam, ini satu bentuk dakwah tidak formal yang perlu diikuti oleh anak muda," ujarnya lagi.

Khairee juga meminta Ketua DPPP menyentuh mengenai isu luar negara yang berkait dengan pemuda.

"Kita juga mahu agar sekolah-sekolah agama rakyat diperkasakan kemudahan dan prasarananya," katanya lagi.



0 comments:

Post a Comment

Jom follow saye

Tetamu Baru Intifadhah V5

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP